Monday, 26 November 2012

Wanita : Antara kerjaya dan keluarga



Mungkin isu ini sudah lama dan banyak dibincangkan dalam pelbagai media sejak wanita mula bergerak sama laju dengan lelaki. Malah, dalam kalangan wanita sendiri, isu yang sering melingkungi mereka ialah kepentingan wanita dalam arus pembangunan negaran selain isu-isu lain yang kebanyakannya menuntut dunia mengiktiraf wanita sebagai golongan yang tidak hanya berpeluk tubuh, menggendong anak melumur tangan dengan tepung di dalam rumah dan ceruk dapur.

Wanita hari ini mahu bersama-sama kaum lelaki dalam menerajui kehidupan. Pendek kata, tempat wanita bukan di ceruk dapur lagi tetapi sudah mampu mengangkat senjata dan berjuang bersama-sama kaum lelaki dalam membangunkan dan mempertahankan negara.

Pergerakan dan persatuan wanita dari seluruh dunia mula melontar slogan agar wanita tidak diketepikan malah diberi tempat sewajarnya dalam kalangan masyarakat iatiu tiada sekatan untuk wanita turut serta dalam pelan pembangunan ekonomi keluarga dan negara.

Persoalan yang timbul, terutama dalam kalangan wanita Islam ialah apa tugas hakiki seorang wanita yang digariskan dalam Quran? Di mana tempat seorang wanita yang sebenarnya? Adakah selamanya wanita hanya perlu berada di rumah menjaga dan menguruskan keluarga ataupun dibolehkan untuk seorang wanita itu bekerja bagi membantu membangunkan ekonomi keluarga?

Tugas hakiki wanita

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap dari kamu adalah pemelihara dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipeliharanya. Seorang pemimpin adalah pemelihara dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemelihara keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita adalah pemelihara dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap apa yang menjadi tanggungjawabnya. Seorang khadam adalah pemelihara harta tuannya dan ia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya.”

Hadis ini jelas memberitahu bahawa setinggi mana pun pangkat seorang wanita di dalam kerjayanya, sehebat manapun wanita dalam masyarakatnya atau sepandai manapun wanita dalam pendidikannya, tugas yang perlu dipikul, dan diutamakan ialah mendidik anak-anak dan menjaga rumahtangganya.

Setelah tugas utama itu terlaksana, barulah seorang wanita itu mengerjakan hal-hal selainnya iaitu bekerja untuk membantu suaminya atau membangunkan ekonomi keluarga.

Hal ini terpakai juga untuk wanita yang bergelar ibu tunggal atau bermasalah dengan ekonomi keluarga apabila suami tidak menjalankan tanggungjawab sebaiknya akibat kesihatan atau selainnya, tetaplah wanita itu perlu mengutamakan anak-anak dan keluarganya melebihi kerja pencarian rezeki itu.

Ini bermakna, pastikan keluarga diuruskan sebaiknya dari aspek kebersihan rumah, pendidikan anak-anak dan penyediaan makanan.

Adalah pakej yang terbaik jika dalam hal ini, suami menyedari hakikat tugas hakiki seorang isteri lalu memberi sokongan dan bantuan yang sewajarnya agar duduknya isteri di rumah, dapat membangunkan sebuah keluarga yang terurus dan anak-anak yang terdidik dengan baik.

Secara ringkasnya, tugas seorang isteri ialah :

1. Mentaati suami dalam perkara kebaikan. 
2. Melaksanakan pengurusan rumah tangga.
3. Mendidik dan membesarkan anak-anak.

Manakala terdapat beberapa syarat yang perlu diteliti oleh seorang wanita yang memilih atau terpaksa bekerja. Antaranya ;

1. Mengutamakan keluarga melebihi hal kerja.
2. Menundukkan pandangan dan tidak bercampur gaul tanpa keperluan kerja, menjauhkan tempat-tempat syubhat dan berhati-hati dalam setiap perlakuan.
3. Menjaga kesopanan wanita dengan memakai pakaian syarak yang sempurna dalam kehidupan umum.
4. Menghalang wanita dari melakukan sebarang kerja yang membahayakan akhlaknya atau merosakkan masyarakat. 
5. Menghalang wanita melakukan sebarang kerja yang haram seperti bekerja di bank-bank dan syarikat-syarikat kapitalis dan syarikat bursa saham serta tempat-tempat menjual arak dan daging khinzir.

Berdasarkan perbincangan ringkas ini, diharap wanita yang bekerja renung kembali segala perlakuan mereka di rumah atau di tempat kerja. 

Manakala wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa pula, gunakan peluang dan kelebihan yang ada untuk bersama-sama membangunkan peradaban bangsa dan negara dengan membangunkan modal insannya iaitu mendidik anak-anak dengan segala ilmu yang berguna serta memelihara rumahtangga agar slogan ‘rumahku syurgaku’ dapat direalisasikan dengan sepenuhnya.


Credit: YADIM

No comments:

Post a Comment