Wednesday, 28 November 2012

Kasih saudara seagama


SESUNGGUHNYA mengasihi saudara seagama dan berbaik sangka dengan mereka adalah perkara yang dituntut di dalam Islam. Ia merupakan roh kekuatan Islam itu sendiri yang menjadi penentu kepada kelangsungan (survival) agama yang suci ini.

Terlalu banyak pesanan yang ditinggalkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya mengenai perintah berkasih sayang dan berbaik sangka terhadap saudara sesama Islam.

Di antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: Muhammad itu pesuruh Allah. Mereka-mereka yang bersamanya itu amat keras terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam) dan amat tebal pula rasa kasih sayang sesama mereka.

Orang yang tidak mendapati di dalam hatinya perasaan kasih dan belas terhadap seluruh orang-orang Islam terutamanya orang-orang yang ditimpa musibah dan bala bencana, orang yang lemah dan miskin adalah kerana kekerasan hatinya, kelemahan imannya dan kejauhan dirinya daripada Tuhannya. Allah akan murka kepadanya serta manusia di sekeliling lari menjauhinya.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, maka dia juga tidak akan dikasihi oleh orang lain." (riwayat Abu Daud dan al Tirmizi)

Demikian jugalah sikap buruk sangka terhadap kaum Muslimin juga adalah perbuatan yang dikeji berdasarkan sabda Rasulullah SAW: Jauhilah diri kamu daripada berprasangka kerana ia merupakan seburuk-buruk bicara. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ia juga bermaksud, apabila kita meletakkan perbuatan dan perkataan mereka pada persepsi yang buruk sedangkan kita boleh meletakkannya pada persepsi yang baik. Apa sahaja perbuatan dan perkataan mereka yang zahirnya nampak baik, maka hendaklah kita mengandaikannya sebagai kebaikan. Inilah yang sebenarnya wajib kita praktikkan dengan bersungguh-sungguh.

Cintakan dunia

Di antara perosak yang terbesar ialah kasih, berkeinginan, sangat tamak dengan pangkat dan harta dunia. Kesemua yang telah disebutkan ini merupakan sifat-sifat pemusnah dan sifat-sifat yang dikeji.

Sifat-sifat tercela ini akan terdedah kepada bahaya yang begitu besar dan balasan yang amat pedih. (rujuk Hud: 15-16)
Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya. (al-Nazi'at: 37-39)

Tamakkan pangkat dan harta

Cintakan pangkat dan harta serta terlalu tamak dengannya merupakan suatu sifat yang amat dikeji. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Negeri Akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (al-Qasas: 83)

Di samping itu, firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (al-Munafiqun: 9)
Sesiapa yang sangat tamak terhadap pangkat, menagih kedudukan dan kemuliaan di dalam hati manusia, maka dia terdedah kepada banyak perkara yang boleh merosakkan. Misalnya, sifat takbur dan riak, berhias-hias, berpura-pura dan meninggalkan sifat tawaduk kepada Allah SWT.

Orang yang begitu tamak terhadap harta terdedah kepada pelbagai bahaya dan bala-bala yang besar sekiranya dia tidak mendapat pemeliharaan Allah dan tidak mendapat rahmat-Nya.

Banyak perkara keji yang terhasil daripada sikap cinta dan tamakkan pangkat dan harta ini sehingga boleh menyebabkan seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja, sama ada boleh atau tidak demi mendapatkan atau mengekalkan pangkat dan harta yang diingininya sehingga sanggup mentohmah saudara-saudara mereka sesama Islam.

Bahkan, kesibukan dan keasyikan untuk meraih keinginan nafsunya itu menjadikan dia tidak lagi mempunyai ruang untuk beribadat dan berzikir mengingati Allah, bahkan dipenuhi dengan kutukan, caci maki serta ucapan-ucapan yang tidak baik yang tidak menggambarkan peribadi Muslim yang sejati.

Semoga Allah mengurangkan keinginan umat Islam terhadap jawatan, pangkat dan harta kerana meninggalkan minat terhadapnya adalah lebih selamat, lebih terjaga dan dekat kepada Allah juga lebih mirip dengan petunjuk salafussoleh.

No comments:

Post a Comment