Tuesday, 27 November 2012

Waspada dengan permusuhan syaitan


BUKANKAH Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! (Yasin: 60)

Hakikat syaitan sebagai musuh manusia diulangi oleh Allah SWT beberapa kali di dalam al-Quran. Semuanya bagi memperingatkan kita tentang musuh yang nyata ini.

Permusuhan syaitan kepada manusia bukanlah sesuatu atau yang berlaku sekali sekala. Ia adalah sesuatu yang berterusan. Malah itulah misi syaitan selagi manusia berada di dunia ini.
Maka itu, permusuhan syaitan ditujukan kepada kita dalam semua situasi dan perbuatan seperti tidur, mandi, makan, perbualan, pemandangan, pendengaran, pekerjaan, gerak hati, pemikiran, wuduk, solat, puasa, haji dan pelbagai lagi.

Bahkan, permusuhan syaitan kepada kita berlaku dalam bentuk yang berbeza-beza, mengikut tahap keimanan setiap individu.

Walaupun iblis dan syaitan memohon kepada Allah SWT agar dipanjangkan umur sehingga ke hari kiamat dan bersumpah untuk melaksanakan misinya menyesatkan umat manusia, namun terdapat pelbagai cara yang telah diajarkan oleh Allah menerusi al-Quran dan as-sunah untuk menghindari daripada ancaman dan tipu daya syaitan, antaranya ikhlas dalam beragama. (rujuk al-Hijr: 39-40)

Dalam surah ini syaitan telah membongkarkan rahsianya yang amat penting. Dalam melaksanakan perjanjian dan permusuhannya kepada umat Islam sehingga hari kiamat, syaitan hanya tertahan kepada satu golongan manusia, iaitu orang yang ikhlas dalam beragama.

Ikhlas dalam konteks ini bermaksud mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, memperjuangkan agama, membela agama dan melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah SWT.

Sementara itu, acap kali bermain difikiran kita persoalan seperti mengapa manusia menangis ketika berduka dan ketawa ketika gembira? Kenapa kita mengantuk di waktu malam? Bagaimanakah mimpi berlaku? Ke manakah suara yang dituturkan menghilang? Adakah gelombang suara itu terkumpul dalam satu lapisan di atmosfera, atau hilang begitu sahaja?
Sejauh manakah sains moden hari ini mampu memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan di atas ini? Yang pastinya, masih belum mampu dijawab oleh saintis sepenuhnya, bahkan masih tinggal dalam bentuk yang misteri hingga kini.

Lantaran itu Sains Tidak Mampu Jawab Banyak Persoalan Tabii.

Di sinilah letaknya hikmah ciptaan Ilahi yang sukar untuk difahamkan kecuali bagi mereka yang mempunyai mata hati yang mendalam.

No comments:

Post a Comment