Lahad Datu: Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keselamatan mereka dan boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa kerana pihak keselamatan melakukan pemantauan setiap masa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintendan Shamsudin Mat berkata, pihaknya memberi jaminan kepada orang ramai termasuk peniaga supaya tidak bimbang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa meskipun Op Daulat di sini, masih berjalan.
“Polis sentiasa melakukan pemantauan dan berada dalam tahap berjaga-jaga sepanjang masa bagi memastikan keselamatan penduduk.
“Kawalan ini membolehkan penduduk melakukan aktiviti harian tanpa bimbang,” katanya selepas meninjau keadaan di sekitar bandar ini semalam.
Menurutnya, keyakinan penduduk terhadap usaha dilakukan polis selama ini sangat baik dan terbukti apabila mereka sudah mula ke pasar, bank, pasar raya dan stesen minyak.
“Polis yakin penduduk percaya keupayaan polis mengawal keadaan dan menjaga keselamatan mereka.
“Kita dapat lihat keadaan di pasar pulih sedikit demi sedikit apabila orang ramai mulai sibuk dengan urusan masing-masing,” katanya.
Menurut Shamsudin, pihaknya mengakui pencerobohan kumpulan pengganas Sulu memberi kesan besar kepada aktiviti harian penduduk tetapi usaha keras pihak keselamatan berjaya mengawal keadaan daripada menjadi lebih buruk.
“Ketika ini keadaan di bandar sudah hampir kembali seperti sedia kala dan apa yang berlaku di Kampung Tanduo tidak lagi menjejaskan urusan harian penduduk.
“Sebelum ini krisis di Kampung Tanduo mencetuskan kerisauan penduduk sehingga banyak kedai ditutup kerana pekerja tidak datang.
“Mereka (pekerja) bimbang apa yang berlaku di kampung itu (Tanduo) mungkin merebak ke bandar ini,” katanya.
Menurutnya, dengan adanya jaminan polis bahawa keadaan keselamatan sentiasa terkawal, penduduk tidak perlu lagi berasa bimbang.
No comments:
Post a Comment