Monday, 26 November 2012

Bapa intifadah Palestin: Sheikh Ahmed Yassin berjuang di atas kerusi roda



 Sheikh Ahmed Yassin
Sheikh Ahmed Yassin
22 Mac 2004 , tarikh keramat tidak mungkin dilupai segenap rakyat Palestin. Subuh itu, suasana hening diiringi suara Azan di bandar Gaza. Hamba ALLAH SWT yang datang berduyun-duyun untuk menunaikan solat juga tidak ada bezanya.
Tetapi sejurus berakhirnya solat Subuh... bandar Gaza tiba-tiba dikejutkan deruman helikopter. Sheikh Ahmed Yassin yang muncul dari masjid ditembak dengan tiga bedilan roket dari helikopter Apache tentera Israel.
Bandar Gaza bergegar kerana sebutir peluru berpandu meluncur tepat ke arah pemimpin agung Hamas (Al-Harakatul Muqawwamatul Islamiyah) yang dicintai seluruh rakyat Palestin itu. Beliau syahid!
Suasana menjadi kelam kabut. Orang lari bertempiran. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Impian Sheikh Ahmed syahid tercapai. Jasadnya hancur bersama kerusi roda yang setia menemaninya sekian lama. Hampir seluruh tubuh hancur kecuali kepalanya.
Tindakan Israel itu amat kejam kerana pemimpin Palestin itu hanya seorang tua yang lumpuh lagi lemah. Pergerakannya hanya menggunakan kerusi roda selain mengalami pelbagai lagi keuzuran.
Namun, buat Israel, beliau dilihat sebagai ancaman kepada rejim Zionis itu dan perlu dihapuskan dengan apa cara sekalipun. Asap tebal memenuhi ruang angkasa Gaza.

Lima minit sebelum kejadian, anaknya, Abdul Ghani yang terselamat daripada serangan itu berbisik kepada bapanya, "Ayah, di luar kedengaran bunyi helikopter yang ingin memburumu.”
Syeikh Ahmed dengan tenang menjawab, “Biarkanlah. Aku juga sedang menunggu.”

Hari itu, enam orang termasuk dua pengawal dan seorang anak lelakinya terkorban manakala 17 yang lain cedera. Seluruh rakyat Palestin berkabung. Air mata mengalir dari pencinta jihad hingga kanak-kanak, golongan kaya, marhaen, semua umat Nabi Muhammad SAW dari seluruh Gaza hingga ke serata pelosok dunia.
Hari itu gugurlah seorang pejuang yang mengorbankan seluruh hidupnya untuk Islam. Seorang pejuang yang tidak membuatkan jihad itu terhenti walau sesaat. Jihad hingga ke titisan darah terakhir yang membuatkan rejim Zionis tidak senang duduk.

Ketika hayatnya, As-Syahid Sheikh Ahmed pernah berkata dengan berani, “Yakinlah, akan tampil mujahid baru menyambung tugas mereka yang telah pergi. Hamas bersiap sedia untuk mempersembahkan serangan berani mati setiap hari sehingga 20 tahun akan dat ang. Kini Palestin menunggu generasi masa depan iaitu jil al-tahrir (generasi pembebas).”
Peribadi mulia

Sheikh Ahmed ialah mujahid yang sangat taat kepada perintah ALLAH SWT. Beliau menjadikan amalan membaca dan menghafal al-Quran sebagai rutin hidup.
Beliau terkenal sebagai peribadi yang mencintai dan menyayangi sesama muslim. Baginya hati yang bersih asas kepada penerusan perjuangan yang tulen. Berbekalkan sifat itu beliau disayangi anak muda Palestin.  
Bagi Sheikh Ahmed, seluruh kehidupannya adalah untuk pembebasan bumi Palestin. Beliau berdakwah dan menyampaikan kuliah pengajian, sekali gus menyedarkan anak muda Palestin untuk bangkit menentang kekejaman rejim Zionis yang merampas tanah air mereka secara zalim.
Dengan berteraskan tarbiah (didikan) imaniyah beliau melahirkan pemuda Islam yang layak untuk memikul tugas sebagai seorang mujahid. Beliaulah ikon mukmin yang telah menyemarakkan semangat mereka untuk melakukan penentangan terhadap Israel terkutuk itu secara bersemuka.
Hidup mereka tiada ketakutan terhadap manusia atau sesiapa sahaja kerana mereka adalah generasi yang berimejkan takut hanya kepada ALLAH SWT. Dalam keadaan lumpuh dan berkerusi roda, ia tidak menghalang dirinya untuk bergerak.  
Beliau juga bersifat zuhud dan rumah didiami amat daif. Antara kata-katanya, "Aku lebih memilih untuk memiliki rumah mewah di Syurga.”
Sheikh Ahmad Yassin menerima ujian semenjak awal kehidupannya, apabila keluarganya diusir dari kampung halaman mereka di Kufr Yunus ke Gaza pada 1948. Di Gaza, beliau melibatkan diri dengan perjuangan pembebasan Palestin.
Ketika beliau sedang menuntut di Mesir, beliau ditangkap dan dibuang dari universitinya kerana penglibatannya dengan gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Itu semua tidak menjadi alasan buatnya untuk meninggalkan gerakan jihad dan dakwah demi membebaskan bumi Palestin yang dijajah oleh rejim Zionis.
Di Gaza pula, dari dulu sehinggalah zaman Intifadah 1987, beliau sering keluar masuk penjara kerana usaha jihadnya.
Lebih menyedihkan, keadaan lumpuhnya menjadi semakin parah ketika beliau berada di dalam penjara. Kesihatannya semakin teruk hingga menyebabkan mata sebelahnya buta dan telinganya kirinya hampir pekak.
Zionis dikutuk suara antarabangsa kerana bodoh sanggup berlawan dan menggadai jutaan wang dan maruah hanya ingin membunuh pejuang Hamas yang tua dan lumpuh, yang hanya duduk di atas kerusi roda.
Rejim itu sebenarnya dayus dan amat hina di sisi mata masyakat dunia kerana sanggup membunuh jutaan nyawa yang tidak bersalah, kanak-kanak dan wanita. Rumah, sekolah dan hospital dibedil.
Di saat ini, berapa banyakkah nyawa terkorban dan tangisan anak kecil yang kehilangan ibu dan ayah angkara Zionis Israel? Ayuh bangunlah! Berjihadlah untuk pembebasan rakyat Palestin.
Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment