Saturday 24 November 2012

Pemilik telefon pintar berisiko kena rompak



Kuala Lumpur: Pemilik telefon pintar yang gemar mengemas kini sistem geolocation mereka melalui laman sosial, berisiko mendedahkan diri mereka kepada jenayah harta benda dan jenayah korporat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata penggunaan aplikasi yang mempunyai akses kepada 'geolocation' di mana pengguna memaklumkan kedudukan dan aktiviti mereka, dikhuatiri membuka ruang kepada jenayah pecah rumah dan rompakan. 


Ramai penggemar laman sosial suka kemas kini atau check in lokasi atau kegiatan mereka menerusi aplikasi seperti Foursquare, Facebook untuk memberitahu apa yang sedang mereka lakukan dan tempat hotspot yang dikunjungi atas dasar sekadar suka-suka. 


Namun, tindakan ini sebenarnya menjadi faktor pendorong kepada risiko dijadikan mangsa jenayah selepas penjenayah memperoleh maklumat sasaran mereka melalui alam siber, katanya.

Syed Ismail berkata, ada juga pengguna laman sosial yang mengemas kini status semasa dengan menyatakan mereka akan meninggalkan kediaman mereka untuk beberapa hari dan tindakan itu mengundang risiko kepada keselamatan kediaman mereka.

   HTC One X+


Beliau berkata apa yang membimbangkan ialah kemungkinan laman sosial mereka dicerobohi dan maklumatnya digunakan penjenayah.

Syed Ismail berkata, tindakan mengemas kini kedudukan atau kegiatan semasa juga berisiko mengundang berlakunya jenayah korporat terhadap individu yang memegang status atau jawatan besar dalam sesuatu organisasi.
Ada pihak cuba mencari maklumat menandingi pesaingnya dan sanggup berbuat apa saja bagi tujuan itu, katanya.

Jenayah korporat dalam dunia perniagaan pula berkemungkinan penjenayah melakukannya bagi kepentingan perniagaan seperti mencuri data perniagaan dalam usaha mensabotaj pesaing, katanya.

Syed Ismail berkata, meskipun setakat ini belum ada maklumat atau aduan mengenai kegiatan jenayah seperti pecah rumah atau rompakan disebabkan tindakan mengemas kini status atau kedudukan, namun langkah keselamatan dan risiko harus diketahui pengguna.

Beliau menasihatkan pengguna supaya bijak menggunakan aplikasi demikian serta memahami fungsinya.

Katanya, sebanyak 24 kes kegiatan menggodam mengakibatkan kerugian kira-kira RM3.3 juta dilaporkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangunan Perniagaan CyberSecurity Malaysia, Mohd Anwer Mohamed Yusoff, berkata negara kerugian RM2.75 bilion dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini akibat jenayah siber khasnya dalam sektor kewangan. 



No comments:

Post a Comment