Monday, 26 November 2012

HORMATI WARGA EMAS AMALAN BERTERUSAN



Rasulullah SAW berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (HR AlTabrani).

Mafhum hadis ini mengisyaratkan bahawa ISLAM menuntut umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada orang tua sama ada ibu bapa, kaum kerabat dan sesiapa saja yang mencapai usia tua. 

Amalan ini sebahagian daripada tanda menghargai golongan tua terutama sekali kedua ibu bapa kita yang banyak berjasa dan berkorban demi mewujudkan keadaan hidup yang bahagia dan selesa untuk seisi keluarga. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak kita dalam kandungan lagi itu begitu besar dan tidak ternilai harganya.

Kedua ibu bapa  mencari nafkah, mengasuh dan mendidik kita sejak kecil sehingga dewasa. 
mereka sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak-anak dan keluarga. Malah dalam keadaan tertentu, seorang ibu boleh menjaga dan mengasuh ramai anak. Tetapi mengapa sejak akhir-akhir ini ramai anak sukar atau keberatan menjaga seorang ibu atau bapa yang sudah berusia?

Perkembangan terkini menunjukkan bahawa sikap mengabaikan tanggungjawab terhadap orang tua termasuk ibu bapa semakin banyak berlaku dalam masyarakat. Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan. Lebih menyedihkan lagi, terdapat anak yang sanggup mendera dan mencederakan ibu bapa. Malah, pernah terjadi anak membunuh orang tuanya disebabkan wang atau harta.

Golongan tua juga dikenali sebagai veteran atau warga emas, iaitu satu gelaran sopan untuk 
seseorang atau kumpulan manusia yang sudah mencapai tahap usia tua.  Mengikut standard dunia, warga emas merujuk kepada golongan yang berusia dalam lingkungan 65 tahun ke atas.   

Bagi Negara kita, terdapat seramai 2,251,216 daripada 28,334,135 penduduk negara kini merupakan mereka yang dikategorikan sebagai warga emas berdasarkan kepada  statistik rasmi Banci Penduduk dan Perumahan Negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai lalu.

Ini menunjukkan hampir lapan peratus daripada penduduk negara ini merupakan golongan 
sudah berusia. Bilangan ini diunjur akan terus meningkat kepada 12 hingga 15 peratus menjelang tahun 2020 dan 2030. 

Senario ini beserta Hari Warga Tua yang disambut pada 1 Oktober setiap tahun secara tidak 
langsung memperingatkan kita bahawa kita semua bakal menjejaki usia tua jika dikurniakan Allah umur yang panjang.  Ia juga mengajak seluruh masyarakat supaya menghormati dan menghargai orang tua yang telah banyak mencurahkan tenaga, idea, wang ringgit, masa dan sebagainya demi mensejahterakan keluarga, masyarakat dan Negara. 

Maka sebagai anak, kita  perlu sedari mulai saat ini bahawa menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada orang tua terutama sekali kedua ibu bapa kita adalah amalan yang wajib dan mulia yang harus berterusan.  

Menghormati dan berbuat baik kepada mereka bukan setakat memberi wang ringgit semata-mata. Apa yang lebih utama dan sewajarnya diberikan tumpuan ialah pelestarian hubungan kasih sayang dan silaturahim yang erat melalui penjagaan serta pemeliharaan yang sempurna dalam apa jua keadaan dan suasananya. Ini penting diambil berat memandangkan tempat terbaik bagi warga emas/ibu bapa yang telah tua adalah bersama keluarganya iaitu anak-anaknya.  Tambahan pula, anak-anak merupakan sumber penenang jiwa, kasih sayang di samping merupakan orang yang terdekat dan sepatutnya membantu mereka dalam 
keadaan-keadaan tertentu. 

Menyentuh soal menghormati dan berbuat baik kepada orang tua atau  ibu bapa ini,  Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nyasemata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa.  

Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ha’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).  Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): ‘Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil’.” (S. Al-Israa’: 23-24).

Melalui ayat ini, kita dapati bahawa perintah supaya beriman dan mentauhidkan Allah SWT  diiringi  perintah supaya berbuat baik (ihsan) kepada kedua ibu bapa. Ini adalah bukti jelas betapa perbuatan serta amalan menghormati dan berbuat baik kepada orang tua merupakan satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh setiap 

Perintah supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum, tidak kira sama ada mereka beragama Islam ataupun tidak. Anak-anak Muslim wajib mentaati ibu bapanya yang belum lagi Islam selagi mereka tidak menyuruh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syarak seperti mensyirikkan Allah SWT selaras dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.” (S. Al-Ankabut: 8).

Sehubungan itu saudara sekalian, pastikanlah bahawa tatkala bercakap dengan orang yang lebih tua  dari kita terutama sekali ibu bapa kita, jangan sekali-kali meninggikan suara, mengherdik, mencaci dan berkata dengan perkataan yang tidak sopan. Ini termasuklah perbuatan menunjukkan 'bahasa badan' yang boleh mengguris perasaan kedua-duanya. Sebaliknya, berdoalah selalu kepada Allah SWT memohon agar mereka sentiasa diampuni dan dilimpahi rahmat di dunia dan di akhirat kerana sesungguhnya doa anak yang soleh untuk ibu bapanya akan diterima Allah.

Ingatlah! usia muda tidak kekal selama-lamanya, akan tiba masanya kita juga menjadi tua. Dan 
pastinya, tiada seorang pun dari kita yang mahu diabaikan apabila usia mencecah tua. Kerana itu, hormatilah dan berbuat baiklah kepada orang tua sepanjang hidup kita, nescaya isteri, anak-anak serta orang sekeliling kita juga akan menghormat dan berbuat baik kepada kita.  

Ini bertepatan dengan hadis yang bersumber daripada Ibn Umar , Rasulullah bersabda, "Berbuat baiklah kepada ibu bapamu, nescaya anakmu akan berbuat baik kepadamu. Dan bersikap jujurlah kepada ibu bapamu, nescaya isteri kamu akan bersikap jujur kepada kamu." (HR Tabrani).

Kesimpulannya saudara jemaah sekalian, menghormati dan berbuat baik kepada warga emas atau orang tua merupakan suatu amalan yang wajib dan mulia, yang seharusnya terus mekar subur dalam masyarakat kita yang beragama.  Ia penting bagi mewujudkan masyarakat dan Negara yang harmoni. 

Untuk ini, sama-samalah kita hiasi hidup ini dengan amal-amal soleh agar kita beroleh kehidupan yang lebih baik di dunia dan di akhirat. Firman Allah maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” (S. An-Nahl: 97).

No comments:

Post a Comment