Friday, 30 November 2012

Hasad Dengki | Pemusnah Kebaikan


Bersatunya sebuah masyarakat bergantung kepada saling tolong membantu antara satu sama lain. Pergantungan ini bukan sahaja di peringkat yang lebih besar, malah ianya bermula di peringkat paling kecil iaitu di dalam sebuah keluarga. Seterusnya akan terbentuk di kalangan rakan-rakan sejawat di pejabat atau tempat kerja.
Persoalannya, mampukah membentuk sebuah masyarakat atau komuniti yang hebat dan berjaya, jika terdapat perasaan mazmumah dalam diri iaitu hasad dengki? Pertalian persaudaraan antara keluarga mampu tergugat jika ada di kalangan ahli keluarga yang berhasad dengki. Hubungan sesama rakan sekerja mampu goyah jika perasaan buruk ini menular di pejabat atau tempat kerja. Dan apa yang paling jelas ialah permuafakatan sesebuah masyarakat setempat atau kejiranan pastinya tiada jika sifat dengki mendengki menghantui kehidupan.
Seorang pujangga arab pernah berkata, “Orang hasad dengki hidupnya tidak akan senang dan orang yang bakhil tidak akan berbudi, dan tidak dapat dijadikan kawan bagi orang yang selalu merasa jemu dan tidak ada jiwa kemanusiaan bagi seorang pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak.”
Sabda Rasulullah s.a.w, “Hindarilah sifat dengki kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering.” (HR Bukhari dan Muslim). Ini bermaksud hasad dengki akan memakan segala kebaikan yang dilakukan oleh orang yang dengki selagi dia tidak insaf dan menjauhkan diri dari sifat buruk itu.
Cuba kita renungkan kembali kepada sejarah Islam, bagaimana sifat dengki syaitan telah menyebabkan Adam a.s telah dikeluarkan dari syurga. Dan sifat dengki jugalah yang menyebabkan berlakunya pembunuhan pertama dalam sejarah Islam iaitu antara Qabil dan Habil. Segala sifat hasad dengki itu dibelenggu oleh iblis dan syaitan durjana dan mereka yang dikuasai dengan perasaan ini tentunya mempunyai keimanan yang lemah dan tidak sempurna. Jika tidak, masakan pula sifat mazmumah itu mampu bersarang dan bertahan dalam dirinya.
Sabda nabi s.a.w, “Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara iman dan hasad dengki.” (Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi).
Namun demikian, masih terdapat ciri-ciri dengki yang dibenarkan dalam Islam. Dengki yang diharuskan hanyalah dengki yang menjadikan manusia itu berebut-rebut untuk melakukan kebaikan seperti berlumba-lumba menuntut ilmu atau berlumba-lumba melakukan ibadat dan yang sepertinya. Dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah s.w.t harta lalu dibelanjakan hartanya itu ke jalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah s.w.t ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang lain.” (Riwayat Hadith al-Bukhari).
Orang yang berhasad dengki hidupnya tidak akan tenteram. Dia bukan sahaja dimurkai oleh Allah s.w.t, malah pemikirannya juga sentiasa bercelaru kerana asyik memikirkan ketidakpuasan hati terhadap orang lain. Sifat dengki akan mewujudkan permusuhan. Manusia seperti ini sentiasa merasakan dialah yang terbaik, jadi dia akan gelisah jika ada orang lain melebihinya. Paling hina sekiranya dengki itu menyebabkan dorongan kepadanya melakukan sesuatu tindakan semata-mata untuk menjatuhkan orang lain, seterusnya boleh mengundang sifat mazmumah yang lain seperti fitnah-memfitnah, pergaduhan, pembohongan, putus silaturahim, penghinaan dan lain-lain. Malah tidak hairan jika sifat dengki juga boleh mengakibatkan pembunuhan. Semua kejahatan ini akan wujud ekoran dari perasaan hasad dengki selagi ianya tidak dijauhkan.
Firman Allah s.w.t, “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.” (Al-Falaq: 5)
Bermuhasabah diri. Banyakkan berdoa dan bertaubat kepada Allah, mudah-mudahan Allah s.w.t akan menyelamatkan kita dari sifat syaitan durjana itu. Mudah-mudahan dengan menjauhkan diri kita dari sifat hasad dengki akan mampu menjadikan diri kita lebih kuat jiwa, fizikal dan mental untuk menempuh kehidupan yang serba mencabar ini. Bukankah kita mahu menjadi umat yang terbaik? Insya-Allah. Wallahu’allam.

No comments:

Post a Comment