Monday, 19 November 2012

CABARAN PENGARUH DADAH


Petanda kalah dengan dadah
Pak Hashim menceritakan pengalamannya terjebak dengan najis dadah
Alangkah baiknya jika masa dapat diputar semula agar segala khilaf dapat dibetulkan? Itulah keluhan mereka yang pernah menjadi hamba najis dadah. Antaranya Hashim Lamit, 59, yang kini menjadi Ahli Jawatankuasa Pengasih.

“Saya mula terjebak dengan dadah lepas tamat belajar. Mula-mula kawan kenalkan dengan rokok... kemudian ganja. Dia orang kata, benda tu sedap. Boleh hilangkan tekanan,” imbaunya.

Sudah adat mereka yang mahu mengajak kawan mengenali dadah, salam perkenalan bermula dengan barang percuma. Begitulah dilalui Pak Hashim apabila satu gulung ganja sepanjang jari kelengkeng yang dijual RM2 sekitar 1973 diberi oleh kawannya  untuk dicuba.

“Kami buat projek dalam pondok kat kebun getah. Berbanding tiga kawan lain, saya saja yang baru nak cuba. Penangan kali pertama pekena... saya terus tertidur,” kata Pak Hashim.
Daripada mereka, dia belajar cara memasak menggunakan dapur yang diperbuat daripada buluh dan buah pinang tua. Ketika khayal, lagu didengar terasa lebih indah dan makanan dijamah seolah-olah lebih lazat! Pak Hashim tiada masalah untuk membeli bekalan melalui sedikit usaha mengait kelapa di kebun milik keluarga.

Pekena ubat lebih mahal
Tidak lama kemudian, Pak Hashim meninggalkan kampung halaman dan datang ke Kuala Lumpur mencari kerja. Menumpang di rumah abang yang bekerja sebagai polis, membuat pergerakan Pak Hashim rasa terbatas. Sudahnya dia keluar rumah, tak balik-balik lagi.
Daripada kawan serumah, Pak Hashim diperkenalkan benda baru. Kata mereka ganja yang dipanggil yaw tak cukup umph. Ada barang baru yang lagi stim. Paling best polis pun tak perasan masa kita ambil, kata mereka.
Barang dimaksudkan ialah heroin yang dipanggil ubat. Walaupun mahal sikit daripada yaw, Pak Hashim tiada masalah untuk mengambilnya memandangkan pendapatan ketika itu agak mewah. Hasil kerja sebagai penjaga parkir dan pencuci kereta, memberikan wang lebih daripada cukup bagi orang bujang sepertinya.

Ubat diambil menggunakan rokok jenama tertentu yang tiada penapis (filter). Rokok ini dilubangkan di tengah-tengah sebelum dimasukkan lidi yang diubahsuai seperti sudu.

“Heroin boleh buat rasa khayal seperti melayang-layang lebih kurang dua ke tiga jam. Masalahnya, kita boleh ketagih berat dalam masa singkat berbanding ganja,” ujar Pak Hashim.

Jika tidak diambil, penagih heroin akan berasa lemah, sering bersin dan berhingus. Biasanya ia diambil sebanyak dua kali sehari iaitu sebelah pagi dan malam. Cukup seminggu amalkan rutin seperti ini, memang gian kalau tak pekena macam biasa!

Waktu itu, harga heroin yang dijual dalam bentuk kristal putih dan coklat dalam botol kecil sekitar RM5. Setelah diproses, dapatlah untuk lima batang rokok.
Kegiatan menagih Pak Hashim hanya tergendala setahun selepas mendirikan rumah tangga pada 1979. Pada mulanya isteri tidak tahu namun mula curiga selepas menemui banyak batang mancis berselerak di tepi cermin tingkap bilik mereka.
“Bila isteri jumpa straw, saya tak mampu berdalih lagi. Isteri suruh masuk pusat pemulihan dan saya pun akur,” katanya yang pergi secara sukarela untuk mendapatkan rawatan di Pusat Pemulihan Kuala Kubu, Hulu Selangor selama empat bulan empat hari.

Pengalaman jadikan iktibar
Malangnya, baru saja keluar pusat pemulihan dia sudah tersungkur semula. Semua kerana kawan-kawan kembali mengendeng sambil menawarkan ubat percuma. Isteri Pak Hashim sendiri terpaksa memejamkan mata melihat dia tidak mampu berubah.

Hinggalah satu hari, Pak Hashim meneruskan aktiviti di port biasa yang terletak di Segambut. Siapa sangka, pada hari itu polis melakukan serbuan. Pak Hashim yang sedang lalok antara yang diangkut ke balai.
Selepas seminggu tidur lokap, dia dibawa ke Pusat Serenti Serendah, Selangor. Mahu tak mahu dia perlu menghabiskan masa setahun enam bulan di sana.

“Keinsafan mula datang lepas belajar agama. Dilantik pulak jadi imam muda. Sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi dan berazam untuk bantu penagih lain yang nak berubah,” ujar Pak Hashim.

Mengimbau proses merawat ketagihan, Pak Hashim menyatakan tempoh paling sengsara adalah fasa detox selama seminggu. Ketika itu badan terasa lemah, sakit dan asyik menguap. Paling tak tahan, bersin tak henti-henti. Setiap kali perkara ini berlaku penagih mesti mandi kerana jika tidak, mereka akan berasa lebih derita.

Sudah resam, penagih dadah pasti pernah dihina. Pak Hashim sendiri melalui pengalaman dicerca dan dimalukan di depan orang lain. Baginya perkara ini tidak wajar malah ada antara orang yang pernah menghina dirinya, kini diuji apabila anak sendiri turut terlibat dengan najis dadah.

Begitu pun, paling tidak boleh dilupakan Pak Hashim ialah melihat kehancuran seorang kawan yang asalnya baik dan sering mengunjungi surau. Disebabkan perasaan ingin tahu, kawan ini mengunjungi port dadah berdekatan rumahnya. Lama kelamaan dia terpengaruh untuk mencuba.

“Biasanya orang guna cara cis dulu (ambil guna rokok atau timah), tapi dia terus guna jarum. Bila dah mula guna jarum, ambil cara lain dah tak rasa.

“Daripada urat lengan dia beralih pada urat kaki, ketiak dan leher. Bila semua urat dah rosak, dia cuba pula celah kelangkang. Lama-lama hiway kat situ turut pecah, rosak dan bernanah,” cerita Pak Hashim.

Sejak itu, kawan tadi jadi seperti mayat bernyawa di port tersebut. Dia hanya mampu menadah tangan mengharap sisa makanan dan dadah dari penagih lain.

Akhirnya, dia meninggal dunia dalam keadaan hina pada usia belum pun 30 tahun.

“Dulu, keburukan dadah belum nampak jelas di mata masyarakat. Sekarang semua orang boleh nampak majoriti penagih hidup gelandangan, kutip kotak, cari besi untuk teruskan hidup. Generasi muda patut ambil iktibar daripada perkara ini,” kata Pak Hashim.

Begitu pun, penyelesaian paling jitu  yang sempat dikongsikan bapa kepada lima anak ini adalah kembali kepada agama dan jangan sekali-kali meninggalkan solat.
AIDA AZURA AZEMI/SINAR

No comments:

Post a Comment