Bicara Isnin: Hampir batal perjalanan dek terserempak ular
Percaya terserempak ular melintas jalan ketika sedang memandu dalam satu perjalanan jauh sebagai petanda bala adalah dilarang Islam dan dianggap syirik. (Foto: Internet)
"CEPATLAH, nanti kita lewat pula. Mesti kawan lain dah sampai rumah pengantin," laung Sabri dari tingkat bawah. Mendengarkan laungan tersebut, penulis bersama adik dan sepupu perempuannya ketika itu ada dalam bilik bergegas siap sambil membetulkan solekan akhir.

Kami gegas menuruni anak tangga menuju ke ruang tamu di tingkat bawah. Sebaik melihat kami, Sabri ringan mulut menegur yang mana pada pendengaran penulis lebih bersifat sindiran.

"Kau bertiga ni bersolek mengalahkan model terkenal. Ini kalau malaikat maut nak cabut nyawa pun boleh fed up tau!"

Mendengarkan sindiran tersebut kami bertiga berpandangan sesama sendiri. Ternyata tidak senang dengan kata-kata sabri.

"Abang ni kalau bercakap macam orang tak ada iman tau. Main-mainkan malaikat pula. Mana ada lewat sesaat atau lambat sejam kalau memang dah sampai masa malaikat nak cabut nyawa," protes adik perempuannya.

"Iyalah, kau orang bertiga tu lambat. Perut ni dah lapar. Lagipun abang bergurau jelah. Janganlah marah," pujuk Sabri.

"Bukan marah, tapi memang betul apa yang adik awak cakap tu. Tak boleh bergurau benda-benda macam tu, awak tu arif sangat ke bab-bab hukum hakam ni. Kalau tak tahu, baik jaga lidah. Jangan bercakap ikut sedap saja... silap hari bulan dapat dosa percuma tau," ujar penulis.

Sekejap itu, kami bertiga telah pun berada di laman rumah bergegas menuju ke kereta. Sedang Sabri pantas menyarung kasut sebelum tiba-tiba ditegur oleh kak longnya yang ketika itu berlalu ke meja rehat dengan semangkuk mi segera yang semerbak harumnya.

"Makan Sabri," sapa kak longnya ajak-ajak ayam.

"Ish, kak long ni, orang dah nak geraklah, nak jalan jauh . Suruh makan pula. Bagi sikit, nanti kempunan, orang tua cakap kalau dah macam ini keadaannya kena jamah kalau tak, boleh kemalangan dan mati kempunan," jawab Sabri.

Mendengarkan itu, terdetik persoalan dalam hati penulis, di mana betulnya kata-kata Sabri? Sempat juga memandang lelaki itu tergopoh-gapah mendapatkan mangkuk mi segera kak long.

Dalam kereta, penulis sempat bertanyakan hal tersebut dan Sabri memberitahu orang-orang tua yang pesan.

Lebih kurang setengah jam perjalanan, tiba-tiba Sabri brek mengejut. Kami bertiga yang leka berbual langsung terperanjat dan sepupu Sabri tiba-tiba menjerkah lantang sambil menuding jari ke luar tingkap kereta: "Eh, tengok tu! Ada ular. Tapi dah masuk dalam semak."

"Aduh, terpaksa patah balik. Ular melintas tiba-tiba, tanda tak baik, boleh dapat bala kalau diteruskan perjalanan," kata Sabri mengeluh.

"Biar betul, kita dah separuh jalan ni, Merepek jelah awak ni Sabri. Mana ada bala ke apa. Kalau ALLAH tak izin, tak jadi apa-apa lah kat kita. Lagipun, sebelum bertolak kita dah baca doa supaya perjalanan selamat. Kita bergantung dan tawakal pada ALLAH sepenuhnyalah. Apa kena mengena dengan ular tu pula," protes penulis tidak puas hati.

Tindakan Sabri pada pandangan penulis betul-betul tidak boleh diterima akal. Dek terlalu mengikut kepercayaan lama, seolah-olah doa (perjalanan) yang dibaca tidak cukup hebat sehingga perlu bergantung pada kepercayaan manusia yang tak tahu di mana logiknya,

"Kalau begini remehnya Sabri, lain kali naik kereta saya saja. Biar saya pandu. Awak betul-betul melampau tau. Percaya malah yakin pula tu. Hati-hati Sabri, takut rosak pegangan awak nanti," marah penulis.

"Kau ni betullah Sabri, yang pelik dan tak masuk dek akal. Aku ingatkan belajar kolej moden otak pun moden. Boleh terima apa yang orang zaman dulu cakap, tapi biarlah yang logik. Iman kau mana? Islam tak pernah ajar macam ni pun?" perli sepupunya pula.

Mungkin tidak mahu berbalah panjang dan mengeruhkan keadaan, Sabri mendiamkan diri dan meneruskan pemanduan. Namun, sempat mengomel: "Kalau jadi apa-apa, jangan cakap aku tak pesan ya."

"Pandu sajalah Sabri, insya-ALLAH kita selamat. Doa yang dibaca tadi, kita kena yakin dan serahkan selebihnya pada ALLAH, bukan sandarkan pada kepercayaan karut-marut. Pandu ikuti undang-undang insya-ALLAH tak ada apa-apa," pujuk penulis.

Alhamdulillah, kami selamat sampai ke destinasi dan selamat pulang ke rumah. Sebelum minta diri pulang ke rumah, penulis sempat berpesan kepada Sabri.

"Sabri, memang kita tak boleh pisahkan adat dan kepercayaan orang tua dulu-dulu. Tapi gunakanlah ilmu dan iman untuk tapis di mana betul dan salahnya. Jangan percaya dan yakin membabi buta, bukan apa... bimbang rosak akidah."

Credit: SUHARNE ZAINUDIN