Sunday, 28 July 2013

Nyamuk hisap jus, makan larva Aedes ditemui

Nyamuk hisap jus, makan larva Aedes ditemui
Colombo: Spesies baru nyamuk yang hanya menghisap jus buah dan memakan larva nyamuk pembawa penyakit demam denggi ditemui oleh pasukan saintis Institut Penyelidikan Perubatan Sri Lanka (MRI) lapor akhbar Ceylon Today. 

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, spesies nyamuk itu dinamakan sebagai Topomiya.
Ia ditemui di Sri Lanka buat kali pertama selepas 124 tahun dan penemuan ini bilangan keseluruhan spesies nyamuk di negara itu meningkat kepada 17. Penyelidikan yang dilakukan MRI mendedahkan nyamuk itu tidak memakan darah manusia tetapi jus. 


Topomiya juga didapati memakan larva nyamuk Aedes. Jurucakap MRI menyatakan spesies nyamuk itu boleh digunakan untuk mencegah wabak denggi dan menganggap ia sebagai reaksi semula jadi untuk mengawal penyakit itu, yang sudah meragut banyak nyawa manusia. 

Bagaimanapun, MRI akan mengadakan uji kaji lanjut mengenai Topomiya dalam usaha mengenal pasti sama ada ia bahaya kepada manusia. 

Berikutan penemuan spesies baru itu, siasatan mengenai kesannya kepada manusia dipertingkatkan untuk mempercepatkan usaha membekalkan Kementerian Kesihatan dengan senjata memerangi denggi. 
Walaupun menunjukkan tanda pengenalan sama seperti jalur putih, yang ditemui pada nyamuk spesies Aedes Egypti yang boleh menyebarkan wabak denggi, spesies baru ditemui itu dikatakan memakan larva denggi dan jus, berbanding darah manusia. 

“Penemuan ini menggembirakan dan kami berharap hasil positif dan menjadi senjata terbaik memerangi denggi. Hakikat ia memakan larva nyamuk Aedes bermakna kita boleh mengurangkan nyamuk pembawa penyakit itu secara semula jadi, berbanding menggunakan racun serangga yang memberi risiko kepada kesihatan,” kata sumber kesihatan. - AGENSI

No comments:

Post a Comment