Monday, 17 June 2013

PERSIAPAN MENJADI TETAMU RAMADHAN

Amal puasa sunat Syaaban, tingkat ilmu menerusi pembacaan al-Quran



Kehadiran Ramadan amat ditunggu-tunggu oleh setiap jiwa insan yang beriman. Pada bulan ini terdapat keberkatan tidak ternilai ganjarannya bagi yang menunaikan ibadah puasa selama sebulan dengan perasaan ikhlas kerana Allah SWT. 

Bulan mulia ini juga dikenali sebagai bulan ketakwaan kerana jiwa-jiwa yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT akan sentiasa menunggu untuk menjadi tetamunya. 

Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman telah diwajibkan bagi kamu semua untuk berpuasa seperti mana diwajibkan kepada kaum sebelum kamu (ahli kitab) semoga kamu beroleh ketakwaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 183) 

Kita hampir memasuki pertengahan Syaaban atau Nisfu Syaaban dan berbaki kira-kira setengah bulan ini seharusnya digunakan bagi mempersiapkan jiwa serta tubuh badan untuk menjadi tetamu Ramadan. 



Rindu menunggu Ramadan


Diriwayatkan salafussoleh mempersiapkan diri mereka enam bulan sebelum datangnya Ramadan. Malah, apabila sudah memasuki Rejab dan Syaaban, mereka mula membuat persiapan menyemai jiwa dengan perasaan cinta dan rindu untuk menemui bulan ditunggu-tunggu iaitu Ramadan. 
Daripada Imam al-Baihaqi, Nabi SAW berdoa: “Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan temukanlah kami dengan Ramadan.” Hadis ini dinilai sarjana hadis sebagai lemah namun boleh digunakan dalam memotivasikan umat Islam menyambut Ramadan dengan hati takwa.

Doa ini juga diletakkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Adzkar sebagai salah satu amalan doa sebelum memasuki Ramadan dengan menyatakan status atau darjat hadis itu.

Sebagai Muslim yang beriman, kita perlu mempersiapkan diri menjadi tetamu bulan mulia ini kerana Ramadan al-Mubarak adalah madrasah atau institusi pendidikan yang memberi didikan serta latihan keimanan kepada setiap jiwa umat Islam. 

Didikan utama bukanlah untuk manusia menjadi gagah dan tangkas dengan menahan lapar serta dahaga, tetapi didikan utama ialah semaian rasa takwa dalam jiwanya. Ketika mana menghampiri Ramadan, salafussoleh mempersiapkan hati supaya hati sedia dididik oleh madrasah Ramadan.



Perbanyak puasa sunat Syaaban


Justeru, antara persediaan yang boleh dilakukan ialah memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Syaaban. 

Daripada Aisyah, katanya: “Sesungguhnya aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa lengkap (selama sebulan) kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa paling banyak (selepas Ramadan) melainkan pada Syaaban.” (Muttafaqun ‘Alaih) 

Melengkapkan puasa qada’ yang masih berbaki pada Syaaban sebelum tibanya Ramadan. 

Diriwayatkan daripada Aisyah: “Sesungguhnya terdapat padaku puasa Ramadan lepas yang perlu diqada dan aku tidak mampu menghabiskannya kecuali pada Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari)

Menambah pengetahuan dan kecintaan untuk memasuki Ramadan melalui aktiviti pembacaan dan kelas ilmu. Sebagai persediaan memasuki Ramadan, kita digalakkan mempelajari hukum berkaitan ibadah puasa dan amalan sunat yang dituntut padanya. 

Janganlah kita memasuki Ramadan dengan kejahilan kerana sifat jahil itu menandakan kita masih tidak bersedia menjadi tetamu bulan mulia ini. Perbanyakkan aktiviti membaca dan mencari ilmu berkaitan kelebihan Ramadan dan hukum-hakam berkaitan ibadah puasa. 

Memberi kesedaran kepada ahli keluarga dan masyarakat mengenai kehadiran bulan mulia ini.

Sebagai ketua keluarga, perlu menyemai rasa cinta kepada ahli keluarga untuk bersama menyambut Ramadan al-Mubarak dengan penuh persediaan serta rasa ketakwaan. 


Semai keberkatan bulan mulia


Tanamkan dalam jiwa isteri dan anak inilah bulan yang padanya terdapat seribu keberkatan dengan ibadah puasa dan amalan sunat lain. Semaikan dalam jiwa mereka rasa rindu untuk menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh rasa gembira dan ceria. 

Selain itu semangat cintakan Ramadan perlu disemai dalam kalangan masyarakat seperti mengadakan ceramah, meletakkan iklan yang boleh memberi kesedaran dan mengingatkan jiran serta rakan akan kehadiran bulan mulia ini.

Masjid perlu memainkan peranan penting meletakkan sepanduk untuk dilihat oleh jemaah di samping itu menghiasi dengan perhiasan indah. Umar al-Khattab memasang lilin di kawasan dalam dan luar masjid supaya masyarakat bersemangat untuk datang mengerjakan solat tarawih secara berjemaah.

Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT hidup diberkati pada Ramadan ini. Kita digalakkan oleh Nabi SAW untuk berdoa supaya Allah panjangkan umur bertemu dengan Ramadan.

Diriwayatkan Nabi SAW berdoa supaya diberikan kesejahteraan apabila anak bulan Ramadan kelihatan dengan sabda baginda: “Allah yang Maha Besar! Engkau jadikanlah kehadiran anak bulan ini kepada kami dengan rasa keamanan dan juga keimanan, dengan nikmat kesejahteraan dan juga rasa nikmat keislaman, dan juga dengan petunjuk yang Engkau suka dan reda dengannya. Sesungguhnya tuhanku dan tuhanmu ialah Allah.” (Riwayat Imam al-Dailamiy) 

Antara perkara perlu disemai ialah memperbanyakkan bacaan al-Quran. Salamah bin Kuhail, salah seorang tabi’in menyatakan Syaaban adalah Syahr al-Qurra’ yang bermaksud bulan pembaca al-Quran.




Credit: Imam Muda Muhammad Asyraf

No comments:

Post a Comment