Wednesday, 12 June 2013

Fosil 260 juta tahun ditemui

Fosil 260 juta tahun ditemui
Lokasi penemuan fosil cangkerang di sepanjang jalan raya yang sedang dalam pembinaan menghubungkan Kuala Lipis ke Merapoh. Gambar kecil: Antara fosil cangkerang dari jenis ‘brakiopoda’ dipercayai berusia 260 juta tahun.
KUALA LIPIS - Fosil cangkerang dipercayai berusia 260 juta tahun ditemui di kawasan Sungai Yu, Merapoh.
Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) Ahmad Rosli Othman berkata, fosil cangkerang itu ditemui pada batuan di sepanjang jalan raya yang sedang dalam pembinaan menghubungkan Kuala Lipis ke Merapoh.

Menurutnya, fosil cangkerang tersebut yang ditemui dalam pelapisan batu lumpur adalah daripada jenis 'brakiopoda' yang lazimnya hidup di persekitaran laut cetek.
“Fosil ini lebih tua usianya berbanding fosil di Taman Emas, Lipis yang berusia 230 juta tahun ditemui pada 2011.

“Antara spesies brakiopoda dikenal pasti ialah Leptodus sp; Transennatia sp dan  HarianSpyridiophora sp,” katanya.

Ahmad Rosli yang juga penyelidik dari Lestari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kira-kira 250 hingga 260 juta tahun lalu, kawasan Merapoh dipercayai berada di dasar lautan dan kawasan itu menjadi tempat kehidupan laut purba yang primitif.

Menurutnya, haiwan primitif terbabit hidup berenang bebas di dasar lautan yang agak dalam dan beriklim panas.

“Hidupan ini mati dan kemudiannya tertimbus oleh enapan sedimen dan kekal terawet menjadi batu untuk beratus juta tahun lamanya.

“Proses geologi mengangkat dasar laut timbul ke permukaan bumi dan menjadi daratan serta membentuk topografi atau bentuk muka bumi seperti yang kita lihat pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, fosil cangkerang seperti itu turut ditemui di Padang Tengku; Aring; Sg Bera serta Felda Mayam dan ini menunjukkan bahawa kawasan tersebut juga pernah dilitupi lautan pada masa itu.

“Fosil dapat menerangkan usia dan persekitaran di mana ia pernah wujud ratusan juta tahun lampau,” katanya.

Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment