Monday, 26 November 2012

Dr Asri: 'Proses dakwah tidak lengkap dalam sekelip mata'


DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DUNGUN – Umat Islam diingat supaya tidak mensia-siakan kehidupan dan perlu mencari kebenaran serta beramal soleh untuk bekalan ke akhirat.

Itu peringatan bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada forum perdana bertajuk Hijrah Menuntut Perubahan sempena Maal Hijrah di Institut Tahfiz Al- Quran Al Mizan, Bukit Besi, malam semalam.

Dr Asri adalah seorang ahli panel pada program berkenaan, selain Imam Muda, Ustaz Abd Jabar Mohamed Kahar dan Ustaz Razali Tahir Annairusy yang juga pengetua institut berkenaan.

Forum tersebut adalah acara sempena program Kembara Ilmu Bersama Dr Maza yang turut disertai peserta yang menaiki 30 kereta serta 10 motosikal berkuasa tinggi.

Konvoi berkenaan yang turut membawa misi kemanusiaan Palestin dan Syria singgah di beberapa lokasi untuk berkongsi ilmu secara santai melalui beberapa program diatur bersama masyarakat dan pemimpin setempat.

Asri berkata, setiap hari umat manusia berhijrah dan pengalaman menjadikan setiap individu berbeza.

Menurutnya, hidup sebagai pendakwah sebenarnya adalah sebahagian daripada proses hijrah kerana mengajak manusia meninggalkan larangan dan melakukan apa yang disuruh ALLAH SWT.

Namun katanya, hidup sebagai pendakwah banyak cabarannya.

“Proses dakwah tidak akan lengkap dalam sekelip mata, ia memerlukan masa.

“Nabi dalam usahanya untuk berdakwah melalui pelbagai ujian, jadi untuk kita merasai pengalaman itu, kita mesti melaluinya,” katanya.

Sementara itu, Abd Jabar ketika berkongsi pengalamannya sebagai pendakwah muda berkata, usaha  mengajak orang muda yang terdedah kepada pelbagai gejala sosial sebenarnya lebih sukar berbanding mengajar agama di surau atau masjid.

“Menjadi pendakwah yang mengajar di masjid lebih mudah kerana hadirin adalah mereka yang sudah minat untuk belajar agama.

“Tapi cabaran saya sebagai imam muda yang lebih besar adalah mendekati golongan yang tidak mahu kepada agama agar berhijrah kepada Islam. Ini yang sukar," katanya.

Sementara itu, Ustaz Razali pula berpendapat, pendidikan awal anak penting agar proses penghijrahan menuju ALLAH SWT itu lebih mudah dilakukan.

"Di institut tahfiz, kita menjaga hubungan dengan ALLAH SWT supaya tidak pernah terputus.

“Jika hubungan dengan ALLAH SWT terputus, bagaimana pula hubungan dengan manusia, pasti lebih sukar,” katanya.

Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment