Wednesday, 28 November 2012

Malaysia benam Laos 4-1 : Piala AFF Suzuki


KUALA LUMPUR 28 Nov. - Seolah-olah melepaskan geram ekoran dikritik hebat para penyokong ekoran kekalahan pada perlawanan pertama, Harimau Malaya malam ini membelasah Laos 4-1 pada aksi Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Anak-anak buah Datuk K. Rajagobal sempat mencemaskan para penyokongnya apabila beraksi hambar di separuh masa pertama biarpun memperoleh gol awal menerusi sepakan percuma Safiq Rahim pada minit ke-15 sebelum disamakan olehKhonesavanh Sihavong pada minit ke-39.

Memasuki separuh masa kedua, Malaysia menggandakan asakan tetapi beberapa peluang keemasan gagal disudahkan oleh barisan penyerang negara diketuai oleh Safee Sali.

Safee akhirnya berjaya memecah kebuntuan mencari gol pendahuluan pada minit ke-67. Jaringan tersebut ternyata membakar semangat pemain negara apabila sekali lagi pintu gol Laos dibolosi kali ini menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor (minit ke-75) dan pemain gantian, Mohd Khyrill Muhymeen Zambri, pada minit ke-79.
Kemenangan tersebut sekaligus menghidupkan peluang Harimau Malaya mara ke separuh akhir selepas mengutip tiga mata daripada dua perlawanan untuk berada di tangga ketiga di belakang Singapura yang berkelebihan jaringan gol.

Indonesia pula mengumpul empat mata selepas berjaya menewaskan Singapura 1-0 pada satu lagi aksi Kumpulan B petang tadi untuk berada di tangga teratas.

Malaysia akan berhadapan Indonesia pada perlawanan terakhir Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment