Saturday 8 June 2013

Lokasi saksi Israk Mikraj


masjid aqsa menjadi saksi Israk Mikraj walaupun peristiwa itu telah berlaku hampir sekian lama, malah iktibarnya perlu diambil semua pihak bagi menghayati kisah yang terjadi di sebaliknya.

AYAT di atas mengingatkan kita kepada peristiwa agung yang terjadi kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW apabila baginda melakukan perjalanan jauh iaitu dari dunia ke langit pada satu malam.

Malah peristiwa menakjubkan itu cukup untuk menggambarkan kekuasaan Allah SWT kerana pada satu malam sahaja telah berlaku pelbagai peristiwa yang diperlihatkan kepada Rasulullah SAW untuk menjadi iktibar kepada seluruh umat Islam.

Peristiwa itu juga memperlihatkan bahawa umat Nabi Muhammad SAW diperintahkan untuk menunaikan solat lima waktu.

Pada malam tersebut, Rasulullah telah melakukan satu pengembaraan jauh melibatkan dua kota iaitu Mekah ke Baitulmaqdis yang terletak di Palestin. Kemudian dari tempat tersebut, baginda menuju ke langit yang dinamakan sebagai peristiwa Mikraj.

Dimulai langit pertama sehinggalah ke langit ke tujuh. Selepas itu, Nabi Muhammad naik ke Sidratul Muntaha lalu menuju ke suatu tempat yang dinamakan sebagai Mustawa.

Perjalanan dengan roh dan jasad itu berlaku dalam masa yang amat singkat sekali. Menurut jumhur ulama, peristiwa itu terjadi pada 27 Rejab, setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah.

Kedua-dua kota itu merupakan saksi berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.

Walaupun kita umat Islam tidak melihat dengan mata sendiri, masing-masing perlu mengakui kebenaran tersebut dengan bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah seperti mana dirakamkan melalui ayat 1 surah al-Isra.

Oleh demikian, mari hayati tempat-tempat yang pernah menyaksikan malam bersejarah itu agar menjadi pedoman dan iktibar kepada umum.


1. Masjidil Haram

Masjid Haram terletak di kota suci Mekah yang kini menjadi kiblat umat Islam merupakan lokasi bermulanya peristiwa Israk dan Mikraj.

Mengikut riwayat Ibnu Abbas, kota Mekah terletak selaras dengan kedudukan Baitul Ma'mur di alam Malakut (alam ghaib). Manakala seorang seorang ahli sejarah Mekah, az-Azraqi telah menceritakan bahawa semasa Nabi Adam diperintahkan turun ke bumi, Allah telah mengarahkan baginda membina sebuah binaan seakan-akan Baitul Ma'mur.

Berkaitan perjalanan Israk Mikraj, sepanjang pengembaraan Rasulullah ke Masjid Aqsa dengan menaiki Buraq, baginda diiringi dua malaikat melawati tempat-tempat tertentu lalu diarahkan oleh Jibrail AS untuk berhenti menunaikan solat sunat dua rakaat iaitu Negeri Thaibah atau sekarang dikenali sebagai Madinah iaitu tempat Rasulullah melakukan hijrah.

Dua lagi tempat ialah di Bukit Tursina, Mesir iaitu tempat Nabi Musa menerima wahyu daripada Allah SWT dan Baitul Laham, Palestin yang merupakan tempat didakwa Nabi Isa dilahirkan.


2. Masjid al-Aqsa

Setibanya di Masjid al-Aqsa, Palestin, Rasulullah SAW turun daripada Buraq dan baginda kemudian masuk ke dalamnya lalu menunaikan solat sunat dua rakaat.

Menurut riwayat, Rasulullah terasa dahaga, lalu malaikat Jibrail membawa dua bekas berisi arak dan susu. Namun, Rasulullah memilih susu lalu meminumnya.

Sewaktu Rasulullah diangkat ke langit, sebuah batu besar ingin mengikuti baginda, namun 'hasrat' binaan itu tidak diizinkan lalu tergantung sehingga ke hari ini.

Berkenaan maksud masjid itu, Aqsa bermaksud paling jauh dan berkemungkinan diambil daripada kisah Israk dan Mikraj apabila baginda melintasi beberapa negeri dari Mekah sebelum tiba ke rumah ibadah tersebut.

Mengikut sejarah, masjid itu pada awalnya merupakan sebuah rumah ibadat kecil yang dibina oleh Khalifah Ar-Rasyidin kedua, Umar al-Khattab di kawasan seluas 25 hektar pada 638 Masihi.

Namun Masjid Aqsa dibina semula dan diperluaskan oleh Khalifah Abdul Malik Marwan dan disiapkan oleh anak lelakinya Walid pada 705 Masihi.

Beberapa kejadian gempa bumi telah memusnahkannya, namun dibina dan dibaiki semula. Pengubahsuaian juga telah dilakukan oleh khalifah yang memerintah ketika itu.



Credit: JUANI MUNIR ABU BAKAR

No comments:

Post a Comment