Monday, 11 March 2013

12 jam ditahan pengganas


Lahad Datu: “Saya hanya mampu berdoa supaya selamat dan tidak menjadi mangsa kumpulan pengganas yang kejam itu,” kata Alimuddin Abdullah, 55, seorang daripada penduduk Kampung Tanjung Batu, di sini, yang ditahan pengganas hampir 12 jam bersama 15 lagi penduduk kampung.
Menurutnya, kejadian menjadi tawanan itu bermula jam 6.30 pagi Isnin lalu dia bersama isteri dan tiga anak menikmati sarapan di rumah mereka.
Menurutnya, tiba-tiba kawasan luar rumah kecoh dan huru-hara selepas beberapa penduduk kampung berlari sambil menjerit mengatakan kampung mereka dimasuki penceroboh.
Katanya, ketika dia keluar rumah untuk memeriksa keadaan di luar, dia didatangi sekumpulan lelaki bersenjata yang mengarahkan mereka sekeluarga untuk berkumpul di perkarangan sebuah rumah berhampiran rumahnya.
“Ketika itu terdapat 30 lelaki yang sebahagiannya berpakaian lengkap seragam tentera dan bersenjata mengugut untuk mencederakan penduduk kampung.
“Saya sangat takut kerana mereka mungkin akan mencederakan seorang daripada kami kerana kami diacu dengan senjata mereka,” katanya ketika ditemui di Dewan Embara Budi, di sini, semalam.
Menurut Alimuddin, mereka terpaksa menunggu hampir 12 jam di rumah terbabit dalam keadaan takut dan kepanasan kerana dibiarkan berdiri tanpa tempat berteduh. “Pada jam 6.30 petang hari sama, pengganas terbabit membenarkan kami pergi dan kami mengambil peluang untuk melarikan diri sehingga sampai ke Felda Sahabat 25 sebelum dibawa ke Dewan Embara Budi.
“Sehingga kini, saya masih tidak mengetahui bagaimana keadaan isteri dan anak-anak erana dalam keadaan kelam-kabut melarikan diri kami terpisah kerana saya tidak dibenarkan masuk ke kampung untuk mencari mereka,” katanya.
Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment