Diplomat Filipina termasuk dutanya di Kuala Lumpur mungkin dibenar melawat selepas urusan soal siasat oleh pihak keselamatan ke atas suspek selesai, katanya.

Izin media asing

Mengenai media asing, Ahmad Zahid berkata, mereka boleh ke kawasan operasi berikutan tuduhan kononnya polis dan tentera melakukan kezaliman dan tidak menghormati hak asasi manusia terhadap tahanan. 
“Media asing boleh beroperasi di pusat media di FELDA Sahabat bagi mendapatkan perkembangan situasi semasa di kawasan operasi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan komputer dan beg sekolah kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Kebangsaan di sini, semalam.

Ahmad Zahid juga menyangkal laporan portal berita Philippine Daily Inquirer bahawa Malaysia menyekat pasukan kemanusiaan dan media Filipina daripada berjumpa dengan rakyat negara itu yang ditahan di pusat pemindahan di Lahad Datu.

Beliau berkata, kerajaan Filipina memberi kerjasama baik kepada Malaysia dengan memberi maklumat mengenai 35 penceroboh militan yang ditahan pegawai pantai dan tentera lautnya, baru-baru ini.

“Maklumat itu diperoleh daripada mereka (kerajaan Filipina) dalam tempoh terdekat selepas soal siasat dijalankan.

“Kita juga akan memberi maklumat kepada pihak Filipina mengenai tahanan dan tali barut militan Sulu yang ditahan pasukan keselamatan kita,” katanya.

Pengganas kebuluran

Sementara itu, beliau berkata, pengganas militan Sulu kini semakin terdesak dan kebuluran kerana tidak mendapat bekalan makanan sejak dikepung polis dan tentera.

“Moral pengganas juga semakin menurun selepas ketua mereka, Agbimuddin Kiram meninggalkan mereka,” katanya.

Beliau berkata, ada pengganas dilapor mencuri makanan di rumah kongsi dan kedai makan.

“Kita harap masyarakat setempat dapat lebih berhati-hati kerana mereka lapar dan tindakan mereka lebih agresif,” katanya.


Credit: BH