Thursday, 13 June 2013

Peningkatan pembabitan wanita dalam jenayah membimbangkan - Polis

GEORGETOWN: Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini polis memberkas 1,476 wanita yang terbabit jenayah, satu peningkatan mendadak berbanding 1,214 orang sepanjang tahun lalu dan 774 pada 2011. 

Pengerusi Amanita Polis Kontinjen Pulau Pinang, Asisten Komisioner M Selvi, berkata angka yang direkodkan di seluruh negara itu menunjukkan trend membimbangkan.


"Peningkatan ini berlaku sejak tiga tahun lalu. Selalunya kita mendengar wanita menjadi mangsa jenayah tetapi kini keadaan sebaliknya," katanya pada forum komuniti 'Wanita dan Penyalahgunaan Dadah' anjuran Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan Universiti Sains Malaysia, di sini, hari ini. 

Katanya, antara faktor yang menyebabkan wanita terbabit dalam jenayah ialah ingin mencari kemewahan, kemiskinan serta pengaruh kawan. 

Mereka biasanya terbabit jenayah curi, samun, pecah rumah dan curi motosikal, katanya. 

Selvi berkata, Pulau Pinang juga menunjukkan peningkatan kes jenayah membabitkan pelaku wanita iaitu 204 kes pada tahun lalu berbanding 201 pada 2011. 

Dari Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 80 tangkapan membabitkan wanita direkodkan, katanya. 
Kira-kira 100 penjawat awam dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai forum sehari itu yang bertujuan memberi kesedaran penyalahgunaan dadah dalam kalangan wanita. 

Antara anggota panel pada forum itu ialah Penolong Pengarah Rawatan Perubatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan negeri, Ahmad Nazir Long; Presiden Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang, Christine Low dan Timbalan Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Janizah Abdul Ghani. 

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment