Baginda bertitah, sesuai dengan status itu, bandar ini perlu sentiasa berada dalam keadaan aman damai, indah, sejahtera, bersih dan bebas daripada sebarang sisa buangan dan pencemaran alam sekitar selain bangunan-bangunan lamanya dikekalkan.
"Penduduk di sini hendaklah saling bekerjasama dan bantu membantu sama ada dengan pihak kerajaan atau Majlis Perbandaran Muar (MPM) bagi menjaga bandar, sungai dan alam sekitar.
"Sebagai Bandar Diraja juga, bangunan-bangunan lama yang bersejarah hendaklah diwartakan dan kekal sebagai satu warisan. Kesenian dan kebudayaan setempat juga hendaklah dipamerkan kepada umum sebagai satu tarikan di Bandar Maharani ini," titah baginda pada Majlis Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.
Turut berkenan berangkat Tuanku Raja Zarith Sofiah; bonda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah; puteri dan putera baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Aminah; Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof. Dr. Datin Paduka Jamilah Ariffin dan Exco-exco kerajaan negeri.
Sultan Ibrahim seterusnya meminta rakyat supaya terus mengekalkan hubungan baik antara pelbagai kaum dan agama selain bertolak ansur bagi memastikan negeri ini aman dan sentosa.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, perisytiharan tersebut amat besar ertinya bagi Muar yang mempunyai sejarah panjang dan wujud sejak zaman empayar Funan sekitar (240-627 Masehi), Seri Wijaya Palembang (686-1270 Masehi) dan Majapahit (1293-1364 Masehi).
Katanya, selain mempunyai sejarah yang panjang, Muar adalah sebuah daerah yang unik kerana bandarnya terletak di tepi muara sungai dengan suasana persekitarannya tenang serta nyaman dan tidak banyak bandar di dunia yang mempunyai lokasi sedemikian.
"Oleh itu, wajar sekali setelah 125 tahun, Bandar Maharani dimasyhurkan sebagai Bandar Diraja. Kerajaan yakin seluruh rakyat Johor terutama penduduk Muar akan beroleh manfaat daripadanya.
"Pembanguan kemudahan awam termasuk peningkatan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pelancongan, pembuatan, perhotelan dan sebagainya, sudah pasti dengan sendirinya menjadikan kehidupan rakyat akan bertambah makmur," katanya.
Selepas majlis itu, Sultan Ibrahim menandatangani plak Bandar Maharani Bandar Diraja sebagai simbolik perasmian itu dan menanam kata watikah perisytiharan di Tugu Masa sebelum merasmikan Pertandingan Jet Ski Antarabangsa di pesisiran Sungai Muar.
No comments:
Post a Comment