Tuesday, 13 November 2012

Kisah Imam Ahmad bin Hambal Menghalau Jin.


Sebahagian jin yang derhaka memang suka menganggu dan menganiaya manusia dengan pelbagai cara. Salah satu cara jin mempermainkan manusia ialah dengan masuk dan menjelma ke dalam tubuh manusia. Manusia yang dimasuki jin disebut kesurupan (kerasukkan) dan tidak sedarkan diri, maka semua gerakan dan percakapannya adalah cakap jin. Walau bagaimanapun jin takut dan tunduk kepada orang solih yang taat kepada Allah.

Pernah terjadi dizaman khalifah al-Mutawakkil, seorang sahaya perempuan telah dirasuk oleh jin. Dia bercakap dan bertindak sesuai dengan kehendak jin. Beberapa orang telah cuba menghalau jin tersebut tetapi tidak berhasil. Khalifah teringat kepada Imam Ahmad Ibnu Hambal seorang yang terkenal alim dan taat kepada Allah swt. Maka khalifah pun mengutus salah seorang teman Imam Ahmad bertemu beliau. Apabila utusan itu sampai, Imam Ahmad sedang duduk dalam masjid.

"Aku diutus khalifah untuk bertemu tuan" katanya kepada Imam Ahmad. Kemudian dia berkata lagi "Dirumah Amirul Mukminin ada seorang sahaya perempuan dirasuk jin. Khalifah meminta tuan agar berdoa kepada Allah swt supaya sahaya itu sembuh".

Imam Ahmad tidak banyak bercakap apa-apa tentang aduan utusan itu. Beliau terus mengambil sepasang terompah kayu dan diberikan kepada utusan khalifah. Beliau menyuruh agar utusan itu duduk disisi kepala sahaya yang dirasuk itu dengan memegang terompah kayu itu dan memberikan kata dua kepada jin agar keluar, kalau tidak akan dipukul 7 kali.

Utusan khalifah terus balik dan melaksanakan apa yang diarah oleh Imam Ahmad. Dia menghampiri sahaya dan duduk disisi kepalanya sambil berkata "Pilih mana satu yang engkau lebih suka. Kau keluar dari wanita ini atau aku pukul kepala engkau sebanyak 7 kali dengan terompah kayu ini".

Mendengar ancaman itu, jin berkata melalui lidah perempuan yang diganggunya "Kami mendengar dan taat kepada Imam Ahmad. Sekiranya beliau menyuruh aku keluar dari negeri Iraq ini, tentu aku akan keluar, kerana Imam Ahmad seorang yang taat kepada perintah Allah." Kemudian jin itu berkata lagi "Siapa sahaja yang taat kepada Allah, tentu dia ditaati oleh segala sesuatu".

Sejurus kemudian jin itu pun keluar dan perempuan yang diganggunya pun sedar dan pulih seperti biasa.

Setelah beberapa masa berlalu, Imam Ahmad bin Hambal wafat. Tiba-tiba jin derhaka itu datang lagi ditubuh wanita yang diganggunya dahulu. Maka jadilah wanita itu dirasuk buat kali kedua. Oleh kerana Imam Ahmad sudah tiada lagi, maka khalifah memanggil salah seorang teman Imam Ahmad untuk menyembuhkan sahayanya.

Teman Imam Ahmad itu pun berbuat sebagaimana Imam Ahmad dahulu iaitu memegang terompah kayu, duduk disisi kepala wanita yang dirasuk itu dengan berkata kepada jin "Sila engkau keluar. Sekiranya tidak, akan aku pukul kepala kau dengan terompah kayu ini sebanyak 7 kali".

Rupanya kali ini jin tahu bahwa yang menyuruhnya keluar bukan Imam Ahmad tetapi hanyalah seorang temannya yang tidak setaat Imam Ahmad. Maka ia pun tidak mengambil perhatian langsung kepadanya. Bahkan jin itu berkata "Aku tidak akan taat kepadamu dan tidak akan keluar dari sini. Adapun Imam Ahmad Ibnu Hambal dahulu adalah seorang yang taat kepada Allah swt dan aku diperintahkan agar taat kepadanya".


Credit:amadi

No comments:

Post a Comment