Monday, 26 November 2012

Usah ambil hak orang lain


BAGI mengingatkan umat Islam mengenai hal ini, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 188)

Imam ibn Al-Arabi menegaskan, ini adalah satu daripada kaedah utama dalam muamalat Islam dan asas bagi semua kontrak pemilikan. Erti ‘makan’ dalam ayat itu ialah penerimaan pemberian dan penguasaan. Digunakan lafaz ‘makan’ sebagai perumpamaan saja. 

Manakala maksud al-bathil menurut Ibn Al-Arabi: “Apa saja yang tidak halal menurut syarak seperti riba, gharar dan seumpamanya yang tiada satu faedah dan manfaat (buat Islam).”

Imam Al-Qurtubi pula memasukkan perjudian, pertaruhan, penipuan, rampasan, khianat, mengingkari hak orang lain yang sebenar, mengambil hak orang lain tanpa direstuinya, upah pelacuran, upah tukang tilik, bomoh, harga dan untung jualan arak, babi serta yang memang jelas menyalahi hukum Islam adalah tergolong dalam makanan harta secara batil.

Ini sebagaimana dinyatakan beliau: “Sesiapa yang memakan harta orang lain tidak di atas landasan izin syarak, dia makan secara batil.”

Syeikh Rashid Ridha meluaskan lagi bentuk dan erti ‘batil’ kepada apa saja bentuk bayaran yang tidak mempunyai nilai timbal balik pada pandangan syarak yang sebenar.

Begitupun, mungkin ada yang akan bertanya mengenai hukum terhadap hak ke atas harta yang dimenangi membabitkan proses kehakiman di mahkamah dengan alasan harta berkenaan disahkan oleh hakim.

Mengenai hal ini, Imam Al-Qurtubi menjelaskan: “Barang siapa memakan secara batil, walaupun jika seorang hakim memutuskan kemenangan kepadamu, sedang kamu sesungguhnya tahu kamu (hakikatnya) bersalah (menipu), yang haram tidak akan sesekali menjadi halal dengan keputusan hakim itu, dia hanya memberikan hukum berdasarkan zahir dan bukti, dan inilah (hukum yang) ijma.” (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 2/338)

Pandangan ini jelas sebagaimana dinyatakan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya aku hanya manusia dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk diselesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujah dari sebahagian lainnya, lalu aku memutuskan hukuman berdasarkan apa yang aku dengar saja.

“Barang siapa yang ku jatuhkan hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi)

Kesimpulannya, umat Islam perlu mengambil berat mengenai perihal pendapatan mereka kerana dibimbangi mereka lupa mengenai objektif dalam mendapatkan harta serta pendapatan secara halal sehingga menganiaya pihak lain.

Secara ringkasnya, setiap kita perlu mengelak terbabit dalam mengambil hak orang lain (batil) seperti:
  • Menjual sesuatu yang memudaratkan masyarakat seperti menjual ubat dan makanan yang tamat tempoh, kesan buruk akibat tercemar atau mempunyai aib tapi disembunyikan. 
  • Mendapatkan pendapatan daripada upah menjampi yang bercanggah dengan Islam. 
  • Mengadakan kursus motivasi dengan ilmu karut dan meragukan seperti sandaran ramal masa depan sama ada melalui tarikh lahir, rupa paras dan yang sepertinya. 
  • Menyalahgunakan pekerja sehingga mereka disuruh melakukan tugasan yang tidak dibayar setimpal serta dizalimi dari sebarang kenaikan walau mempunyai merit tinggi dan baik. 
  • Mengambil upah hiburan (entertainment cost) daripada syarikat sebagai pra syarat untuk memastikan peluang kontrak dan tender sentiasa baik. 
  • Sengaja berhutang dengan niat untuk tidak membayar semula dan sentiasa beralasan untuk melepaskan diri daripada pembayaran semula hutangnya walau dalam keadaan mampu. 
  • Individu yang tidak termasuk dalam kategori asnaf zakat tetapi menerima wang zakat. Mereka juga ialah pemakan harta secara batil. 
  • Individu yang mengambil dan menikmati harta wakaf secara peribadi dan menjadikannya sebagai hak miliknya secara tetap. Ini juga ditegah dan termasuk dalam harta batil. 
  • Memakan dan menyalahgunakan harta anak yatim piatu. 
  • Hadiah yang diberi oleh pelanggan atas alasan kononnya berterima kasih atas kecekapan dan bantuan kita selaku pekerja yang menyiapkan kerja tepat waktunya atau segera. Ia dinamakan wang ‘ghulul’ atau ‘khianat’ oleh Nabi SAW. 
  • Mencipta dan menghasilkan filem, novel, penulisan majalah, artikel, kartun, animasi, drama, buku, cerpen dan sepertinya yang meraikan nafsu manusia, bertemakan nafsu dan hiburan bagi meraih keuntungan. Keuntungan yang diperoleh hasil daripada kerja ‘seni’ yang merosakkan jatidiri kemanusiaan. 
  • Mencuri dan mengambil kesempatan di atas musibah yang menimpa orang lain. 

    Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Ibnu Abbas RA mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya manusia memiliki dua lembah yang penuh dengan harta, nescaya dia mencari (lembah harta) yang ketiga. Tiada yang memenuhi isi perut manusia, kecuali tanah. Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.”

    Credit: Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

    No comments:

    Post a Comment