Monday, 12 November 2012

ORANG YANG TIDAK BERDUKA CITA


Allah Ta'ala berfirman, ertinya, "Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, 'Rabb kami adalah Allah', kemudian mereka tetap istiqamah maka tidak ada keraguan terhadap mereka dan tidak pula mereka berduka cita." (QS. Al-Ahqaaf: 13).

MENCARI KETENANGAN JIWA
    Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang, semoga kita termasuk di dalam golongan mereka yang diterima sebagai hamba Allah yang soleh dan tenang fikiran serta akan tabah menghadapi cabaran dan ujian hidup. Hal ini telah diterangkan oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud : "Sesungguhnya manusia itu dijadikan bersifat keluh kesah, jika ia mendapat kesusuhan ia sangat sedih dan jika ia mendapat kesenangan ia menjadi pelokek, melainkan mereka yang bersolat yang tetap dengan solatnya".

    Dengan ini jelas menunjukkan bahawa solat yang didirikan itu dapat mendidik jiwa dan memelihara orang-orang yang bersolat itu daripada sifat yang membawa kegelisahan dan kekacauan fikiran. Ia juga telah pernah diamalkan oleh baginda Rasulullah SAW dalam satu riwayat bahawa baginda jika terkacau fikirannya oleh sesuatu perkara, baginda akan terus bersolat memohon pertolongan daripada Allah SWT.

    Seterusnya di dalam ayat-ayat daripada surah Al Ma’arij tadi, juga ada disebutkan orang-orang yang akan mendapat ketenangan jiwa itu, ialah orang yang mengeluarkan zakat membantu fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan, yang yakin dengan ketibaan hari kiamat dan bersedia dengan memelihara diri jangan sampai menempuh azab, memelihara kehormatan diri jangan melakukan zina, menjaga amanah yang diserahkan kepadanya jangan berkhianat, ringkasnya orang yang berjalan atas jalan yang benar akan mendapat ketenangan jiwa.

    Adapun orang-orang yang bersalah dengan erti kata tidak selesai urusannya dengan Allah dan tidak selesai urusannya dengan manusia, orang yang cuai terhadap kewajipannya, orang yang tamak haloba siang malam memikirkan harta, terus membolotnya tidak kira hak dia atau hak orang, malah hak orang cuba hendak dijadikannya hak dia sendiri, inilah orang yang tidak akan tenang, kerana dia sendiri akan merasa kesalahan dirinya. Tetapi kerana dia lebih dikuasai nafsu dan kebendaan, maka dia tidak akan berubah perangai atau menyedari kesalahannya. Sebaliknya orang yang baik hubungannya dengan Allah, dan baik pula hubungannya dengan manusia, dia tidak akan merasa gelisah, tekanan jiwa atau apa yang dikatakan orang sekarang sebagai "stress".

    Kebahagiaan hidup di dunia ini tidak boleh terjamin dengan kemewahan dan kebendaan semata-mata. Kebahagiaan hidup hanya akan dapat dikecap dengan ketenangan jiwa dan kelapangan dada. Ianya tidak dapat dibeli dengan wang atau harta benda. Ianya adalah pemberian Allah kepada hamba-hambaNya, melalui hubungan antara hamba dengan Allah tuhannya.

    Bagi kita kaum muslimin yang beriman kepada Allah banyak cara yang boleh kita amalkan untuk mendapatkan ketenangan jiwa ini. Antaranya : dengan menunaikan solat yang lima sehari semalam. Orang yang menunaikannya dengan penuh kesedaran dan khusyuk, akan dilapangkan Allah jiwanya, dia akan terus tenang dan tenang di dalam hidup ini, semasa mati dan selepasnya kelak. Inilah peranan "Al Istiqamah".
    Wahai saudara-saudara sekalian,

    Erti "Al Istiqamah" dalam bentuk amalinya ialah berjalan atas jalan yang benar, tidak dikuasai oleh syaitan, dan tidak dikongkong oleh nafsu. Inilah pemberian Allah yang besar yang hanya akan didapati oleh orang yang mahu melawan nafsu dan menyedari dirinya. Inilah cara hidup di dalam dunia bagi orang yang mengetahui hakikatnya.
    Sidang Jumaat yang Mulia,

    Masih ramai orang kaya yang masih tamak haloba, siang malam memikirkan untuk menimbunkan harta, sedang maut makin dekat di hadapannya, mereka takut mati dan kalau boleh tidak mahu mati. Inilah yang menyebabkan manusia itu keluh kesah dan gelisah seterusnya. Sebaliknya orang yang menyedari hakikat hidup itu dan yakin terhadap kehidupan yang kekal dan bersedia pula untuknya telah disifatkan Allah sebagai orang yang tidak ada ketakutan atas mereka dan mereka tidak akan berduka cita.

    Marilah saudara-saudara sekalian, kita beristiqamah dengan penuh keimanan agar kita mendapat dua kebahagiaan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT disurah Fusilat ayat 30 bermaksud : "Sesungguhnya mereka yang berkata tuhan kami Allah, kemudian mereka beristiqamah turunlah atas mereka para malaikat mententeramkan mereka dengan berkata : Jangan kamu merasa takut dan jangan bersedih hati dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan buat kamu".

    Barakallah…

    ..

No comments:

Post a Comment