Google+ Followers

Saturday, 15 June 2013

Kafir, derhaka jika mencela ibu bapa

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu membenci bapa kalian. Sesiapa yang membenci bapanya bererti ia kafir. (Riwayat Muslim) 

Seorang ibu mahupun bapa tidak akan menjadi ibu dan bapa tanpa anak-anak dan begitulah sebaliknya. Oleh itu ibu bapa berhak mendapat penghormatan daripada anak mereka sama seperti anak berhak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa. 


Islam melarang keras anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar. Anak yang mengasari ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka yang diharamkan syurga ke atasnya oleh Allah SWT di akhirat kelak. 


Tunjuk pergaulan baik 

Oleh itu bagi mendapatkan anak yang baik, ibu bapa hendaklah terlebih dulu menunjukkan pergaulan yang baik dengan anak. Apabila anak soleh ini dapat dibentuk, tiadalah permusuhan dan perbalahan dalam keluarga. Masing-masing akan saling sayang menyayangi antara satu dengan lain. 

Daripada Abdullah bin Umar, Nabi Muhammad bersabda: Percayalah perbuatan berbakti yang paling besar adalah apabila seseorang itu menjaga hubungan baik dengan orang yang dikasihi ayahnya. (Riwayat Muslim) 



Dosa besar 


Abdullah bin Amru berkata, Rasulullah SAW bersabda: Antara dosa besar adalah jika seorang itu memaki hamun ibu bapanya sendiri. Sahabat bertanya: Wahai utusan Allah, apakah ada orang yang sanggup memaki hamun ibu bapanya sendiri? Baginda menjawab: Ya, apabila seseorang itu memaki ayah orang lain dan orang itu pula memaki ayahnya. Seseorang yang memaki ibu orang lain dan orang itu memaki ibunya pula. (Riwayat Bukhari dan Muslim)