Tuesday 19 March 2013

Bertempur empat kali


 Bertempur empat kaliPerisai berantai jenis ‘Adnan’ menuju ke Kampung Labian untuk memulakan operasi menggeledah kubu pengganas. Gambar kiri, pekerja ladang Felda Sahabat melambai ke arah anggota tentera yang bertugas di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, semalam. - Foto Fathil Asri
Lahad Datu: Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu, kelmarin.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian membabitkan anggota pasukan keselamatan atau pihak musuh dilaporkan dalam pertempuran antara jam 8.05 pagi hingga 5 petang itu.

Operasi selesai hari ini 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata operasi menggeledah, menjejaki musuh dan membersih kubu pengganas di Tanjung Batu dijangka selesai hari ini.

“Kita percaya bilangan pengganas yang tinggal, kurang daripada 50 orang. Itu pun sudah berpecah dalam kumpulan kecil selepas operasi dilancarkan pasukan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Panglima 1 Divisyen Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di Felda Sahabat 16 dekat sini, semalam.


62 pengganas terbunuh
 Sehingga semalam, 62 pengganas ditembak mati dan 241 orang ditahan kerana memasuki kawasan zon merah serta pelbagai kesalahan lain.

Ahmad Zaki berkata, pasukan keselamatan mengukuhkan operasinya berikutan penggunaan kenderaan perisai berantai jenis Adnan di kawasan zon merah, sejak semalam.

Katanya, Adnan yang mempunyai kelengkapan persenjataan tinggi itu membolehkan pasukan keselamatan bergerak ke lebih banyak lokasi, khususnya meredah kawasan sukar dilalui anggota keselamatan yang dikenal pasti kemungkinan menjadi tempat persembunyian musuh.

“Alhamdulillah pagi ini (semalam) kenderaan perisai berantai mula masuk ke kawasan operasi termasuk Tanjung Batu. Operasi menggeledah giat dijalankan dengan bantuan kenderaan itu.


Guna perisai berantai

“Jadi, kita harap semua berjalan baik. Kita percaya dengan bantuan perisai berantai, lebih luas lokasi yang boleh diredah berbanding sebelumnya.

“Kita berdoa semoga dengan bantuan kenderaan itu membersih sepenuhnya kawasan berkenaan,” katanya.

Selain kelengkapan persenjataan, kenderaan perisai berantai jenis Adnan juga mampu memasuki kawasan berpaya, berbukit-bukau dan tanah lembut.

No comments:

Post a Comment