Thursday, 15 November 2012

Menyayangi lebih baik darpada membenci


Kemaafan adalah yang terbaik.

Pernahkah anda disakiti? terutamanya bila emosi kita diuji atau dipermainkan. Timbullah perasaan tidak selesa, marah, benci dan sebagainya. Emosi inilah yang akan menyebabkan tekanan dan pening kepala, walaupun puncanya bukan dari kita.
Memberi kemaafan adalah lebih sukar dari meminta maaf. Oleh itu, salah satu cara untuk menghilangkan tekanan ialah dengan memaafkan dan melupakan. Namun begitu, ungkapannya mudah tetapi perlaksanaannya bukannya mudah, lebih-lebih lagi apabila kita mampu dan berkuasa membalasnya.

Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhanmu, dan (mendapat) syurga yang lebarnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara yang baik. (Surah Ali Imran : 133-134)
Orang yang tidak memaafkan hatinya terikat oleh orang yang tidak dimaafkannya, hatinya sentiasa diselubungi rasa sedih, kecewa, risau, marah dan benci. Itulah kesakitan yang sebenarnya. Maafkan dan lupakan, lepaskan hatimu dari terus mengingatinya, hatimu pasti tenang, bebas dan bahagia.
Berdasarkan firman Allah di atas, Allah mengasihi dan menjanjikan syurga bagi orang yang sanggup memaafkan orang lain, kerana memaafkan orang lain adalah sifat rasul, sifat orang yang mempunyai kasih sayang yang tinggi, sifat kasih sayang inilah yang mengangkat martabat pemiliknya hingga ke syurga, sayangnya Rasulullah SAW kepada umatnya sehingga lafaz terakhir Rasulullah SAW sebelum meninggalkan dunia ialah ‘Ummati ummati’.
Orang yang sukar memberi kemaafan adalah orang yang dikuasai ego. Ia tidak merasakan kebesaran Allah, sebaliknya ia merasakan dirinya besar dan hebat, tidak perlu memaafkan orang lain. Tetapi orang yang merasa kebesaran Allah akan merasa kekerdilan diri, ia merasa dirinya adalah hamba yang tak punya apa-apa.
Allah yang maha besar, maha berkuasa lagikan maha pengampun, sebesar manapun dosa hambanya tetap diampunkan sekiranya bertaubat kepada Allah, bukan sahaja mengampunkan, malah menyayangi pula. Mengapa kita yang tidak punya apa-apa sukar memaafkan?
Mengapa sukar memaafkan? Mengapa kita rasa besar dan ego? Kitakah yang memberi rezeki padanya? Kitakah yang memberi makan padanya? Kitakah yang menyembuhkan sakitnya? kita tak punya apa-apa hakikatnya, layakkah kita untuk tidak memaafkannya?
Allah yang memberikan dia segalanya, rezeki, harta, kesihatan, anak anak dan sebagainya. Sekalipun hamba itu datang dengan dosa penuh langit dan bumi, sebanyak pepasir di lautan, Allah tetap akan memaafkan hambanya bila bertaubat padanya, walaupun hamba itu berdosa berulang kali. Allah yang begitu besar jasa padanya juga memaafkannya, adakah kita layak untuk tidak memaafkannya.
Sungguh kecil kesalahan manusia sesama manusia berbanding kesalahan manusia terhadap Allah, siapakah kita untuk tidak memaafkan? Marilah kita memaafkan dosa sesama manusia, agar Allah memaafkan dosa kita terhadapnya. Sesungguhnya Allah itu maha pemaaf dan penyayang, maka Allah suka kepada hambanya yang pemaaf dan penyayang.
Semoga kita tergolong dalam golongan hamba Allah yang pemaaf, penyayang dan ditempatkan di dalam syurga bersama Nabi kita Muhammad SAW, para rasul dan orang orang soleh, kerana mereka adalah insan insan yang sangat pemaaf dan penyayang.
Credit:Fitrah Power

No comments:

Post a Comment