Menara Taming Sari
Menara Taming Sari
MELAKA - Menara Taming Sari (MTS) Melaka berjaya menarik kedatangan seramai 3.3 juta pelancong dengan jumlah kutipan tiket sebanyak RM29.9 juta dalam tempoh lima tahun pertama pengoperasiannya.
  
Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron berkata jumlah kedatangan pelancong itu melebihi 0.8 juta daripada jumlah yang disasarkan ketika ia dibuka pada April 2008.
  
Beliau berkata dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, seramai 227,107 pelancong melawat ikon kemegahan Melaka itu dengan jumlah kutipan tiket sebanyak RM2.4 juta.
  
Katanya ia merupakan pencapaian membanggakan sekali gus membuktikan kegigihan pengurusan Melaka Taming Sari Berhad dalam menjadikan menara bernilai RM24 juta dengan ketinggian 110 meter yang itu, sebagai produk pelancongan popular di Melaka.
  
"Kita percaya produk pelancongan ini mampu menyumbang kepada kepada ekopelancongan negeri yang lebih pesat dan berdaya saing," katanya selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-5 MTS di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Melaka Taming Sari Berhad Datuk Mat Sirat Abu dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Nazary Ahmad.
  
Idris berkata Melaka Taming Sari Berhad juga akan memperkenalkan satu produk pelancongan baru iaitu 'reverse bungee' yang dijangka dibina pada penghujung tahun ini dalam usaha mempelbagaikan produk pelancongan tambahan di lokasi tersebut.
  
Bagaimanapun katanya pembinaan 'reverse bungee' itu perlu mendapat kelulusan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) disebabkan lokasinya terletak di kawasan warisan dunia.
  
"Ia masih dalam peringkat perbincangan dan kita akan mendapatkan khidmat nasihat daripada pembekal mengenai kesesuaian lokasi serta merujuk kepada UNESCO berhubung tahap ketinggian yang dibenarkan untuk beroperasi," katanya.
  
Pada majlis tersebut, Idris turut melancarkan buku 'Heritage Trail Melaka Mosques' diterbitkan Melaka Taming Sari Berhad yang memaparkan keindahan seni bina masjid di negeri itu termasuk Masjid Selat, Masjid Tengkera dan Masjid Al-Azim. -
Bernama