Monday, 19 November 2012

Penipuan tawaran kerja di rumah


Penipuan tawaran kerja di rumah
Banyak iklan kecil menawarkan kerja di rumah dengan gaji lumayan di ruang iklan dalam akhbar harian. - Gambar hiasan
Pernahkah anda melihat atau terbaca iklan menawarkan pekerjaan menarik yang boleh dilakukan di rumah? Kerja mengisi katalog dalam sampul surat memang mudah dan menarik.
Begitu juga memasang barang permainan, mengirim koleksi setem dan foto bukannya peluang untuk kita mendapatkan wang, sebaliknya peluang mereka untuk membuat wang dengan menipu kita.Kebanyakan iklan sebegini tersiar di akhbar, internet termasuk diedarkan melalui risalah yang dihantar ke peti surat rumah.
Sebahagian daripadanya terbukti benar menawarkan pekerjaan seperti yang diiklankan, namun sebahagian lagi dikesan menipu orang ramai sehingga membabitkan kerugian mencecah ratusan ringgit.
Kegiatan ini bukan perkara baru, namun ia terus berleluasa kerana sukar untuk menjejak penjenayah yang bijak berselindung di sebalik taktik licik. Ikuti kupasan modus operandi minggu ini.
Si Penipu
- Licik dan gemar ambil kesempatan terhadap orang lain
-Tahu akan proses membuka serta menguruskan akaun di bank
-Mempunyai rakan untuk kendalikan panggilan, SMS, penghantaran borang dan lain-lain
Sasaran mangsa
-Individu yang ada masa lapang

-Mahu cari rezeki sampingan
-Suri rumah yang ingin bantu meringankan beban tanggungan keluarga
-Tertarik dengan tawaran lumayan
-Mudah percaya sesuatu perkara, tidak mengesyaki orang lain
-Kurang ikuti perkembangan dunia luar
Modus Operandi
-Suspek masukkan iklan kecil dalam akhbar harian untuk tarik perhatian mangsa
-Alamat digunakan palsu - tidak wujud, pejabat kosong, pejabat orang lain atau alamat peti surat perkhidmatan pos- agar identiti serta kegiatan mereka sukar dikesan
-Orang yang tertarik boleh terus hubungi melalui telefon bimbit atau SMS
-Suspek akan minta nama dan alamat mangsa untuk kirim borang pendaftaran
-Mangsa diminta masukkan wang deposit (wang pendaftaran kerja) ke dalam akaun syarikat atau dibayar melalui kiriman wang, cek serta wang pos
-Mangsa kemudiannya perlu mengirim borang pendaftaran yang diisi bersama slip bank ke alamat syarikat berserta dengan satu sampul kosong bersetem
-Setelah mangsa kirim semua dokumen diminta, suspek akan hilangkan diri
Tip elak jadi mangsa
-Jangan mudah percaya dengan iklan yang disiarkan terutamanya yang meminta berhubung melalui telefon bimbit atau SMS
-Dapatkan pengesahan perkhidmatan tawaran syarikat daripada Kementerian Sumber Manusia
-Dapatkan khidmat nasihat daripada Tribunal Tuntutan Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
-Waspada akan teknik membuat bayaran dahulu, sebelum mendapat atau menerima sebarang perkhidmatan atau kerja yang ditawarkan
-Jika curiga dengan tawaran yang diiklankan, buat laporan polis
Pengalaman mangsa 1
“Kejadian berlaku enam tahun lalu. Walaupun kerugian dialami tak banyak tetapi saya tetap tidak dapat lupakan pengalaman itu,” kata Rahayu ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, ketika itu dia baru menamatkan persekolahan dan bercadang mencari kerja sambilan, sementara menunggu keputusan SPM.

Dia dan adiknya cuba mencari kerja kosong melalui iklan yang tersiar dalam beberapa akhbar tempatan.

“Kami sangat tertarik dengan satu iklan yang tawarkan kerja memasang anak patung sebab ia boleh dibuat di rumah. Gajinya pun, boleh tahan.
“Kami tidak perlu masuk pejabat tapi hanya perlu buat bayaran daftar kerja  RM70 seorang,” katanya.
Rahayu berkata, dia dan adiknya bertambah yakin dengan pekerjaan itu kerana terdapat testimoni beberapa pekerja lain yang dilampirkan bersama mengatakan mereka menerima gaji lumayan dalam tempoh singkat.

Menurutnya, dia dan adiknya diminta menukarkan wang pendaftaran berjumlah RM140 kepada wang pos dan menghantar ke alamat seperti yang tertera dalam iklan. Mereka diminta menunggu selama dua minggu, sebelum anak patung dihantar ke rumah untuk dipasang.

“Namun selepas tempoh itu, kami masih tak terima anak patung. Syarikat itu tak dapat dihubungi.
“Kami sangat kecewa kerana itu adalah pengalaman pertama kami mencari kerja. Tak sangka jadi mangsa tipu,” katanya. ( Kakitangan swasta, Rahayu Kamal, 29)

Pengalaman mangsa 2

Menurut Abu Salim, dia kerugian kira-kira RM500 selepas tertipu dengan tawaran iklan kerja di rumah iaitu memasukkan katalog ke dalam sampul surat yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan.

Katanya, dia hanya mencari kerja sambilan secara suka-suka, sebelum tertarik dengan iklan tersebut yang menawarkan gaji lebih RM3,000.
“Siapa yang tidak berminat kalau dapat gaji lumayan, kerja pula mudah dan boleh dibuat di rumah sahaja.

“Saya memang tak syak apa-apa sebab iklan tu keluar dalam akhbar terkenal,” katanya.

Menurutnya, setelah menghubungi nombor yang tertera di dalam iklan, dia diarahkan untuk memberikan nombor MyKad dan membuat pembayaran pendaftaran bekerja sebanyak RM500.

Abu Salim berkata, tanpa berfikir panjang, dia kemudiannya segera memasukkan wang dengan jumlah yang diminta ke dalam akaun bank serta diarahkan menunggu selama dua minggu untuk proses seterusnya.
Bagaimanapun katanya, selepas tempoh itu, tiada sebarang maklum balas diterima dari pihak pengiklan. Apabila dia cuba menghubungi pihak terbabit, dia mendapati nombor telefon sudah ditamatkan perkhidmatan.
“Ingatkan boleh tambah pendapatan, tapi jadi mangsa tipu pulak.
“Saya kesal sebab akhbar tu tak tapis iklan yang nak disiarkan,” katanya dengan nada kesal.
Dia percaya dan yakin mungkin sudah ramai yang terpedaya dengan iklan tersebut dan berharap ada pihak bertanggungjawab dapat menangani iklan seumpama itu. ( Peneroka, Abu Salim Hassan, 50)
 
Credit: ASP Foo Chek Seng Pegawai Penyelaras Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaya/Sinar Harian/HASNIZA HUSSAIN.

No comments:

Post a Comment