Saturday, 16 March 2013

Jangan jadikan hadis alasan malas berusaha

Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya hingga sampai kepada Zubair Adi. Beliau berkata, “Kami datang kepada Anas Malik, kemudian kami mengadu kepadanya mengenai kezaliman yang dilakukan Hajjaj. Ia menjawab, “Sabarlah, kerana setiap zaman yang berjalan yang kemudiannya lebih buruk daripada sebelumnya. Hingga kamu bertemu Rabb kamu. Saya mendengar hadis ini daripada Nabi SAW.” 

Mungkin ada yang menjadikan hadis ini sebagai alasan untuk malas berusaha melakukan pembaikan dengan dalih hadis ini menunjukkan bahawa segala perkara akan mengarah kepada yang buruk, keadaan kita akan terus menjadi lebih buruk.

Ia hanya akan bergerak menuju pada keadaan yang lebih buruk. Dari yang buruk kepada yang lebih buruk lagi hingga datang hari kiamat dan manusia menemui Rabb mereka. 

Menurut Ibnu Masud, “Hadis yang mengatakan zaman yang kemudian lebih buruk daripada zaman sebelumnya, tidaklah bererti pemerintah hari esok lebih buruk daripada pemerintah hari ini, juga bukan bererti tahun akan datang lebih buruk daripada tahun ini. 
“Maknanya, ulama kamu dan ahli fiqah banyak yang meninggal dunia sehingga kamu tidak menemui pengganti mereka, akhirnya datanglah orang yang tidak berilmu memberikan fatwa dalam agama berdasarkan akal mereka.” 

Dalam riwayat lain, beliau mengatakan, “Akhirnya orang yang tidak berilmu itu menelanjangkan Islam dan menghancurkannya.” 

Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitab Fathul Bari mentarjih pendapat Ibnu Masud dalam mengertikan kebaikan dan keburukan yang disebut dalam hadis itu. Ibnu Hajar mengatakan bahawa pendapat Ibnu Masud itu paling baik untuk diikuti. 

Zaman sahabat

Beliau berkata lagi, “Boleh juga diertikan bahawa yang dimaksudkan dengan zaman di sini adalah zaman sahabat dengan alasan bahawa kepada merekalah hadis ini disampaikan sehingga hadis ini khusus untuk mereka. Adapun orang sesudah mereka tidak termasuk dalam lingkup hadis itu.”

Namun, sahabat yang mendengar hadis itu menduga maknanya bersifat umum. Kerana itu, ia menjawab orang yang mengadu perihal kekejaman Hajjaj kepadanya dengan membacakan hadis berkenaan serta memerintahkan mereka bersabar. Sementara mereka yang bertanya itu atau sebahagian besarnya adalah para tabi’in.

Adakah ini bermakna kita hanya bersabar mendiamkan diri tanpa melakukan amar makruf nahi mungkar? Perkataan Anas kepada tabiin yang datang menemuinya supaya sabar, bukanlah menghalang untuk mengucapkan kebenaran dan melakukan amar makruf nahi mungkar.

Reda dengan kekafiran adalah kafir juga dan reda dengan kemungkaran adalah mungkar juga. Sedangkan orang yang boleh bersabar ialah orang yang menghadapi sesuatu yang ia benci sambil berusaha mengubahnya.

Credit: Ust Dr. Zahazan Mohamed

No comments:

Post a Comment