Friday, 30 November 2012

Lakukanlah Sesuatu Kerana Allah...


Daripada az-Zubair Nabi s.a.w bersabda, “Telah merebak kepada kamu semua penyakit umat-umat yang sebelum kamu iaitu hasad dan kebencian”. Dalam Sohehain Nabi s.a.w bersabda, “Janganlah kamu saling membenci, janganlah saling memutuskan persaudaraan, janganlah saling memalingkan muka, jadilah kamu semua hamba Allah s.w.t yang bersaudara.” Manakala dalam hadis yang lain Nabi s.a.w berkata, “Sesungguhnya hasad dengki itu memakan kebaikan-kebaikan sepertimana api yang memakan (membakar) kayu api.”
Kenapa perlu cemburu jika ada rakan-rakan diberi pujian oleh majikan? Kenapa perlu merasakan bahawa hanya kita sahaja diberikan banyak tugasan, sedangkan dalam masa yang sama menganggap orang lain hanya goyang kaki?
Sifat hasad pasti tidak wujud dalam diri seseorang jika segala urusan yang diamanahkan dibuat secara ikhlas hanya kerana Allah s.w.t. Redha dengan apa yang dikurniakan Allah s.w.t. Malang sungguh jika orang yang mempunyai hasad dengki itu datangnya daripada mereka yang sepatutnya sangat arif tentang ilmu agama, atau lebih tepat digelar sebagai ustaz atau ustazah.
Hargailah rakan-rakan sekerja.. jangan kerana sikap hasad dengki menyebabkan kita memandang rendah kebolehan sahabat-sahabat yang lain. Masing-masing ada tugasan dan peranan tersendiri, lakukanlah mengikut kemampuan. Jangan pula disebabkan rasa terbeban, maka kita menuduh rakan yang lain bergoyang kaki, sedangkan mungkin tanggungjawab dia lebih banyak berbanding kita.

Kesimpulannya,
1. Hasad dengki itu adalah seumpama api yang akan memakan segala kebaikan yang dilakukan oleh seseorang seperti api yang membakar kayu.
2. Jika wujud perasaan dengki menunjukkan iman seseorang itu belum sempurna malah dengki merupakan sifat yang diwarisi daripada syaitan. Kerana dengkilah maka syaitan menggoda Adam a.s hingga terkeluar daripada syurga dan kerana dengki juga maka terjadinya pembunuhan di antara Qabil dan Habil.
3. Seorang pujangga Arab pernah berkata: “Orang hasad tidak akan senang hidupnya, orang yang bakhil tidak akan berbudi, tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu, dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak.”
4. Dengki yang diharuskan dalam Islam hanyalah dengki yang menjadikan manusia berebut-rebut melakukan kebaikan seperti berlumba-lumba menuntut ilmu atau berlumba-lumba melakukan ibadat dan yang seumpamanya.
Firman Allah di dalam surah Al-Hadid (ayat 21), “Berlumba-lumbalah kamu sekelian untuk mendapatkan keampunan Tuhan Mu.” Semoga kita semua terlepas dari seksaan api neraka.

Credit: Wirasutra

No comments:

Post a Comment