PENGHIJRAHAN Rasulullah SAW yang berlaku pada 1433 tahun yang lalu telah menyaksikan kesan yang besar terhadap tahap ketamadunan umat Islam dan pasang surut perjuangan mereka dalam memartabatkan agama Islam.
Peristiwa Hijrah ini telah mencatatkan permulaan kepada kegemilangan umat Islam dalam pembinaan negara Islam yang disegani dan dihormati kawan dan lawan sehingga mencipta detik bersejarah dalam lipatan sejarah umat Islam.
Melihat kepada kepentingan hijrah, maka Saidina Umar ra sewaktu menjadi khalifah dan sahabat-sahabat yang lain telah berijtihad untuk memilih tahun tersebut sebagai permulaan kalendar umat Islam sebagai memperingati dan mengenang pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat ra serta implikasi yang penting dari peristiwa ini.
Walaupun di sana masih banyak lagi peristiwa yang penting untuk diambil sebagai tahun permulaan kalendar umat Islam seperti kelahiran dan kewafatan Rasulullah SAW, namun penghijrahan Baginda tetap menjadi pilihan utama.
Penghijrahan tersebut telah melonjakkan umat Islam kepada satu tahap yang benar-benar membuka mata masyarakat dunia termasuk dua kuasa besar ketika itu iaitu, Parsi dan Rom terhadap keupayaan generasi yang dibina oleh Rasulullah SAW.
Terlalu banyak episod kejayaan yang telah dicapai bermula dengan detik penghijrahan tersebut. Namun, perlu difahami bahawa kejayaan hijrah bukanlah diraih secara percuma. Akan tetapi ia menuntut kepada 'bayaran' yang sangat besar iaitu pengorbanan harta benda, tenaga, masa hatta nyawa.
Sehingga setiap daripada kita akan terfikir apakah kita dapat melakukan pengorbanan yang sama sekiranya berada di tempat mereka, justeru, umat Islam perlu menghayati peri pentingnya penghijrahan Rasulullah SAW dan bagaimana Baginda membina masyarakat bertamadun dari segi pemikiran, akhlak dan material.
Akhirnya kefahaman daripada penghayatan ini dapat diaplikasikan dalam membina organisasi masing-masing.
Muhammad Said Ramadhan al-Buti menjelaskan terdapat tiga asas utama yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dalam membina kerajaan Islam Madinah (rujuk Fiqh Sirah, Muhammad Said Ramadhan al-Buti).
Pertama, membina masjid sebagai pusat pemerintahan kerajaan. Muhammad Munir al-Ghatban menjelaskan: "Masjid Nabawi bukan sahaja menjadi tempat menunaikan ibadah solat, bahkan ia menjadi institusi penting bagi umat Islam ketika itu untuk menerima ajaran Islam daripada Rasulullah SAW. "Masjid itu juga merupakan pusat perbendaharaan ilmu pengetahuan yang terkumpul hasil daripada sumbangan pelbagai puak yang masing-masing membawa kesenian, kepandaian dan kemahiran dalam pelbagai bidang."
Ketika inilah kita perlu fahami bahawa paksi utama pembinaan sesebuah organisasi adalah ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan ini pula mestilah dipandu dengan wahyu Ilahi iaitu al-Quran dan sunnah.
Organisasi yang tidak terbimbing dengan syariat Allah SWT tentunya akan melaksanakan strateginya tanpa sempadan dan batasan. Maka berlakulah pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan salah laku yang lain.
Asas kedua dalam pembinaan kerajaan pasca Hijrah ialah mempersaudarakan di antara Muhajirin dan Ansar. Langkah ini telah diambil oleh Rasulullah SAW untuk menyatukan hati-hati umat Islam di atas dasar akidah dan keimanan yang jitu sehingga persaudaraan ini lebih utuh melebihi hubungan kerabat dan keturunan.
Bayangkan, dua buah kabilah yang pernah bermusuh ratusan tahun dapat bersatu di bawah kepimpinan Baginda SAW. Di sinilah kita dapat fahami bahawa adalah mustahil sesebuah organisasi dapat dibina tanpa persefahaman dan perpaduan.
Perpaduan sangat penting untuk mewujudkan wehdatul fikr (kesatuan pemikiran) dan wehdatul amal (kesatuan pelaksanaan). Organisasi yang tidak mempunyai kesatuan dan persaudaraan bakal menemui kegagalan kerana tandus dengan kasih-sayang, cinta dan kesetiaan.
Ia umpama sebuah bahtera yang mempunyai penumpang yang bermusuh di antara satu sama lain. Ia pasti tidak akan sampai ke destinasi bukan disebabkan gelora badai yang menggunung, sebaliknya hancur dimamah kebencian dan permusuhan.
Organisasi yang bermasalah sebenarnya bukan disebabkan persaingan dari luaran, tetapi biasanya disebabkan persaingan yang berlaku di peringkat dalaman secara tidak sihat.
l Asas ketiga yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW ialah gagasan piagam yang dikenali sebagai Sahifah Madinah. Piagam ini digubal untuk memberikan panduan, kawalan dan tindakan bagi mengatur hubungan yang sejahtera di antara masyarakat Islam dan bukan Islam.
Oleh itu, sebarang pelanggaran ke atas perlembagaan ini akan dikenakan tindakan tegas. Asas ketiga ini juga penting dalam pembinaan organisasi. Polisi dan garis panduan yang tersusun akan membantu kepimpinan dalam mengawal disiplin anggota organisasi dengan lebih teratur.
Apa yang dapat kita fahami daripada ketiga-tiga dasar pentadbiran Rasulullah SAW ini ialah semuanya perlu didasari dengan Syariah. Sebarang tindakan serta pelaksanaan yang dijalankan akan menemui kegagalan sekiranya tidak dipandu oleh dua sumber utama, al-Quran dan sunnah.
Kemudian, ia perlu disusuli dengan strategi yang berkesan dan tersusun sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah As-Saff, ayat 4 yang bermaksud, Sesungguhnya Allah SWT mencintai hambanya yang berjuang pada jalan Allah secara tersusun seumpama mereka itu bangunan yang kukuh.
Oleh yang demikian, semangat hijrah yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat lebih 1433 tahun yang lalu perlu disuburkan dalam jiwa kita hari ini agar dapat menjejaki tapak-tapak kejayaan mereka. Umat akhir zaman ini perlu kembali menghayati sunnah generasi awal yang dibina oleh Rasulullah SAW untuk berjaya seperti yang pernah dinukilkan oleh Imam Malik ra: "tidak akan baik umat akhir zaman melainkan mereka mengambil cara bagaimana generasi awal Islam membina kejayaan mereka."
Credit:lWAN JEMIZAN W. DERAMAN/AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN/Takaful Ikhlas.
No comments:
Post a Comment