Sunday, 16 June 2013

Balasan jika umat Islam membelakangi al-Quran

Setiap tahun kerajaan mengadakan Majlis Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dan kebangsaan. Selain itu, ada juga majlis tilawah di peringkat negeri, daerah, sekolah, pusat pengajian tinggi dan juga institusi serta agensi kerajaan. Kesemuanya ini adalah usaha berterusan untuk meninggikan syiar Islam dan juga program agar umat Islam di Malaysia sentiasa mendamping diri dengan al-Quran sejak kecil hinggalah dewasa. 

Selain itu, usaha berterusan program KAFA (kelas al-Quran dan fardu ain) yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah usaha awal ke arah penghayatan al-Quran generasi muda khususnya kanak-kanak. 
Al-Quran yang diturunkan oleh Allah adalah petunjuk dan pedoman untuk manusia. Oleh yang demikian, al-Quran mempunyai nilai pedoman, petunjuk dan menjelaskan kemuliaan dan keagungan Allah SWT, perlu dipelihara dan dijaga dengan baik. Perlu diingatkan bahawa setiap insan Muslim tidak boleh melupakan al-Quran, menjauhkan diri, apatah lagi membelakangkan al-Quran atau meninggalkannya dalam kehidupan ini. 


Ulama telah memperingatkan bahawa ada beberapa kesan yang nyata bagi seseorang itu jika meninggalkan atau melupakan al-Quran dalam kehidupan manusia. Antara kesan yang boleh dilihat apabila seseorang Muslim melupakan al-Quran dan menjauhkan diri dari al-Quran adalah seperti berikut: 


Kesesatan yang nyata 

Al-Quran sebagai petunjuk dan pedoman yang diturunkan oleh kepada manusia melalui perantaraan Nabi Muhammad SAW. Semua petunjuk dan pedoman dinyatakan oleh Allah adalah dalam bentuk hakikat kebenaran yang dijelaskan dalam al-Quran melalui bukti yang kukuh sehingga tidak ada alasan lagi untuk manusia menepisnya setelah setiap manusia mengaku beriman kepada Allah. Keingkaran orang yang telah beriman kepada Allah terhadap apa yang telah ditetapkan melalui al-Quran adalah tindakan yang salah dan mereka ini digolongkan dalam kategori orang yang sesat. 

Ini seperti yang difirmankan oleh Allah dalam ayat 4 surah an-Nisa yang bermaksud: “Tidakkah Engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad) orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (kitab) yang telah diturunkan dulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu, dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”. 

Kebuntuan fikiran 

Allah SWT sentiasa memberikan hidayah petunjuk, keluasan fikiran dan ketenangan sekiranya manusia sentiasa mengikuti perintah Allah. Sesungguhnya manusia lemah dan perlu petunjuk serta bantuan daripada Allah SWT melalui ajaran dan penghayatan al-Quran. Perlu diperjelaskan bahawa sekiranya manusia bersandar, berpegang atau memohon bantuan selain dari Allah iaitu makhluk, maka manusia akan bersandar atau berpegang kepada sesuatu yang lemah dan tidak ada memiliki kekuatan yang sebenarnya. 

Jika ini dilakukan, manusia akan menjadi keluh kesah, kesempitan dan kecelaruan fikiran. Perkara ini diingatkan oleh Allah melalui firman-Nya dalam ayat 125, surah al-Anam yang bermaksud: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.” 

Perkara ini juga diingatkan oleh Nabi melalui hadisnya yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir: “Barang siapa yang dikehendaki Allah untuk diberinya petunjuk maka dia akan melapangkan dadanya untuk menerima Islam. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah Allah melapangkan dada?”, Baginda bersabda: “Cahaya masuk ke dalam hatinya sehingga dia berasa lapang”. Sahabat bertanya lagi: “Apakah perkara itu ada tandanya?”. Baginda bersabda: “Tandanya ialah menghindari penipuan dunia, kembali ke negeri akhirat dan mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian sebelum kematian itu tiba.” 


Kehidupan yang serba susah dan sukar 

Allah SWT telah menjanjikan bahawa sesiapa yang mengingkari ajaran Allah akan menerima balasan yang setimpal dalam kehidupan ini. Ini adalah kerana petunjuk dan ajaran selain daripada ajaran Allah SWT mempunyai kekurangan dan keterbatasan. Firman Allah dalam perkara ini telah dinyatakan dalam surah Taha, ayat 20 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” 

Banyak lagi kesan yang boleh dilihat ke atas mereka yang melupakan al-Quran iaitu, mata hati yang buta, keras hati, zalim dan hina, bersahabat dengan syaitan, lupa diri, fasik dan termasuk dalam kelompok nifak atau munafik.

No comments:

Post a Comment