Bagan Serai: Dua beranak tidak menyedari selama ini mereka tidur ‘ditemani’ seekor ular senduk yang bersarang di bawah katil sehinggalah salah seorang daripada mereka mendengar bunyi dengusan kuat dalam kejadian di Kampung Keramat, di sini, kelmarin.
Penghuni rumah berkenaan Mas Saifuddin Tajuddin, 27, berkata, dalam kejadian di bilik tidur utama rumahnya kira-kira jam 2.30 petang, isteri dan anaknya yang sedang tidur di atas katil tiba-tiba terdengar bunyi dengusan kuat dari bawah katil.
Menurutnya, rasa ingin tahu mendorong anaknya yang berusia empat tahun menyelak kain cadar di bahagian sisi katil sebelum melihat bentuk sebuah objek hitam berada di bahagian bawah katil.
“Mujur anak saya tidak panik dan dengan perlahan-lahan mendapatkan isteri saya yang sedang tidur.
“Isteri saya segera membawa keluar anak saya dari bilik itu dengan perlahan-lahan sebelum menutup pintu bilik bagi mengelakkan reptilia berbisa itu keluar,” katanya.
Mas Saifuddin berkata, isterinya segera menghubunginya untuk memaklumkan perkara itu dan dia segera pulang dari tempat kerja.
Menurutnya, selepas disahkan haiwan terbabit sememangnya berada di dalam biliknya, Mas Saifuddin segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kerian.
Sepasukan anggota JPAM Kerian diketuai Koperal Hashim Latib segera tiba ke tempat kejadian dan mengarahkan anggota lain mengeluarkan barang-barang berharga yang berada di bawah katil, manakala seorang lagi anggota bertugas membawa mangsa sekeluarga keluar dari rumah.
Sementara itu, Pegawai Bahagian Latihan dan Operasi JPAM Kerian B Sugumaran berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa selama 30 minit untuk menangkap ular senduk sepanjang 2.5 meter dan seberat tiga kilogram berikutan haiwan berbisa itu memberikan tindak balas sangat agresif.
No comments:
Post a Comment