Monday 18 March 2013

Anak Pemandu Lori Cemerlang STPM


KLANG 18 Mac - Tekad untuk membantu keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan mendorong Khuzaidah Mohd., 19, belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang 4A 1B dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, di sini itu memperoleh A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah dan Pengajian Perniagaan serta B bagi mata pelajaran Ekonomi.

Lebih membanggakan apabila dia turut terpilih sebagai pelajar Melayu terbaik STPM di negeri ini.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, dia mahu mengubah nasib keluarga kerana tidak sanggup melihat bapanya berterusan membuat dua pekerjaan iaitu sebagai pemandu lori dan nelayan.

"Melihat kerja keras dan kepayahan ayah, saya bertekad untuk berjaya dalam pelajaran dan mengubah taraf kehidupan keluarga.

"Keputusan cemerlang ini juga saya hadiahkan untuk ayah yang telah berpenat lelah membanting tulang semata-mata memastikan perut anak-anaknya berisi," katanya dalam tangisan kegembiraan ketika dihubungi di sini hari ini.

Khuzaidah yang kini berada di Kelantan memberitahu, petua yang diamalkannya untuk berjaya adalah belajar secara berkumpulan.

"Biasanya saya bersama rakan-rakan sekelas akan berbincang sesama sendiri untuk lebih memahami mata pelajaran, terutama yang sukar.

"Saya turut memberi penumpuan penuh di dalam kelas dan mengamalkan solat hajat," katanya yang mengetahui keputusannya itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar pihak sekolah.

Khuzaidah berkata, dia merancang untuk meneruskan pelajarannya ke peringkat ijazah sarjana muda di dalam bidang Perbankan Islam.

Sementara itu, Pengetua SMK Sungai Kapar Indah, Mawarni Yahya berkata, selain cemerlang di dalam akademik, Khuzaidah juga seorang pelajar yang aktif di dalam aktiviti kokurikulum.

"Apa sahaja pertandingan yang dianjurkan sekolah, pasti dia akan sertai. Paling kerap adalah pertandingan pidato. Selain itu, dia juga merupakan Presiden Persatuan Puteri Islam.

"Keputusannya yang cemerlang menjadi kebanggaan kepada sekolah. Kita akan menjemput Khuzaidah untuk berkongsi rahsia kejayaan dengan pelajar sekolah ini," katanya.

Credit: 
FATIN AINAA FAUDZI

No comments:

Post a Comment