Sunday, 30 June 2013

MAT YO MARAH, BUANG PINGAT DALAM TONG SAMPAH

Bukit Jalil: Kecewa, sedih dan marah. Mungkin itu perasaan penyerang Johor Darul Takzim (DT), Norshahrul Idlan Talaha selepas pasukannya hanya bergelar naib juara Piala FA kelmarin. 

Pemain terbaik negara itu antara tonggak utama Johor DT yang bermain bermati-matian sepanjang 90 minit sebelum ditewaskan bekas pasukannya, Kelantan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Kemuncak kekecewaan pemain dengan gelaran Mat Yo itu terbukti apabila dia membuang pingat diterimanya ke dalam tong sampah sebelum masuk ke bilik persalinan. 

Norshahrul juga enggan ditemuramah media selepas perlawanan berkenaan. 

Marah, kecewa 
Jika dinilai permainan penyerang kebangsaan itu, dia memang berhak untuk berasa marah dan kecewa kerana Johor DT mempunyai keupayaan untuk muncul juara, tetapi Norshahrul tidak banyak mendapat bantuan rakan sepasukan. 

Namun paling mengecewakan Norshahrul apabila golnya pada minit ke-63 dibatalkan pengadil Syed Azhar Syed Kamar yang terlebih dulu meniup wisel kerana mendakwa penyerang itu mengasari Azizi Matt Rose. 


Perlu sokongan 

Bagi penyerang hebat seperti Norshahrul, kilauan trofi sudah tentu menjadi ganjaran paling bermakna dalam karier mereka, tetapi bola sepak bukan setakat kemahiran individu. 

Dia memerlukan sokongan rakan sepasukan untuk berfungsi sebagai perancang dan juga penjaring.

Rumah menteri kabinet (KJ) dimasuki perompak


RUMAH Khairy Jamaluddin yang terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur dimasuki empat penjenayah petang kelmarin.


KUALA LUMPUR – Empat lelaki menceroboh kediaman Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Jalan Setiabestari, Bukit Damansara di sini kelmarin dan melarikan beberapa unit komputer riba dan jam tangan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, semasa kejadian pada pukul 5.30 petang itu hanya pembantu rumah menteri itu berada di rumah tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan itu dikatakan tiada di rumah semasa kejadian kerana menyaksikan final Piala FA antara Johor Darul Takzim dan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Menurut beliau, suspek-suspek yang dikatakan menaiki sebuah kereta Proton Waja itu masuk ke rumah orang kenamaan itu dengan memanjat tembok pagar di tepi rumah dan masuk menerusi pintu kayu depan yang tidak berkunci.
“Semasa itu pembantu rumah menteri itu berada di dapur dan menyedari kejadian itu semasa keluar ke ruang tamu sebelum terkejut melihat pintu depan terbuka.
“Selepas itu pembantu rumah terbabit melihat empat suspek sedang menyelongkar bilik tidur utama majikannya,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Mati kerana terkejut caj elektrik tinggi

COLOMBO 29 Jun - Seorang lelaki di Sri Langka mati akibat diserang penyakit jantung kerana terkejut dengan kadar caj elektrik rumahnya, lapor media hari ini.

Mangsa, S. P. Samaradasa, 61, mengemukakan bantahan di ibu pejabat Lembaga Elektrik Ceylon, semalam ekoran peningkatan mendadak ke atas caj bil elektrik yang dikenakan ke atasnya, menurut akhbar Ceylon Today.

Namun, mangsa dimaklumkan peningkatan bil elektrik itu disebabkan kenaikan tarif besar-besaran bulan lalu, sekali gus menyebabkannya terkejut dan diserang penyakit jantung sebelum rebah di tempat kejadian.

Akhbar itu bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah bil elektrik yang dikenakan kepada lelaki itu, tetapi menyatakan berlaku peningkatan tarif elektrik sebanyak 50 peratus di negara ini.

“Samaradasa yang duduk di kerusi selepas dimaklumkan tentang kenaikan itu tiba-tiba rebah disebabkan serangan jantung.

“Dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," lapor Ceylon Today.
Sri Lanka merupakan antara negara di Asia yang mengenakan caj tinggi bagi kemudahan elektrik iaitu lebih 47 rupee (RM1.14) untuk satu kilowatt perjam. - AFP

Awang Had Salleh meninggal dunia pagi ini

AWANG HAD SALLEH

KUALA LUMPUR 1 Julai - Tokoh akademik dan Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Tan Sri Awang Had Salleh meninggal dunia awal pagi ini akibat komplikasi paru-paru.

Allahyarham, 79, meninggal dunia pada pukul 3.03 pagi ini di Hospital Putrajaya.
Jenazah akan dibawa ke rumah anaknya di Presint 10, Putrajaya sebelum dikebumikan di Presint 20, hari ini.

Nahas konvoi motosikal kuasa tinggi 2 maut, 3 cedera

Photo: Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terbabit dlm kemalangan membabitkan lori tangki di KM 38, Jln Mersing-JB jam 1 tghr td

JOHOR BAHRU 30 Jun - Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dan tiga lagi cedera selepas konvoi yang disertai mereka terlibat dalam nahas dengan sebuah lori tangki di Kilometer 38, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran susur masuk ke Taman Daiman Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1 petang itu, mangsa Abdul Rashid Mansor, 48, beralamat di Taman Ibai Indah, Ibai Golf Resort, Kuala Ibai, Terengganu dan Mohamad Hisham Salleh, 36, dari Kampung Gemuroh, Marang mati di tempat kejadian.

Kejadian ketika hujan itu berlaku apabila sebuah lori tangki dari arah Mersing hilang kawalan menyebabkannya terbabas dan melintang di jalan raya sebelum dilanggar oleh motosikal berkuasa tinggi berkenaan.

Saturday, 29 June 2013

Kelantan juara Piala FA


FINAL FA 2013
KUALA LUMPUR: Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala FA 2013 apabila menumpaskan Johor Darul Takzim 1-0 pada saingan final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. 

Gol Kelantan diperoleh penyerang Norfarhan Muhammad pada minit ke-16. 


Ternyata Kelantan mendominasi perlawanan terutama pada separuh masa kedua dan berpeluang menambah sekurang-kurangnya dua gol. 

Masuk babak kedua, Johor DT meningkatkan jentera serangan namun gagal memperoleh gol penyamaan. 


PEMAIN Kelantan, Mohd Norfarhan (dua kanan) menjaringkan gol pertama pada minit ke-16. Pasukan Kelantan mendahului Johor Darul Takzim (JDT) 1-0 dalam saingan final Piala FA MAlaysia pada Sabtu malam. -foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL

Senarai barisan pemain Kelantan:

Azizi Matt Rose, Obinna Nwaneri, Nik Shahrul Azim, Mohd Shakir Shaari, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Norfarhan, Mohd Duadsu, Badhri Radzi (K), Mohd khairul Fahmi, Dickson Nwakaeme, Zairul Fitree

Senarai barisan pemain JDT:

Mohd Al-Hafiz, Kamarul Afiq (K), Ahmad Tharmini, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha. Andre Francisco, Nurul Azwan Roya, Mohd Safee Sali, Muhd Nazri Ahmad, Jasazrin Jamaluddin, Mohd Farid Ramli

3 gelas minuman RM45

Tiga gelas air RM45
Hamidi menunjukkan resit yang dikeluarkan oleh peniaga warung berkenaan, selain sejumlah syiling yang merupakan baki pembayaran yang dipulangkan
BATU PAHAT 28 Jun - Tiga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) daerah ini terkejut apabila dikenakan bayaran sebanyak RM45 bagi tiga gelas minuman iaitu milo ais, teh o ais dan teh ais ketika menghilangkan dahaga di sebuah restoran berhadapan pintu masuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Parit Raja, di sini kelmarin.

Menceritakan semula kejadian itu seorang daripada mereka, Mohd. Hamidi Mad Tap, 37, berkata, pada hari tersebut dia bersama rakannya ditugaskan untuk melakukan pemotongan elektrik terhadap premis yang gagal menjelaskan tunggakan lebih dari tiga bulan menerusi 'Ops Potong'.

Menurutnya, berikutan itu, mereka datang ke restoran terbabit untuk membuat pemotongan bekalan elektrik kerana mempunyai tunggakan sebelum pemiliknya bertindak menjelaskan bayaran setelah dinasihatkan berbuat demikian.

"Kerana telah berada di restoran itu, kami mengambil peluang menghilangkan haus dengan memesan milo ais, teh o ais dan teh ais. Bagaimanapun selepas lelaki yang merupakan pemilik premis pulang daripada menjelaskan bayaran, dia telah memaki-hamun kami.

"Tidak cukup dengan itu, isterinya menyerahkan bil yang menyatakan tiga gelas air kami bernilai RM15 setiap satu dan kesemuanya berjumlah RM45. Saya kemudian terpaksa menjelaskan bayaran tersebut," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Tidak cukup dengan itu, kata Mohd. Hamidi, baki bayaran minuman sebanyak RM5 pula dipulangkan dengan wang syiling 10 sen bagi menyakiti hati dia dan dua rakan sekerjanya walhal nasihat yang diberikan supaya membayar tunggakan adalah supaya mengelakkan bekalan elektrik restoran itu dipotong.

10 sebab mengapa kamu perlu senyum

SEKUNTUM senyuman yang kamu lemparkan mampu untuk menceriakan kehidupan insan lain. Betul, hanya dengan berbekalkan sekuntum senyuman sahaja.

Kamu juga akan mendapat manfaat yang pelbagai untuk kesihatan hasil daripada senyuman kamu itu. Senyuman bagaikan satu senaman dalaman yang dapat merangsang sistem saraf otak, hormon dan tubuh kamu.

Jadi, jika kamu ingin sentiasa tampil sihat dan bertenaga, berikan senyuman kamu yang paling manis buat mereka yang berada di sekeliling kamu dan teruskan membaca!


10 sebab mengapa kamu perlu senyum

Senyuman bukan hanya sekadar tindak balas gerak muka, tetapi turut mempunyai hubungan dengan penghasilan endorphin di dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi. Jadi, ia turut menjadikan seseorang itu berasa jauh lebih selesa dan yakin dengan diri sendiri.


Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah dengan menambah kemasukan oksigen dalam darah dan hal ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan dengan lebih cepat.

Mengakhiri senyuman dengan ketawa mampu menyahaktifkan bahan kimia dalam badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan juga ulser.

Senyuman adalah ekspresi muka yang terhasil dengan merengangkan otot di hujung mulut dan di sekeliling mata.

Kajian juga menunjukkan senyuman merupakan respons daripada rangsangan tertentu yang menggambarkan kegembiraan.

Penyelidik Jerman menjelaskan bahawa mereka yang memiliki ekspresi raut wajah yang senang hati, tampil menarik termasuk kelihatan lebih muda daripada usia mereka yang sebenarnya.

Universiti Illinois, Amerika Syarikat telah melakukan satu kajian yang membuktikan bahawa apabila seseorang itu gembira dan selalu tersenyum, hayatnya boleh mencapai satu dekad lebih berbanding mereka yang tidak senyum.

Menurut kajian sains, senyuman akan melepaskan sejenis hormon yang dipanggil endorphin iaitu hormon yang membuatkan manusia berasa gembira.

Tahukah kamu, apabila kita senyum badan kita akan menghasilkan antibodi dan Sel T atau sel darah putih yang akan memberikan imunisasi optimum kepada badan.

Senyuman dapat mencegah sakit sembelit pada waktu pagi. Pergerakan Peristaltik (gerakan otot pada saluran pencernaan) usus masih perlahan, namun apabila kamu tersenyum pada waktu berkenaan, gerak usus tersebut akan terangsang akibat daripada kontraksi otot perut hasil daripada kesan senyuman kamu tadi.

Senyuman juga boleh dijadikan penawar pada penyakit rohani yang kronik.



 - LAILISUHANA

Bapa jadi pendorong kecemerlangan Amira Nabila



JASIN 29 Jun - Anak seorang pensyarah, Amira Nabila Raduwan, 22, dinobat sebagai penerima Anugerah Pengarah Politeknik atas kecemerlangannya dalam akademik dan ko-kurikulum pada Majlis Konvokesyen ke-12 Politeknik Merlimau di sini hari ini.

Graduan Diploma Senibina yang berasal dari Klang, Selangor itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.68 dan berjaya memperoleh Anugerah Ketua Jabatan pada setiap semester sepanjang pengajiannya di politeknik itu.

Menurutnya, sikap sukakan cabaran serta tidak kenal erti putus asa dengan menjadikan ayahnya, Pensyarah Universiti Kuala Lumpur, Dr. Raduwan Idar, 56, sebagai pendorong untuknya menempa kejayaan.

"Syukur dengan anugerah yang diterima, dalam ramai-ramai pelajar, tak sangka saya yang terpilih, memang tak dapat diungkap perasaan yang saya rasakan ketika ini.

"Memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas, duduk dibahagian depan ketika belajar selain niat belajar kerana Allah adalah petua kejayaan yang boleh saya kongsikan.

"Kejayaan ini juga saya hadiahkan kepada ibu, Norhazian Yusof, 56, yang menyambut hari lahir semalam dan juga ayah saya yang turut meraikan hari lahirnya pada 22 Jun lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu.

Pada majlis konvokesyen yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob itu, seramai 1,054 graduan menerima diploma masing-masing menjadikan angka keseluruhan graduan yang dilahirkan oleh politeknik itu sejak 11 tahun lalu seramai 13,232 orang.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar.

Rokok seludup: Negara rugi RM1.9 bilion setahun



KOTA BELUD 29 Jun - Aktiviti penyeludupan rokok yang berleluasa di negara ini menyebabkan kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM1.9 bilion setahun daripada hasil cukai rokok yang gagal dikutip.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Matrang Suhaili berkata, penyeludupan rokok di negara ini amat kritikal di mana 36 peratus daripada rokok yang dijual di pasaran adalah rokok seludup.


"Di Sabah sahaja peratusan rokok kontraban (seludup) adalah lebih tinggi iaitu 81 peratus. Ini bermakna daripada 10 peket rokok yang dijual di pasaran Sabah, lapan daripadanya merupakan rokok seludup," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat 2013 di Sekolah Kebangsaan Kuala Abai hari ini.



Kebajikan hapus kejahatan

Penghormatan masuk semua pintu syurga


Abu Hurairah menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menafkahkan di jalan Allah sepasang binatang nescaya diseru dia di pintu syurga: Hai hamba Allah, ini suatu kebajikan. Dan sesiapa berada daripada golongan orang yang bersembahyang dipanggil dia dari pintu sembahyang. Orang yang masuk dalam kalangan ahlul jihad dipanggil dia dari pintu al-Jihad. Sesiapa yang masuk daripada golongan orang yang berpuasa diseru dia dari pintu al-Rayyan. Dan sesiapa yang masuk daripada kalangan orang yang bersedekah diseru dia dari pintu sedekah. 

Maka berkatalah Abu Bakar: Engkau aku tebus dengan ibu dan ayahku, ya Rasulullah. Tiada suatu kemelaratan bagi orang yang diseru dari pintu itu. Maka adakah seseorang yang akan dipanggil dari semua pintu? Nabi menjawab: Ya! Dan aku harapkan engkau termasuk ke dalam golongan itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Kebajikan hapus kejahatan 


Sesiapa yang melakukan amal kebajikan dalam apa juga bentuk maka di akhirat kelak seluruh pengawal pintu syurga, masing-masing mempersilakan masuk orang yang melakukan amal kebajikan ini melalui pintu yang dijaga mereka dan ada juga segolongan orang yang mendapat penghormatan untuk memasuki semua pintu kebajikan. 

Daripada Abi Zar Jundub bin Junadah dan Abdi Rahman Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda: “Bertakwalah kamu kepada Allah bila dan di mana saja kamu berada, susulkan kejahatan dengan kebaikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah dengan sesama manusia dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat at-Tirmizi) 

Amalan kebajikan menghapuskan amalan kejahatan sebelumnya, jika kejahatan itu termasuk dosa kecil dan tidak berkaitan dengan orang lain. 

Antara akhlak mulia ialah manusia yang tidak mengganggu atau menyakiti orang lain juga melakukan perkara makruf dan berinteraksi dengan cara yang kita mahu orang berinteraksi dengan kita.

Demonstrasi- Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke Mesir

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menasihati rakyat Malaysia supaya menangguh dan menjadual semula lawatan mereka ke Mesir ekoran demonstrasi di Kaherah dan bandar raya besar lain termasuk Faiyoum, Mansoura dan Iskandariah. 

Pada masa ini, kementerian berkenaan memantau rapi perkembangan terkini demonstrasi yang mengakibatkan beratus-ratus orang cedera sejak beberapa hari lepas.


"Setakat ini, tiada sebarang laporan mengenai pembabitan rakyat Malaysia, terutama pelajar," menurut kenyataan kementerian itu di sini hari ini. 

Memandangkan keadaan tidak menentu terus memuncak menjelang perhimpunan besar-besaran yang akan diadakan di seluruh negara pada Ahad (30 Jun), rakyat Malaysia dinasihati supaya menangguh dan menjadual semula lawatan mereka ke negara berkenaan. 

Kenyataan itu turut menyebut Kedutaan Malaysia di Kaherah menasihati rakyat Malaysia yang ketika ini tinggal di Mesir supaya berwaspada dan menjauhkan diri daripada perhimpunan besar-besaran dan demonstrasi itu.

Rakyat Malaysia juga dinasihati supaya berhubungan dengan Kedutaan Malaysia di Kaherah di 21 El Aanab Street, Mohandesseen, Giza, Mesir atau menghubungi talian (202) 37610013/ 19/ 68/ 73.

Mereka juga boleh menghubung Bilik Operasi Kedutaan Malaysia di 00-2-02-37610270 atau 02-37610013/02-37610068 ext 141, faks (202) 37610216 atau mengirim email di malcairo@kln.gov.my. - BERNAMA

Friday, 28 June 2013

Ops Daulat diambil alih ESSCOM, kini dikenali Ops Sanggah

LAHAD DATU: Ops Daulat bagi menentang kumpulan penceroboh di Lahad Datu, hari ini secara rasmi diambil alih Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) dengan operasi kini dikenali sebagai Ops Sanggah. 

Penyerahan tugas diserahkan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada Ketua Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mantek, di FELDA Sahabat 16, di sini, sebentar tadi.


Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman merangkap Pengerusi ESSCOM. 

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Syria luka kedua selepas Palestin

Syria luka kedua selepas PalestinSyria bumi yang mempunyai keistimewaan sendiri kini menjadi kubur saudara seagama. - Foto hiasan
Syam tempat berkembang tamadun, pusat ilmu Islam
Tatkala Allah SWT membentangkan bumi yang luas untuk semua makhluk-Nya, diciptakan tempat dan negeri serta penduduknya yang pelbagai bentuk serta rupa paras. Antara manusia pula, dilantik dalam kalangan mereka nabi dan rasul


Firman Allah SWT: “Dan Tuhanmu menciptakan serta memilih apa Dia kehendaki.” (Surah al-Qasas, ayat 68)
Kemudian dianugerahkan sebahagian bumi mempunyai keistimewaan tersendiri seperti Makkah, Madinah, Baitulmaqdis, Syam atau Syria yang meliputi Jordan dan Palestin antara negeri diberi penghormatan oleh Allah SWT. 

Maka, Allah SWT jadikan bumi Syria tempat perjalanan nabi serta penurunan wahyu dari langit. Di sini juga dijadikan tempat berhimpunnya manusia pada hari Mahsyar dan masing-masing menerima catatan amalan mereka. 

Firman Allah SWT: “Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidilharam ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’, ayat 1) 

Ulama berpendapat maksud ‘sekelilingnya’ yang terdapat dalam ayat ini ditafsirkan ulama sebagai bumi Syam. Syria juga adalah bumi nabi sejak Nabi Adam dan anaknya Habil dikebumikan. Nabi Yahya disemadikan di bumi Syria, makamnya terletak dalam Masjid Umayyad di Damsyik.

 
Diriwayatkan daripada Saidina Ali, beliau berkata: “Mereka yang terbaik di sisi Allah SWT kebanyakannya dari negeri Syam, dari kalangan mereka 40 lelaki. Apabila salah seorang daripada mereka meninggal, maka Allah akan menggantikan tempatnya dengan seseorang yang lain. Kerana merekalah, Allah menurunkan hujan, memberikan kemenangan terhadap musuhnya dan dijauhkan bala dan azab terhadap penduduk Syam.” (Musnad Ahmad, Ibn ‘Asakir, Tirmidhi, Haythami dan Imam Sayuti)

Sabda Baginda SAW bermaksud : “Tatkala Isa turun pada akhir zaman untuk menyelamatkan manusia, Allah memilih tempat yang baik iaitu sebuah menara putih yang terletak di timur Syria.” (Riwayat Muslim) 

Ia juga tempat bersemadinya sebahagian besar sahabat Baginda SAW antaranya Saidina Bilal, Muawiyah, Abu Darda’, Khalid Al-Walid, Abu Hurairah serta ramai wali Allah. Sebahagian besar penduduknya berjihad menentang tentera salib bagi menyelamatkan akidah umat Islam. 

Ia tempat berkembangnya tamadun Islam serta pusat ilmu pengetahuan sehingga Baginda SAW sendiri tidak pernah melawat dunia luar kecuali Syria. 

Walid Bin Muslim, sahabat Baginda SAW berkata: “Aku datang ke Syam berkali-kali hanya kerana aku pernah melihat Baginda SAW melawat ke sana.”

500 makam nabi di Damsyik 

Imam Abdullah bin Salam meriwayatkan bumi Syam adalah tempat di mana terletaknya persemadian 1,700 nabi sementara Imam Makhul menambahkan, terdapat 500 makam nabi di Damsyik dan masih banyak hadis lain yang menceritakan kelebihan Syam dan ibu negerinya.

Ancaman yang diucapkan Baginda SAW kepada umat juga dikaitkan dengan Syam melalui sabdanya: “Apabila hancurnya penduduk Syam, maka tiada lagi sebarang kebaikan untuk umat Islam. Sebahagian daripada umatku akan sentiasa mendapat pertolongan dan mereka tidak akan terhina sehingga hari kiamat.” (Riwayat Tirmizi) 

Baginda SAW juga menjadikan Syam sebagai pilihan untuk menghantar tentera Islam. Sabda Baginda SAW: “Akan berlaku perutusan bala tentera yang besar di tiga buah negara iaitu Syam, Yaman dan Iraq. Berkata Ibnu Khaulah: Wahai Rasulullah, pilihlah satu tempat yang sesuai buatku. Sabda Baginda SAW: Pilihlah Syam kerana ia bumi dipilih Allah SWT sebagai pusat kebajikan untuk hamba-Nya. Pilihan kedua adalah Yaman. Sesungguhnya Allah SWT mewakilkan aku untuk melihat Syam.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Syam atau Syria pernah menjadi pusat bagi negara Islam serta berdirinya kerajaan Islam dengan megah di bawah panji keadilan dan kesaksamaan. Penduduknya pernah hidup dalam keamanan dan ketenteraman.

Di sanalah dajjal serta pengikutnya akan dihapuskan pada akhir zaman. Tentera Tatar juga pernah tumbang di tangan penduduk Syam sehingga Ibnu Taiymiah pernah ditanya adakah Syam lebih baik daripada Makkah dan Madinah?

Walaupun hakikatnya tidaklah sedemikian, persoalan itu timbul berdasarkan banyak fakta mengenai kelebihan Syria. Maka umat Islam mengemukakan persoalan sedemikian. Kemudian, berlalulah masa gemilang apabila keamanan bertukar sedikit demi sedikit dan menyempitkan kehidupan penduduknya.

Kemakmuran semakin pudar walaupun masih ramai ulama yang hidup sehingga hari ini. 

Sebenarnya, Syam adalah peninggalan sahabat Baginda SAW iaitu Saidina Umar dan amanah kepada kaum Muslimin seluruhnya. 

Kini kaum Muslimin mendapat dua luka yang masih belum sembuh iaitu kelukaan di bumi Palestin dan Syam. Bagaimanakah akal seorang insan dapat menerima penyembelihan sesama Islam di bumi Syam serta pengkhianatan orang yang bertanggungjawab kepada rakyatnya.

Senjata yang seharusnya dihunus kepada pihak musuh sudah dihalakan kepada golongan Muslimin sendiri serta mengakibatkan perkampungan di Syria menjadi tanah perkuburan saudara seagama.

Kehancuran umat Islam 

Bumi yang berkat akan musnah jika tiada perhatian daripada Muslimin seluruhnya. Kehancuran Syam petanda akan kehancuran umat Islam seluruhnya. Allah juga akan menggantikan kaum yang sanggup mempertahankan agamanya walau dengan harga yang amat tinggi. 

Firman Allah SWT: “Dan jika kamu berpaling daripada kebenaran, Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan derhaka seperti kamu.” (Surah Muhammad, ayat 38) 

Pembunuhan saudara seagama satu dosa besar dan mati kerana mempertahankan kebenaran adalah syahid. Marilah kita semarakkan Ramadan yang bakal menjelang dengan menghulurkan bantuan terhadap saudara kita di Syria.



Credit: Zamanudin Jusoh (NSTP)

MACAM-MACAM....


Dua menyamar polis diberkas

Dua menyamar polis diberkas
Dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan dipercayai cuba untuk melakukan jenayah, berjaya ditangkap. - Foto: Ihsan Balai Polis Damansara
Dua menyamar polis diberkas
Jaket dan telefon bimbit yang dirampas. - Foto: Ihsan Balai Polis Damansara
PETALING JAYA - Tindakan dua individu menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun penduduk di sekitar Damansara, berakhir dengan penahanan mereka di Mutiara Damansara, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, anggota polis dari Balai Polis Damansara yang melakukan rondaan di kawasan itu mengesan kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Mereka melarikan diri tetapi ditahan selepas kira-kira 200 meter.

Seorang daripada mereka memakai jaket hitam dengan logo polis dan baju seragam kadet polis.

“Seorang warga Myanmar, manakala seorang lagi lelaki tempatan. Mereka berusia dalam lingkungan 20-an,” katanya.

Arjunaidi berkata, motosikal yang mereka naiki dilaporkan hilang di Kota Damansara.

“Kedua-dua mereka ditahan reman untuk membantu siasatan, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.


Credit: AHMAD ISMADI ISMAIL

Turbin Bakun gagal bekalkan tenaga

Punca gangguan bekalan elektrik dikenal pasti 

Kuching: Gangguan bekalan elektrik kira-kira lima jam membabitkan hampir seluruh negeri ini kelmarin, disahkan berpunca daripada penurunan mendadak bekalan elektrik dari Stesen Janakuasa Hidro Bakun.
Kejadian bermula jam 5.36 petang apabila turbin jana kuasa gagal membekalkan tenaga hingga menyebabkan penurunan mendadak tenaga dari 884 megawat (mw) kepada 456mw.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB), Torstein Dale Sjotveit, berkata penurunan itu turut menyebabkan semua stesen jana kuasa utama lain di Sejingkat, Batang Ai, Mukah, Bintulu dan Miri terpelantik. 
Katanya, SEB segera menggerakkan usaha memulihkan bekalan dengan Stesen Hidroelektrik Batang Ai kembali beroperasi jam 5.53 petang, diikuti Sejingkat (5.56 petang), Bintulu (6.21 petang) dan Miri (7.45 malam). 

Hilang 456mw tenaga 

“Ketika kejadian, jumlah aliran tenaga pada tahap 1,555mw, namun dalam tempoh 10 saat, kita kehilangan 456mw tenaga menyebabkan tahap frekuensi normal pada paras 50 hertz (hz) menurun di bawah 47.5hz. 
“Bakun hanya dapat dipulihkan selepas jam 10 malam menyebabkan beberapa kawasan mengalami kelewatan pemulihan seperti di Sibu apabila sistem kembali dihubungkan jam 11.30 malam dan keseluruhannya pulih jam 2.07 pagi tadi (semalam),” katanya di Ibu Pejabat SEB, di sini semalam.

Stesen Janakusa Hidroelektrik Bakun mempunyai empat turbin utama beroperasi 24 jam, masing-masing berupaya menjana sehingga 300mw. Bagaimanapun atas aspek keselamatan, ia hanya dibenarkan beroperasi pada tahap pengeluaran antara 220 hingga 230mw. 

Sambil memohon maaf kepada pengguna termasuk komuniti perniagaan yang terjejas akibat kejadian kelmarin, Torstein berkata, siasatan rapi berhubung kejadian itu membabitkan wakil Kementerian Kemudahan Awam dan Sarawak Hidro akan dilakukan segera bagi mengelak perkara sama berulang. 

“Saya memberi jaminan sistem bekalan sedia ada adalah stabil di seluruh negeri ini. Pegawai dan jurutera kami sudah berada di Bakun untuk memulakan siasatan, mencari punca penurunan bekalan tenaga dan kita harap ia dapat diketahui dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Bayi berkepala dua

Jogjakarta: Sepasang suami isteri tetap reda menerima ketentuan Ilahi apabila dikurniakan anak istimewa yang memiliki dua kepala.


Menurut bapa bayi terbabit, Usman, pada peringkat awal dia memang terkejut dan panik apabila mengetahui keadaan fizikal anaknya itu tidak normal.

“Saya tidak pernah mendapat sebarang firasat dan tidak menyangka keadaan ini berlaku.

“Bagaimanapun saya dan isteri ikhlas menerima keadaan anak ini kerana ia adalah takdir Tuhan,” katanya.

Anak lelaki Usman itu dilahirkan di Hospital Bersalin Duta Mulya di Majenang, Cilacap, Jawan Tengah kira-kira jam 9.30 malam pada Rabu lalu dengan berat 4.2 kilogram.

Pengarah hospital, Tatang Mulyana berkata, bayi itu sihat dan dilahirkan melalui pembedahan.
Foto
ANAK istimewa pasangan Usman dan Munjiah masih dirawat di hospital.

Kata Tatang, ia adalah anak kedua kepada pasangan Usman, 36, dan Munjiah, 27, yang menetap di Purwosari.

Menurut Usman, dia berharap bayi itu selamat dan sihat. Pada masa sama, Usman mengakui dia bingung apabila memikirkan jika anaknya itu terpaksa dirawat lebih lama di hospital. “Rumah saya jauh dan tentu memerlukan perbelanjaan tinggi untuk berulang-alik,” katanya.

Sementara itu, Tatang berkata, anak Usman tidak dianggap kembar siam kerana hanya memiliki dua kepala, sedangkan organ dalaman lain normal selain sepasang tangan dan kaki.

“Dalam istilah perubatan, ia dikenali sebagai ‘dicephalus parapagus on joined twins’ atau kembar mulai dari leher hingga kepala.

“Ia mungkin berlaku akibat perubatan genetik ketika janin berusia dua minggu,” katanya. - Agensi

Kerabat Diraja Johor pukul petinju dihantar ke penjara

Johor Bahru: Rayuan seorang kerabat diraja dan dua rakannya yang disabit kesalahan mendatangkan kecederaan kepada petinju negara Muhammad Farkhan Mohd Haron, 25, pada Mei tahun lalu untuk menangguh hukuman penjara sehingga Aidilfitri (Ogos ini) ditolak Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Zamri Bakar, semalam.
Zamri turut memerintahkan supaya ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara empat tahun berkuat kuasa serta-merta mulai semalam.

Zamri membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh iaitu Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir, 28, Alex Foo Hee Wee, 42, dan Mohd Arif Husin, 36.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Farkhan dengan menggunakan senjata tumpul antara jam 4.30 pagi dan 7 pagi di Jalan Molek 3/2, Taman Molek di sini, pada 6 Mei 2012.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan turut dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama (Akta 574) jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar manakala semua tertuduh diwakili peguam bela Norman Fernandez, Mohd Abdul Kadir, Zamri Idros dan Mazri Muhamad.
Foto
MOHD Arif (kiri depan), Tunku Nick Tazuddin (tengah) dan Alex (belakang kanan) di luar mahkamah, semalam.
Terdahulu, Muhammad Farkhan dipanggil memberi Pernyataan Kesan Terhadap Mangsa (Victim Impact Statement) berkaitan kejadian terbabit.

Dalam rayuan peguam bela kepada mahkamah, semua tertuduh memohon supaya hukuman ke atas ketiga-tiga tertuduh ditangguhkan sehingga Aidilfitri.
Ia bagi memberi peluang kepada dua daripada mereka bagi menjalani ibadat puasa dan beraya bersama keluarga masing-masing.


Credit: Harian Metro

Johan qari, qariah dapat jongkong emas

PUTRAJAYA 28 Jun - Buat pertama kali, johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTQA) tahun ini akan menerima jongkong emas seberat 350 gram bernilai RM70,000 bersama wang tunai RM40,000.

Jongkong emas itu adalah sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, hadiah itu adalah usaha penambahbaikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap pertandingan memasuki tahun ke-55 itu.

"Sudah tiba masanya kita tampilkan satu inisiatif atau hadiah yang boleh membezakan MTQA anjuran kita dengan negara Islam lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan logo baharu dan setem peringatan sempena pertandingan itu yang bakal berlangsung selama lapan hari bermula esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Setakat ini, seramai 76 peserta daripada 45 buah negara telah mengesahkan penyertaan.

Malaysia akan diwakili oleh johan qari dan qariah pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan baru-baru ini iaitu Anuar Hasin dari Perak serta Hanimzah Jalaluddin dari Pahang.


Seluruh Sarawak bergelap

Seluruh Sarawak bergelapKebanyakan kawasan di Sarawak bergelap sejak petang semalam. - Foto BERNAMA
Kuching: Kira-kira sejuta penduduk bergelap apabila bekalan elektrik terputus di hampir seluruh Sarawak mulai jam 5.40 petang semalam. 

Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam kenyataannya menyebut, kejadian berpunca daripada sirkit terpelantik membabitkan sistem rangkaian kuasa grid Stesen jana kuasa Kemena-Bintulu.


Kejadian dikesan pada jam 5.40 petang dan jurutera serta juruteknik SEB bertungkus-lumus berusaha memulihkan keadaan secepat mungkin, katanya di sini, malam tadi. 

Setakat jam 9.30 malam tadi, bekalan di Kuching pulih 50 peratus manakala Sibu, Bintulu dan Miri masih bergelap. 

Pegawai Perhubungan Awam SEB, Haniza Abdul Hamid, ketika dihubungi berkata, bekalan dipulihkan secara berperingkat manakala ada beberapa kawasan mempunyai sistem sokongan kuasa automatik. 


Kerah kawal lalu lintas 
Di SIBU, lebih 200 anggota polis dikerah mengawal lalu lintas dan melakukan rondaan sebaik bekalan elektrik terputus. 


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata lampu isyarat tidak berfungsi di waktu puncak menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa tetapi dapat dikawal. 

Di MIRI, tiga rumah di Piasau Jaya terbakar dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam tadi, dipercayai akibat penggunaan lilin bekalan ketiadaan bekalan elektrik. 

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan api dapat dikawal sejam kemudian.

Jari dipatuk boleh hilang bila-bila masa

Jari dipatuk boleh hilang bila-bila masaMohamad Norfaiz menunjukkan tangan dan jari kiri dalam keadaan membengkok dan reput selepas dipatuk ular tedung selar. - Foto Hazreen Mohamad

Seremban: Saya bersyukur kerana masih hidup tetapi sedih kerana jari telunjuk kiri akan hilang bila-bila masa, kata Mohamad Norfaiz Mohd Nor, 21, yang dipatuk ular tedung selar di jari itu. 

Anak bongsu daripada enam beradik itu menganggap dirinya ibarat mati hidup semula kerana terselamat walaupun bisa reptilia itu memasuki jantung dan buah pinggang dalam kejadian menjelang Aidilfitri tahun lalu.


Menceritakan kejadian kira-kira jam 4 petang 8 Ogos itu, Norfaiz yang ketika itu bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah berkata, beliau memasuki stor rumahnya yang agak gelap untuk mengambil botol petrol. 

Ketika membongkok, saya berasa jari dipatuk lalu segera menarik tangan sebelum ternampak seekor ular tedung selar melarikan diri. 


Tangan kiri jadi hitam 

Kesakitan ditanggung tidak dapat digambarkan. Saya sesak nafas dan keseluruhan tangan kiri menjadi hitam. 

Saya muntah beberapa kali sebelum berada dalam keadaan separa sedar, katanya ditemui di rumahnya di Kampung Linsum, Rantau dekat sini, semalam. 


Norfaiz yang koma enam hari berkata, doktor di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) menganggap peluangnya hidup tipis kerana bisa ular memasuki organ penting tetapi dapat diselamatkan kerana sempat disuntik antivenom, selain antibodinya kuat melawan bisa itu. 


Jari telunjuk tak berfungsi 
Tidak lama selepas sedar, katanya, doktor mencadangkan pergelangan tangan kiri yang seperti lumpuh dipotong kerana sebahagian isi pada bahagian itu mati. 

Bagaimanapun, Norfaiz enggan berbuat demikian dan ia menyebabkan jari telunjuk kirinya tidak berfungsi atau diluruskan, malah doktor memberitahu ia akan reput kerana uratnya terputus. 

Alhamdulillah, hasil rawatan moden dan tradisional, hanya jari telunjuk tidak berfungsi tetapi tangan kiri saya tidak dapat melakukan kerja berat, katanya. 

Dia bagaimanapun kesal kerana diberhentikan kerja selepas kejadian itu dan sukar mendapat pekerjaan lain hingga digaji sebuah syarikat kawalan keselamatan beberapa bulan lalu. 

Norfaiz turut mendaftar diri sebagai sebagai orang kelainan upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun mendakwa permohonan Februari lalu tidak mendapat maklum balas. 



Credit: Ifwan Tun Tuah

Kerabat diraja, 2 rakan dipenjara kerana cederakan petinju


JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman empat tahun penjara terhadap seorang kerabat diraja dan dua rakannya kerana mencederakan peninju kebangsaan, Muhammad Farkhan Haron pada tahun lalu.


Bagaimanapun, Hakim Zamri Bakar menolak rayuan Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir, 27; Alex Foo Hee Wee, 41, dan Mohd. Arif Husin, 35, dan mengekalkan hukuman tersebut.
Dalam insiden pada 6 Mei tahun lalu, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhamad Farkhan menggunakan senjata tumpul di antara pukul 4.30 pagi dan 7 pagi di Jalan Molek 3/2, Taman Molek, di sini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Shisha haram di Perlis

KANGAR - Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.
Dr. Juanda berkata, amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.
Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar. - Bernama