Friday, 30 November 2012

Bina Semangat Bekerja Dengan Positif Dan Zikir

Berdedikasi, motivasi melaksana tugas hasilkan impak positif


Bekerja dan bekerja dengan bersemangat pada asasnya adalah perkara sama tetapi memberi kesan atau hasil yang berbeza. Individu yang berbeza pula, walaupun melaksanakan kerja yang sama, boleh menatijahkan hasil kerja yang berbeza sekiranya melaksanakannya dengan bersemangat. 

Bekerja dengan semangat bermaksud bekerja dengan kesungguhan dan sepenuh hati termasuklah dengan minat dan dedikasi. Ia juga disebut sebagai dorongan dan motivasi kerja. Semangat bekerja inilah yang sangat dituntut dalam Islam. 

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang melaksanakan kerjanya dengan kesungguhan.” (Riwayat al-Baihaqi). Pesanan lain Rasulullah SAW ialah menerusi sabdanya: “Jangan lemah” (Riwayat Muslim). Abu Umamah ra pula meriwayatkan bahawa Baginda berpesan supaya berdoa untuk menjauhkan diri daripada sifat berkeluh kesah, berdukacita, bakhil, lemah, malas, bebanan hutang dan tekanan individu. Justeru, ajaran Islam amat menekankan budaya kerja dengan bersemangat serta tanpa putus asa. 

Rasulullah SAW juga mengingatkan majikan menyegerakan pem upah dengan sabdanya: “Bayarlah upah sebelum kering peluhnya” yang menunjukkan pentingnya bekerja dengan semangat dan menjaga momentum semangat itu melalui ganjaran segera daripada majikan.

Nilai sesuatu kualiti kerja

Peribahasa Melayu - membujur lalu melintang patah - pula menunjukkan semangat dan kegigihan melakukan kerja kerana walau apapun terjadi tujuan mesti dicapai dan tiada yang dapat menghalang. Justeru, satu daripada nilai yang boleh mengubah kualiti kerja terletak juga pada semangat pekerja tersebut. 
Namun, dalam bekerja kita tidak dapat lari daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran, masalah, kesukaran, kerenah sama ada oleh pelanggan atau warga organisasi sendiri yang boleh mempengaruhi emosi dan semangat kerja. Justeru, perlu difahami bahawa turun naiknya emosi yang mempengaruhi semangat adalah lumrah dan tabiat semula jadi manusia. 

Seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Farabi dalam al-Madinah al-Fadhilah mengenai sifat manusia, bekerja dengan semangat bukan bererti kita perlu menyingkir semua perasaan kurang selesa seperti gusar, gundah, risau, stres, sedih dan marah tetapi bagaimana mengawalnya daripada melemah atau menghilangkan semangat bekerja atau bagaimana menukarkan tekanan dan cabaran itu kepada semangat kerja yang lebih berdaya tahan. 

Hal ini sangat penting kerana anggota organisasi itulah yang akan memacu keuntungan dan kejayaan. Justeru, senjata pemulihan dan vitamin dalam membina dan mengawal motivasi kerja adalah dengan berzikir. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).” (Surah Al Baqarah, ayat 152)

Zikir bermaksud mengingati Allah SWT dalam detik hati, lidah dan setiap amalan kebaikan sama ada secara umum seperti dalam melaksanakan kerja seharian atau secara khusus seperti mengerjakan solat, membaca al-Quran, berdoa dan berzikir seperti tasbih, tahlil, tahmid dan takbir. Firman Allah bermaksud: “Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hati dengan merendah diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raf: Ayat 205)

Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak menukilkan sabda Rasulullah SAW: “Mahukah kalian aku beritahu tentang perbuatan kalian yang paling baik, paling suci di sisi Tuhanmu, paling tinggi dalam mengangkat darjatmu dan paling baik bagi kalian daripada bersedekah emas dan perak serta lebih baik bagi kalian daripada bertemu dengan musuh-musuh kalian, sehingga kalian akan memukul leher mereka dan mereka akan memukul leher kalian?” Para sahabat menjawab: “Ya, wahai Rasulullah”. Rasulullah SAW bersabda: “Perbuatan itu adalah berzikir kepada Allah”. (Riwayat al-Tirmizi & Ibnu Majah)

Jaminan ketenangan jiwa

Pelbagai kelebihan berzikir mendekatkan diri dengan pelbagai rahmat Allah termasuk ketenangan jiwa, keampunan dosa, perluasan rezeki daripada sumber tidak diduga kemudahan daripada kesukaran dan kesenangan daripada kepayahan. Justeru, yakinlah kita akan menjadi kuat apabila kita sering berhubung dengan Allah SWT. 

Besarnya impak pekerja yang mengingati Allah dengan tidak diibaratkan oleh Rasulullah seperti antara mereka yang hidup dan mati. Justeru, sebagai pekerja marilah kita memperbanyakkan mengingati Allah SWT tanpa leka melalui amalan wajib khasnya solat dan memperbanyakkan berdoa dan berzikir termasuklah semasa menjalankan kewajipan bekerja sebagai ‘vitamin’ penyuntik semangat di mana saja kita berada dan dalam apa jua urusan yang kita laksanakan.


Credit: Prof Madya Dr Syarifah Hayaati Syed Ismail

No comments:

Post a Comment