Saturday, 24 November 2012

Sengatan maut ikan pari






BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan berita seorang pesara tentera mati akibat disengat ikan pari.
Akhbar melaporkan, Rashid Arshad, 55, disengat pari pada tangan kanannya ketika dia cuba menanggalkan ikan tersebut daripada pukatnya. Rashid berjaya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru tetapi meninggal dunia selepas koma selama 48 jam.
Dalam insiden hampir sama di Terengganu, seorang pemuda terpaksa menanggung derita selama lapan tahun gara-gara sengat pari yang tersisa di bahagian punggungnya. Penderitaan pemuda itu berakhir setelah sekumpulan pakar berjaya mengeluarkan bisa itu pada tahun lalu.
Juga mengenai pari, pakar hidupan liar tersohor dari Australia, Steve Irwin meninggal dunia dalam tempoh kurang 10 minit selepas dadanya tertusuk duri ikan pari gergasi pada 2006.
Mengulas mengenai bahaya bisa ikan pari yang enak dimasak asam pedas, Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, kematian akibat tertusuk bisa ikan pari merupakan fenomena terpencil malah tidak ada sebarang laporan khusus membabitkan kes itu di Malaysia.
“Ikan pari bukanlah sejenis haiwan pembunuh tetapi kes-kes kematian berlaku ini berpunca apabila ikan tersebut bertindak agresif setelah ia berasa terancam,” katanya baru-baru ini.
Menurutnya, jumlah bisa pada pari berbeza mengikut saiz ikan pari.
“Jika besar saiz ikan pari, maka jumlah kuantiti bisa yang dihasilkan juga banyak.
“Dalam kes Rashid di Muar, Johor itu, kemungkinan besar mangsa menarik jaring ketika berada di dalam air laut sekali gus menyebabkan ikan pari sangat aktif.
“Kebiasaan nelayan menjala ikan di laut di bawah paras aras pinggang. Apabila dibawa ke darat, ikan itu tidak akan memberi ancaman yang besar,” ceritanya.


DURI ikan pari berbentuk seperti gergaji bermata halus namun bisanya terletak pada lendir.



Tambah Mazlan, mangsa mungkin berdepan komplikasi dengan penyakit lain termasuk penyakit tekanan darah tinggi.
Katanya, kebanyakan mangsa yang terkena sengat ikan pari akan berasa sakit dan mula bengkak serta berdenyut.
“Perkara utama yang boleh dilakukan adalah dengan menyapu cuka kemudian dapatkan rawatan perubatan di hospital berdekatan.
“Paling penting, mangsa tidak boleh panik kerana ia pasti menyebabkan keadaan lebih serius,” katanya.
Seorang kaki pancing, Ismail Faisal mempunyai cerita tersendiri setiap kali dia hendak mendaratkan pari. Ismail yang sudah memancing lebih dua dekad mendakwa, ikan pari merupakan antara spesies ikan yang berbisa.
Bagaimanapun, sengatan pari tidaklah sampai boleh menyebabkan nyawa melayang, katanya.
“Kematian yang berlaku mungkin berpunca daripada alahan seseorang terhadap bisa sengatan ikan itu.
“Memang kita akan terasa kesakitan apabila disengat pari tetapi tak pernah pula kawan-kawan saya mati disengat pari,” katanya yang pernah disengat ikan pari sebanyak tujuh kali sepanjang pengalamannya sebagai pemancing profesional.
Hampir senada dengan Ismail, Presiden Persatuan Pemancing Malaysia (PeMM), Ridzuan Ghazali berkata, lendir pada duri pari merupakan toksin yang berbahaya.
Tegasnya, kematian kemungkinan boleh berlaku apabila terkena pada tempat saluran darah utama.
“Allahyarham Rashid mati mungkin disebabkan bisa pari memasuki nadi tangan kanan sebelum merebak ke jantung. Biasanya, sengatan ikan pari akan meninggalkan nanah dan membawa bau busuk jika tidak dirawat dengan segera,” katanya.
Credit:  MOHD. AFIQ ZULKIFLI

No comments:

Post a Comment