Saturday, 30 March 2013

5000 RAKYAT FILIPINA LARI TINGGALKAN SABAH


Manila: Hampir 5,000 rakyat Filipina melarikan diri dari Sabah sejak pasukan keselamatan Malaysia melancar serangan untuk mengusir pengganas Kiram yang menceroboh negeri itu.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Bencana Kebangsaan Filipina berkata, ia mendaftarkan 4,983 orang dewasa dan kanak-kanak yang tiba di selatan negara itu. 
Pengarah Eksekutif agensi kerajaan itu yang bertanggungjawab terhadap penjagaan mereka yang baru tiba, Paslur Abdullah berkata, jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana ramai lagi yang pulang mungkin tidak mendaftarkan diri. 

“Mereka tiba dengan kapal kecil. Ada yang mendarat tanpa mendaftarkan diri dan disambut oleh anggota keluarga. Kami tidak boleh menahan mereka,” katanya.
Rakyat Filipina itu mula tiba awal Mac lalu selepas pertempuran meletus antara tentera Malaysia dengan pengganas Kiram.

Kira-kira 200 pengganas, sebahagiannya bersenjata menceroboh Sabah pada Februari lalu untuk menuntut wilayah Malaysia itu. 

Pencerobohan berkenaan dan langkah keselamatan yang diambil oleh Malaysia menyebabkan lebih 60 pengganas dan 10 anggota keselamatan Malaysia terbunuh. 

Ia merenggangkan hubungan Kuala Lumpur dengan Manila. 

Presiden Benigno Aquino sebelum ini menyuarakan kebimbangan tindakan pengganas Kiram itu akan menjejaskan kehidupan 800,000 rakyat negara itu yang bekerja di Sabah. - AFP

No comments:

Post a Comment