Saturday 9 March 2013

Pencuri tersepit celah jeriji besi


Kuala Terengganu: Cubaan seorang pemuda memecah masuk pejabat Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga dipercayai untuk mencuri bukan saja tidak berhasil tetapi bertukar tragedi selepas lehernya tersepit di celah jeriji besi pintu di sekolah berkenaan semalam.
Dalam kejadian jam 4.20 pagi itu, suspek berusia 21 tahun dari Kampung Laut, di sini dipercayai cuba memecah masuk pejabat sekolah berkenaan ketika pengawal keselamatan sedang tidur untuk mencuri peralatan di bilik berkenaan.

Menurut sumber, mangsa dikatakan cuba memecah masuk bersama seorang rakannya berusia 20-an tetapi cubaannya gagal apabila lehernya tersepit di celah jeriji besi pintu selepas gagal dikeluarkan rakannya yang turut sama menceroboh.
“Kejadian itu menyebabkan suspek menahan kesakitan hampir 30 minit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba yang turut dibantu Rakan Cegah Jenayah Terengganu menggunakan pemotong besi.

“Suspek dipercayai menceroboh masuk ke sekolah berkenaan melalui jalan belakang kira-kira satu jam sebelum kejadian itu bersama rakannya yang kemudian melarikan diri sebaik melihat leher suspek tersepit.

“Sebaik berjaya dibawa keluar, suspek yang cedera di kepala dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Pegawai Bomba Kanan II Abdul Razak Abidin berkata, seramai enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 4.23 pagi.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati leher seorang lelaki tersepit di pintu besi sebelum berjaya dikeluarkan 30 minit kemudian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Mohd Ishak ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Credit: HMetro

No comments:

Post a Comment