Friday, 9 November 2012

Jangan merendahkan orang lain




ISLAM menganggap semua manusia adalah sama. Tidak mengira pangkat, harta, rupa paras, keturunan dan sebagainya. Semua mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu ditunai dan dilaksanakan.

Seseorang yang membesar di rumah setinggan dan seseorang yang dibesarkan di istana sebenarnya tidak mempunyai perbezaan di sisi Allah SWT. Ukuran pada nilaian Allah SWT hanya terletak pada ketinggian taqwa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya. (al-Hujurat: 13).


Mereka yang beriman kepada Allah SWT tidak boleh membeza-bezakan manusia. Tidak wajar untuk ditinggikan sebahagiannya dan direndahkan sebahagian yang lain dengan melihat ukuran keduniaan semata-mata.

Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui kemuliaan seseorang. Barangkali seorang pengemis lebih mulia di sisi Allah SWT berbanding seorang pegawai tinggi.

Justeru, mengapa kita tegar merendah-rendahkan sesuatu keturunan, kaum dan bangsa? Mengapa kita sanggup dan tergamak untuk menghina seseorang yang mempunyai kecacatan atau kekurangan? Sedangkan mereka tidak mengetahui dan tidak meminta untuk dijadikan begitu.


Ia adalah keputusan daripada Allah SWT yang penuh dengan hikmah yang tersurat dan tersirat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu adalah sama, bapa kamu adalah sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas 'ajam (yang bukan arab), atau 'ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan." (riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).

Orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT tidak akan bermegah-megah dengan hartanya, tidak berbangga dengan keturunan serta warna kulit dan tidak mendabik dada dengan kelebihan yang ada pada dirinya. Semua yang berlaku di dunia ini adalah ketentuan Allah SWT.


Oleh kerana itu, janganlah kita merendah-rendahkan orang lain dengan mengeji dan memperlekehkannya atau tidak memberi layanan yang baik kepadanya. Nabi SAW pernah ditegur oleh Allah SWT kerana tidak mempedulikan sahabat yang buta iaitu Abdullah bin Ummi Maktum r.a yang bertanya soalan kepada baginda.
Teguran Allah SWT itu terkandung dalam firman-Nya yang bermaksud: Dia memasamkan muka dan berpaling, Kerana dia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al-Quran), Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. (Abasa: 1-6)


Pengajaran daripada ayat ini adalah kita perlu memberi layanan yang sama dan bersikap adil kepada semua manusia. Sedangkan Allah SWT mengharamkan kita untuk berbuat zalim sesama manusia walaupun terhadap orang yang kita benci.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (al-Maidah: 8)


Elak perbuatan dwi standard

Senario ini sebenarnya banyak berlaku dalam masyarakat termasuklah dalam organisasi. Kerap kali kita mendapati apabila sesuatu permohonan dibuat oleh seseorang yang mempunyai kedudukan, maka proses menguruskan permohonan tersebut dibuat secara pantas dan diberi layanan yang terbaik.

Namun, jika permohonan tersebut adalah daripada orang yang tidak berpangkat, maka proses itu akan memakan masa berminggu-minggu, berbulan-bulan bahkan terpaksa menunggu bertahun-tahun. Tidakkah kita merasakan ini juga adalah sebuah kezaliman?

Begitu juga sekiranya sesuatu organisasi itu didominasi oleh sesuatu kaum atau bangsa. Maka kakitangan dari bangsa yang lain akan disisihkan dan tidak diberi hak mereka secara adil. Kita juga mendapati ada di kalangan kakitangan yang dinafikan haknya semata-mata mempunyai pangkat yang rendah.

Ada di kalangan mereka yang ditolak cadangan dan pandangan yang dikemukakan semata-mata kerana tidak berpangkat dan tidak mempunyai kedudukan. Demikianlah betapa tidak adilnya dunia ini.

Oleh kerana itu, marilah sama-sama kita menjauhi sikap suka merendah-rendahkan orang lain. Anggaplah pangkat, kedudukan, harta dan rupa paras itu sebagai pemberian daripada Allah SWT yang mungkin akan ditarik balik pada bila-bila masa sahaja.

Mungkin orang bawahan yang kita perlekehkan itu suatu hari nanti akan menjadi majikan kita pula. Mungkin orang yang miskin itu akan menjadi kaya berbanding kita. Yang paling kita bimbang ialah, mungkin orang yang kita hinakan itu dapat menjejakkan kaki ke syurga Allah SWT di Akhirat nanti, sedangkan kita belum tentu dapat menjejakinya. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka… (al-Hujuraat: 11).


 Credit: WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

No comments:

Post a Comment