Monday 26 November 2012

Dr. Zakir Naik – Walking Computer Yang Tegas



Berlatar belakangkan bidang kedoktoran, Dr. Zakir Abdul Karim Naik merupakan seorang pakar dalam bidang perbandingan agama di peringkat antarabangsa. Beliau sangat terkenal dengan teknik pidato dan debatnya yang sangat mantap dan berkesan, menggunakan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis yang sahih serta beberapa kitab-kitab agama lain seperti kita Bible, kitab Veda, kitab Bhagwad Geeta, kitab Upandishads dan banyak lagi.

Dilahirkan pada 18 Oktober 1965 di Mumbai, India beliau juga terkenal dengan kebolehannya mematahkan hujah pihak lawan serta memberikan jawapan yang menyakinkan terhadap persoalan-persoalan yang dikemukakan secara spontan.
Beliau diberi gelaran ‘Walking Computer’ kerana ingatan beliau yang luar biasa, selain digelar sebagai ‘Deedat Plus’ kerana kebolehan beliau berhujah mengenai Islam dan Kristian sebagaimana Ahmad Deedat, guru beliau yang terkenal dengan kelantangannya bersuara dalam dunia perbandingan agama. 

Sheikh Deedat menfokuskan perbandingan Islam dan Injil, manakala Zakir Naik bukan sahaja mampu menghafal al-Quran tetapi beliau turut mendalami agama lain, sehinggakan ramai orang bukan Islam terkejut apabila Dr Zakir naik mampu menghuraikan isi agama mereka dengan tepat, tanpa pertikaian. 

Sejak zaman belajar lagi beliau dikelilingi oleh individu bukan Islam yang menganut pelbagai agama antaranya Hindu, Buddha dan Kristian, dari situ Dr Zakir berminat untuk mengkaji sedikit demi sedikit mengenai isi agama tersebut. Walaupun beragama Islam tetapi minat yang mendalam telah mendorong beliau memahami sesebuah agama itu melebihi penganutnya sendiri. 

Pembabitan awal Dr Zakir bermula sejak awal 90an lagi apabila menjadi penceramah bidan terjun dalam satu program anjuran beliau sendiri. Beliau sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri, mampu mengulas banyak isu seperti Islam dan perubatan, hak-hak wanita dalam Islam, teknologi dan Islam serta perbandingan agama. 

Menjelang tahun 2002, beliau sudahpun memberikan lebih daripada 1000 ceramah di peringkat antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Arab Saudi, United Arab Emirates, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman, Afrika Selatan, Itali, Mauritius, Australia, Malaysia, Singapura, Hong-Kong, Thailand, Guyana (Amerika Selatan) dan banyak lagi termasuklah ceramah di tempat asal beliau sendiri; India.

Dr. Zakir Naik mendapat pendidikan awal di St. Peter’s High School (I.C.S.E), Mumbai sebelum ke Kishinchand Chellaram College, Mumbai dan Topiwala National Medical College, Nair Hospital, Mumbai. Akhirnya, beliau mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang perubatan, M.B.B.S (Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery) di University of Mumbai, India.

Beliau aktif melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti dialog antara agama, dan antara yang paling berjaya adalah dialog bersama-sama Dr.William Campbell (Amerika Syarikat) pada 1 April 2000. 

Beliau juga menerima sebuah plag pada Mei 2005 sebagai anugerah daripada Ahmad Deedat yang terpahat padanya : “Son what you have done in 4 years had taken me 40 years to accomplish, Alhamdulillah.” Ia bermaksud, “Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama 4 tahun untuk mencapai apa yang saya dapat capai dalam tempoh 40 tahun. Alhamdulillah.”

Beliau sering dijemput untuk menyampaikan ceramah di beberapa stesen televisyen dan radio di pelbagai negara, dan kini ratusan daripada video rakaman ceramah beliau boleh didapati dalam bentuk pita video dan cakera padat (CD). 

Program Dr Zakir Naik Malaysian Tour 2012 yang menjelajah lokasi Johor Bahru, UiTM Shah Alam, Kuantan dan PWTC ternyata telah mendapatkan sambutan yang sangat menggalakkan. Ramai peserta yang terdiri daripada bangsa dan agama mengikuti ceramah beliau yang dibuka kepada pertanyaan dan soalan. Malah kini rakaman ceramah beliau boleh diikuti di TV9 setiap hari Sabtu jam 9.30 malam. 


Beliau kini telah meninggalkan karier beliau sebagai seorang doktor perubatan untuk menumpukan seluruh masa dan tenaga beliau untuk aktiviti dakwah Islamiah. Beliau kini menjawat jawatan sebagai Presiden Islamic Research Foundation (I.R.F), Pengerusi I.R.F. Educational Trust, dan Presiden Islamic Dimensions, Mumbai.

Antara buku-buku yang telah dikarang oleh Dr. Zakir Naik termasuklah Replies To The Most Common Question Asked by Non-Muslim, Quran And Modern Science – Compatible Or Incompatible, Concept Of God In Major Religions, Islam And Terrorism, Women’s Right In Islam – Protected Or Subjugated?, Al-Quran – Should It Be Read With Understanding?, Is The Qur’an God’s Word? dan banyak lagi.


Islamic Reseach Foundation yang diasaskan pada bulan Februari 1991 merupakan satu pertubuhan rasmi yang tidak berasaskan keuntungan yang berperanan menyebarkan dakwah serta mesej Islam kepada masyarakat, sama ada Islam mahupun bukan Islam. 

Kerja-kerja yang dihasilkan oleh I.R.F termasuklah buku-buku, dokumentari dan video-video ceramah telah sampai ke jutaan manusia di serata dunia melalui saluran TV satelit antarabangsa, internet dan media cetak; kebanyakan menumpukan kepada memberikan kefahaman terhadap kebenaran dan kesempurnaan agama Islam berdasarkan ayat-ayat al-Quran, hadis sahih dan juga logik akal.


Islamic Reseach Foundation dinaungi oleh Dr. Zakir Naik Abdul Karim Naik. IRF boleh dihubungi di alamat:

56/58 Tandel Street ( North),
Dongri, Mumbai – 400 009 India.
Tel : (0091-22) 23736875 (8 lines)
Fax : (0091-22) 23730689.
Laman web: http://www.irf.net
Susunan Nardin Musammim


Credit: YADIM

No comments:

Post a Comment