Wednesday, 20 March 2013

Ops Daulat dilancarkan kerana pengganas ancam kedaulatan negara: PAT

LAHAD DATU: Malaysia tidak akan berlembut jika kedaulatannya diancam dan akan mengambil tindakan sama seperti negara berdaulat lain.

Ketika menegaskan perkara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, tindakan memerangi pengganas militan dari selatan Filipina diambil kerana kumpulan penceroboh terbabit memberi ancaman kepada keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara.


"Ini satu manifestasi kita satu negara dan rakyat yang mencintai keamanan," katanya pada sidang media bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi FELDA Sahabat 16 dekat sini, hari ini. 


Zulkifeli berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang mencintai keamanan dan kedamaian sebelum ini memberi masa yang panjang untuk menyelesaikan kemelut itu melalui rundingan dan meminta pengganas berundur dari negara ini.

"Itu hasrat kita tapi tiada petunjuk pengganas mahu menyelesaikan perkara ini secara aman menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil tindakan sepatutnya," katanya.

Beliau turut menjelaskan sebab kerajaan mengambil masa yang lama untuk menggerakkan tindakan terhadap kumpulan militan itu.

"Ini dasar kita sebagai sebuah negara yang mencintai keamanan dan kedamaian, maka kita berunding dan langkah ini terbukti bahawa kerajaan tidak mahu berlaku pertumpahan darah," katanya. 


Beliau berkata, kerajaan Malaysia terbukti sebuah negara yang mencintai keamanan apabila terbabit di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang banyak menyelesaikan konflik pihak bertelagah termasuk di selatan Filipina membabitkan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). - BERNAMA.

No comments:

Post a Comment