Saturday, 27 July 2013

Perkukuh akhlak generasi muda

Masyarakat Islam perlu terap nilai mulia untuk mencari keredaan
Ulama bersepakat menyatakan asas penghayatan Islam perlu bermula daripada penghayatan tauhid, ibadah, akhlak dan syariat dalam kehidupan Muslim. Berleluasanya gejala keruntuhan akhlak, moral dan tingkah laku berpunca daripada rendahnya tahap keimanan dan penghayatan Islam.


Menyedari hakikat ini, setiap Muslim perlu mengetahui dengan baik perkara berhubung akidah dan ibadat. Menurut al-Sawi dalam kitabnya Ma la yasuhu al-Muslim jahluhumenyatakan, ada beberapa perkara yang tidak diberi kelonggaran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahuinya, khususnya berkaitan akidah, ibadah dan akhlak. 

Ini seperti yang telah difirmankan Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan mematuhi segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208). 


Rapuh akidah

Berdasarkan beberapa kajian dan pengamatan oleh cendekiawan Muslim menyebut ada sebahagian kecil generasi muda hari ini yang begitu rapuh kekuatan akidah mereka, khusus yang berhubung dengan perkara ghaib dan sam’iyyat seperti azab kubur, dosa serta pahala. 

Selain itu, dalam aspek penghayatan ibadah juga masih kurang dari segi tasawwur, perasaan dan amalan. Ini menunjukkan generasi muda hari ini masih belum menguasai sepenuhnya kefahaman mengenai pelaksanaan ibadah yang benar dan betul. 
Ini merangkumi ibadat khusus seperti solat atau ibadah yang tidak khusus seperti muamalat, hubungan silaturahim, menuntut ilmu serta kefahaman pelaksanaannya yang merangkumi sifat ikhlas selaras tuntutan sunnah.

Selain itu dapat diperhatikan juga fenomena yang menunjukkan kefahaman berhubung aspek penutupan aurat masih rendah kerana masih ramai yang beranggapan menutup aurat hanya wajib ketika hendak menunaikan solat.

Ramai yang tidak menutup aurat secara sempurna. Kefahaman mengenai konsep ibadah perlu difahami secara lengkap dan menyeluruh. Sesungguhnya skop ibadah merangkumi aspek amal zahir dan batin, perkataan atau perbuatan yang diredai Allah SWT.

Begitu juga berhubung aspek akhlak. Perkara ini perlu diperbetulkan kerana Islam tidak hanya menyentuhi aspek akidah dan ibadah saja tetapi Islam juga mengatur adab hubungan sesama manusia.

Dalam aspek penjagaan fizikal tubuh badan, umumnya ramai yang prihatin namun ada yang masih mengambil ringan seperti merokok, minum minuman keras, dadah, judi, nombor ekor atau amalan boleh merosakkan akal. 


Muslim kuat lebih dicintai

Sesungguhnya Muslim yang memiliki fizikal yang kuat lebih dicintai oleh Allah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah.”

Jika seseorang itu memahami dengan baik persoalan dosa dan pahala iaitu dosa akan dicatat sebagai satu kesalahan. Ini berbeza dengan konsep kebaikan, dengan melakukan niat saja untuk melakukan kebaikan ia sudah dicatat sebagai satu kebaikan.

Jika ini dapat difahami oleh semua betapa besarnya rahmat Allah kepada seluruh hamba-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada Hari Kiamat), maka baginya (balasan) 10 kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun).” (Surah al-An‘am, ayat 160).
 

Penting kawal hawa nafsu

Selain itu kawalan terhadap hawa nafsu juga penting. Hawa nafsu anugerah Allah yang amat besar dan dengan adanya hawa nafsu hidup ini akan teras indah sebagai hiasan untuk manusia keseluruhannya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Umumnya, generasi muda dalam lingkungan 40-an gagal memanfaatkan usia muda untuk mencari keredaan Allah. Nabi SAW bersabda: “Hendaklah kamu rebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa mudamu sebelum masa tua, masa sihatmu sebelum masa sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, masa hidupmu sebelum masa matimu.” (Riwayat Ibn ‘Abbas)

Generasi muda perlu memanfaatkan ruang dan kesempatan yang ada untuk membetulkan keadaan dengan pencarian ilmu khususnya ilmu berhubung ajaran agama Islam. Jika tidak, mereka telah mensia-siakan nikmat dan ruang yang Allah berikan.

Sesungguhnya masa muda adalah satu bentuk amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan bergerak kaki seorang hamba dari sisi Tuhannya sehingga ia ditanya lima perkara, umurnya ke mana ia habiskan, masa mudanya ke mana ia habiskan, hartanya dari mana ia dapat dan ke mana dibelanjakan dan ilmu ke mana digunakan.” (Riwayat Tirmizi)



Credit: Dr Burhanuddin Jalal

No comments:

Post a Comment