Friday 14 June 2013

LMBT ganti lesen memandu lama

LMBT ganti lesen memandu lamaHishammuddin menunjukkan lesen memandu baru yang akan digunakan ketika melakukan lawatan rasmi ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, semalam. - Foto BERNAMA
Kuala Lumpur: Mulai 15 Julai ini, lesen memandu sedia ada, Lesen Memandu Percubaan (PDL) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) akan digantikan dengan Lesen Memandu Bersekuriti Tinggi (LMBT). 

Penukaran lesen sedia ada boleh dilakukan di semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara sebelum proses berkenaan diperluaskan ke pejabat pos, November depan. 


Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah memperkenalkan lesen memandu dengan ciri keselamatan tinggi itu berikutan lesen sedia ada sudah digunakan sejak 1989 dan tidak pernah dinaik taraf, mudah rosak serta dipalsukan. 


Melalui pembaharuan ini, saya berharap kita (Kementerian Pengangkutan) dapat meyakinkan orang ramai bahawa kementerian proaktif menangani masalah seperti ini, katanya selepas melakukan lawatan rasmi ke pejabat JPJ Wilayah Persekutuan, di sini, semalam. 

Mengenai kelewatan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Hishammuddin berkata, beliau sudah diberi taklimat berhubung perkara itu dan akan berjumpa pihak berkepentingan seperti kontraktor untuk melihat komitmen mereka dalam projek terbabit. 

AES akan dibincang 

Saya juga akan berjumpa Tan Sri Tony Fernandes (Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia) untuk membincangkan perkara ini minggu depan, termasuk cadangan syarikat berkenaan supaya menubuhkan badan bebas bagi menyiasat kelewatan projek ini, katanya. 


Mengenai perkembangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) pula, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan secara mendalam bersama JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat pembekal sistem terbabit sebelum penjelasan mengenainya dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang. 

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata Kabinet turut membincangkan tragedi bot karam di Belaga, Sarawak dan mahu pendekatan berkesan diambil bagi mengelakkan insiden sedemikian berulang. 

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, beliau bersama Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, akan meninjau keadaan laluan motosikal yang tidak selamat kepada pengguna jalan raya, Selasa ini.

No comments:

Post a Comment