Monday 18 March 2013

STPM: Kelantan Catat Sejarah terbaik, 12 Calon Lulus Semua A


KOTA BHARU 18 Mac - Kelantan mencatat sejarah terbaik dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 apabila 12 calonnya mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil, berbanding hanya empat orang tahun sebelumnya, iaitu peningkatan tiga kali ganda.

Jumlah tersebut tidak termasuk tujuh lagi calon yang mendapat keputusan A bagi empat daripada lima mata pelajaran diambil, sekali gus menjadikan sebanyak 19 calon kesemuanya berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 tahun ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, peratus calon lulus penuh pula adalah seramai 5,399 calon iaitu 95.12 peratus daripada keseluruhan 5,676 calon, mengatasi pencapaian peringkat nasional iaitu 92.67 peratus.

Beliau berkata, pihaknya berbangga kerana peratusan kecemerlangan pelajar yang memperoleh keputusan empat dan lima prinsipal juga berjaya mengatasi peringkat nasional iaitu 53.7 peratus atau 3.048 calon berbanding 47.39 peratus, malah enam mata pelajaran turut mengatasi pencapaian nasional iaitu Perkomputeran, Kesusasteraan Melayu, Sains Sukan, Geografi, Bahasa Cina dan Seni Visual.

Selain itu, katanya, empat pelajar telah dipilih sebagai pelajar terbaik peringkat nasional berbanding seorang sahaja pada 2011 iaitu Azira Mohd. Asri dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa; Nurhanisah 

Deraman (SMK Cherang Ruku), Ahmad Herman Rodzi (SMK Ketereh) dan Siti Aidah Othman (SMK Tendong).

"Walaupun peratus calon lulus penuh menurun sedikit iaitu sebanyak 0.87 peratus berbanding tahun 2011 tetapi penurunan ini amat kecil dan yang lebih utama bagi kami adalah peningkatan kecemerlangan pelajar hasil komitmen bersungguh-sungguh para guru dan pengurusan sekolah.

"Tahun 2012 kita mempunyai 19 pelajar yang mendapat PNGK 4.0 iaitu satu pencapaian yang tidak pernah kita peroleh sebelum ini, begitu juga dengan bilangan pelajar yang mendapat empat dan lima prinsipal.

"Apa yang menarik adalah trend kecemerlangan ini tertumpu di sekolah luar bandar dan saya berterima kasih atas kesunguhan warga pendidik melaksanakan kesemua perancangan sama ada yang diatur pihak sekolah atau jabatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM negeri Kelantan 2012 di pejabat Jabatan Pelajaran negeri di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment