Wednesday, 21 November 2012

Cuti sekolah untuk caj semula semangat


MUSIM cuti sekolah sudah tiba. Anak dan pelajarlah yang gembira, maklumlah selepas penat belajar dan bertungkus-lumus di dalam kelas, sekarang tiba musim merehatkan minda, cuti daripada rutin kelas.

Berehat pun bukan sebarang rehat dan cuti tapi hendak ‘recharge’ semula semangat dan motivasi. 

Tinggalkan sekolah sekejap bukannya benci dan ‘give up’ pada ilmu tetapi setelah bercuti nanti kembali ke sekolah dengan lebih bersemangat dan menyintai ilmu.

Ibu bapa mungkin sedang merancang bagaimana memanfaatkan cuti penggal ini, semoga perancangan yang digarap terbaik untuk anak.

Sebab anak adalah harta dan aset paling berharga bukan sahaja untuk keluarga malah negara dan Islam tercinta. Sebagai manusia kita sememangnya perlu didisiplinkan dengan sistem.

Solat, puasa, zakat dan haji juga mempunyai sistemnya tersendiri. Ibadah dalam Islam sebenarnya mengajar pengamalnya supaya menjadi orang bersistematik dalam kehidupan.

Kalau berterusan mengamalkan Islam kita akan berdisiplin sama ada ketika bersekolah atau ketika cuti. Semasa bersekolah kita kena bangun awal, dengan adanya sistem solat, walaupun cuti sekolah tetap kena bangun awal juga sebab kita wajib menunaikan solat Subuh.

Janganlah mentang-mentang tidak sekolah, solat Subuh jadi ‘subuh gajah’.
Pastikan ibu ayah mengejutkan anak awal untuk solat.

Begitu juga anak perempuan kita, kena pakai tudung dan tutup aurat bukan sahaja kerana disiplin sekolah atau kerana cantik dan bersopan atau kerana anak orang lain bertudung tetapi kerana ia kewajipan yang diperintahkan Allah.

Walaupun kita ada masa untuk bercuti dan berehat, perlu diingat syaitan dan iblis tidak pernah berehat dan bercuti. Syaitan dari awal lagi sudah bersumpah akan menggoda dan menyesatkan anak Adam.

Sebenarnya Allah menyuruh kita supaya mentaati-Nya kerana Allah hendak bagi kita syurga. Kalau kita benar-benar hendakkan syurga, kenalah taat kepada-Nya.

Apabila tidak ikut Islam, kita tidak akan berdisiplin. Bila tidak berdisiplin, jadilah seperti ‘Mat Rempit’ yang tak berdisiplin di jalan raya malah mencabar undang-undang.

Semuanya bermula apabila tidak takutkan Allah. Kepada ibu bapa, jangan lupa program pembangunan iman untuk anak seperti bawa mereka solat berjemaah di masjid, dengar kuliah di masjid, membaca al-Quran bersama serta hantar mereka ke kem motivasi.

Tidak mengapa melabur sedikit demi masa depan anak. Saidina Umar berkata, “Ajar serta didiklah anak-anak kamu kerana zaman kamu berbeza dengan zaman anak kamu.”

Cuma ibu bapa perlu lebih berhati-hati dalam memilih modul dan cara perjalanan kem motivasi yang dijalankan. Bukan apa, sebab ada setengah kem motivasi yang dijalankan tidak mementingkan roh Islam.

Pergaulan lelaki dan perempuan tidak dijaga. Setengah permainan menghalalkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Kadang-kadang tidak menghormati waktu solat seperti waktu Maghrib sudah masuk tetapi peserta masih dalam latihan.

Pihak masjid kalau boleh, biarlah turut sama terbabit mengatur program cuti yang efektif untuk anak. Rancang dan hebahkanlah kepada ahli jemaah untuk
memberi ‘mood’ kepada remaja.
Duit derma yang dihulurkan jemaah jangan hanya disimpan dan diguna untuk mengecat atau mengindahkan masjid sahaja tapi perlu ‘dipulangkan’ kepada ummah dalam bentuk program dan pendidikan. 

Masjid bukan hanya tempat ibadah tetapi juga menjadi institusi dan madrasah kepada masyarakat.

Penulis dalam satu program latihan untuk satu syarikat korporat di Genting Highlands ketika sesi permainan di kolam sempat berbual dengan beberapa pelajar Cina dan bertanya, “Adik-adik ini ada program ke atau datang bercuti bersama teman? Mereka menjawab, “Kami datang ke sini sebab menghadiri program motivasi anjuran pihak gereja,” ujar mereka.

Penulis dimaklumkan program itu tidak dikenakan sebarang bayaran. Terkejut juga dengan keprihatinan pihak gereja dengan program pembinaan remaja mereka.

Terus penulis teringatkan wang masjid yang jumlahnya mencecah ribuan ringgit, kalau semua berfungsi sebagaimana dinyatakan alangkah subur pendapatan masjid.

Penulis nyatakan sedemikian kerana ada dikalangan ahli jawatan kuasa masjid yang lokek dan berkira. Jangan takut setiap duit yang dibelanjakan akan didoakan malaikat supaya Allah mengganti dan menambahnya semula.

Wang pun kalau dibelanja akan bertambah derma dan simpati penderma. Janganlah dikira sangat duit yang hilang berbanding dapat memulihkan semangat dan motivasi remaja dalam menghadapi godaan syaitan yang penuh racun itu. Selamat bercuti!

Credit:

No comments:

Post a Comment