Hati meronta untuk peluk Islam
Nurhidayah (kiri) dan Nurzulaikha hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Tahlil oleh Hotel Pelangi di sini, malam kelmarin.
MUAR – “Sememangnya saya sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadan. Tahun ini genap 10 tahun memeluk Islam dan akan memanfaatkan bulan ini dengan memperbanyakkan amalan,” katanya Nurhidayah Mohd Yusof.

Nurhidayah, 38, merupakan salah seorang daripada 60 saudara baru yang diraikan pada Majlis Berbuka Puasa dan Tahlil oleh Hotel Pelangi di sini, malam kelmarin.

Turut diraikan pada majlis berkenaan adalah seramai 540 pelajar tahfiz yang bersekolah di daerah ini.

Ahli perniagaan berasal dari Jalan Salleh di sini berkata, dia nekad meninggalkan agama asalnya dan memeluk Islam selepas tertarik dengan keindahan agama ini.

Katanya, tinggal dalam kawasan komuniti Melayu dan mendengar laungan azan setiap hari telah membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam.

“Saya dapat merasakan sesuatu dalam hati setiap kali mendengar azan. Perasaan itu sukar digambarkan dan terlalu indah.

“Semakin kerap dengar azan, hati meronta-ronta untuk memeluk Islam, lalu mendorong pergi ke Pejabat Agama Islam daerah untuk mengucapkan dua kalimah syahadah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nurhidayah, dia juga tidak berasa kekok ketika pertama kali melaksanakan ibadah puasa.

"Ketika bersekolah, saya mempunyai ramai kawan Melayu dan kadang-kadang berpuasa bersama mereka. Jadi pendedahan ini memudahkan saya berpuasa apabila memeluk Islam,” katanya.

Nurhidayah berkata, sehingga ke hari ini dia masih belajar mendalami ilmu Islam dengan mengikuti kelas Fardu Ain sebanyak empat kali seminggu.

Sementara itu, bagi Nurzulaikha Abdullah, 44, yang memeluk Islam tahun 2006 gembira apabila dua adik dan ibunya turut mengikut jejak langkahnya.

Beliau yang berasal dari Sarawak mengakui 'kekosongan' di dalam hatinya hilang sebaik sahaja beliau selesai mengucapkan dua kalimah syahadah.

“Setiap kali Ramadan, saya penuhi undangan jemputan berbuka puasa bersama saudara baru anjuran pelbagai pihak,” katanya.