Saturday 8 June 2013

Nenek ambil upah panjat pokok kelapa

Nenek  ambil upah panjat pokok kelapaZabedah boleh memanjat pokok kelapa dalam tempoh tidak sampai dua minit.
Kuala Kangsar: Demi mencari rezeki tambahan, seorang nenek berusia 59 tahun sanggup mengambil upah memanjat pokok kelapa sehingga ketinggian melebihi 10 meter. 

Zabedah Mansor yang juga ibu tunggal menggunakan kudrat empat keratnya sejak 43 tahun lalu bagi memetik buah kelapa untuk dia memperoleh pendapatan antara RM40 dan RM50 sehari.


“Saya mula mengambil upah memanjat pokok kelapa sejak berusia 11 tahun dan hanya mengambil masa dua minit untuk sampai ke puncak pokok. 


“Malah, saya juga boleh memanjat pokok durian, petai, pinang, rambutan dan duku untuk memetik buahnya dengan tangan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kubang Pekan, dekat sini, semalam. 

Zabedah berkata, dia mampu memanjat antara 10 dan 15 pokok kelapa sehari dan menerima upah antara RM5 dan RM10 bergantung kepada ketinggian pokok yang dipanjat. 

Lakukan pelbagai kerja 

Beliau juga melakukan pelbagai pekerjaan lain, termasuk mengambil upah menjala ikan, menoreh getah dan menjadi tukang kebun. 
Zabedah bersyukur kerana dia dapat membesarkan tujuh anaknya hasil pendapatannya mengambil upah memanjat kelapa iaitu Rosima Mohd Daud, 35; Rozana, 33; Rosede, 31; Rizal, 28; Rita, 25; Rurhaliza, 23 dan Rina, 18. 

Sementara itu, sepupunya, Shaibah Mohd Radzi, 53, berkata, Zabedah amat dikenali di Kampung Kubang Pekan sebagai seorang yang rajin bekerja. 

“Beliau bukan hanya melakukan kerja memanjat pokok tetapi juga mengambil upah menggosok baju dan memotong rumput daripada penduduk sekitar. 

“Walaupun sudah berusia, tubuhnya masih sihat dan cergas, malah tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment