Wednesday, 14 November 2012

SALAM MAAL HIJRAH 1434H




Alhamdulillah.. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Dialah yang Maha Berkuasa mengatur perjalanan alam ini sejak dahulu hingga sekarang. Maha Suci Allah dari segala sifat makhluk yang lemah dan sangat kekurangan.
Tika ini, saat ini, kalendar kita baharu sahaja beralih dari 1433H ke 1434H. Doa akhir tahun 1433H dan doa awal tahun 1434H baharu sahaja dibacakan dengan penuh keimanan dan pengharapan agar tiap nafas yang kita miliki mampu menjadikan kita insan yang bersyukur kepada nikmat-nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kita. 
Siapapun kita, yang jelasnya ialah kita semua akan kembali kepada Allah untuk dinilai di akhirat kelak. Tiap saat yang pergi, tiap tahun yang berlalu membawa makna hidup kita di dunia yang fana ini kian pendek dan menanti giliran untuk kembali ke hadrat Tuhan yang Maha Esa.
HIJRAH sering disebut-sebut. Sejak kebelakangan ini, menjadi budaya dalam masyarakat kita mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijrah sama ada melalui lisan, kad ataupun sistem pesanan ringkas (SMS). Amalan ini boleh mendatangkan kebaikan jika ia benar-benar dihayati dan diamalkan semata-mata kerana Allah SWT.
Dari segi sejarah, Hijrah Nabi Muhammad SAW berlaku pada 12 Rabiul Awal bersamaan 2 Julai 622 Masihi ketika itu tahun ke 13 kerasulan Baginda. Peristiwa hijrah ini telah dijadikan permulaan bagi kaledar umat Islam sebagai memperingati peristiwa yang sangat bermakna dan bersejarah ini.
Peristiwa Hijrah bukan sahaja berlaku kepada Nabi Muhammad SAW tetapi juga kepada Nabi dan Rasul yang lain. Contohnya, Nabi Yaaqub a.s. telah berhijrah dari bumi Iraq untuk menghindari ancaman hasad dengki saudaranya. Nabi Ibrahim a.s. pula telah berhijrah ke Babil di Iraq dan kemudian ke Mekah sebagai menyahut perintah Allah. Nabi Luth a.s. pula pernah berhijrah ke negeri Syam dan kemudian menetap di Nablus. Manakala Nabi Musa a.s. pernah berhijrah meninggalkan Mesir kerana ancaman dari Firaun.
Dalam konteks hari ini, penghijrahan bermaksud melakukan perubahan terhadap diri atau disebut anjakan paradigma iaitu berubah dari keadaan yang buruk kepada yang baik dan daripada keadaan yang baik kepada yang lebih baik.
Berbekalkan peristiwa Hijrah, umat Islam seharusnya mengambil teladan untuk melakukan penghijrahan dalam kehidupan mereka. Ini sebagaimana maksud firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d ayat 15 “Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka merubah keadaan diri mereka sendiri”.

No comments:

Post a Comment