Saturday, 16 March 2013

PERSOALAN ALAM GHAIB URUSAN ALLAH


SETIAP makhluk yang dijadikan Allah tidak sesekali akan terlepas daripada kematian waima dia seseorang nabi, rasul atau orang mukmin. Setiap daripadanya tetap merasai saat hembusan nafas terakhir seperti mana disebut dalam ayat 185 surah ali-Imran.

Kehadiran kematian amat menggerunkan dan menakutkan jika mendapat khabar berita bahawa salah seorang rakan paling hampir dengan kita dipanggil menyahut seruan Ilahi meskipun baru sahaja bertemu dengan individu berkenaan.

Hidup kita di muka bumi ini cukup singkat dengan nyawa dicabut tanpa mengira umur pada bila-bila masa oleh malaikat Izrail.

Sebaik disahkan kematian, bagi memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, jenazah itu dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan seperti mana dituntut dalam syariat Islam.

Bagaimanapun di sebalik kegerunan tersebut, wujud persoalan dalam kalangan umat Islam berhubung saat menjelangnya kematian. Terdapat kalangan mereka bertanyakan bagaimana keadaan manusia sebelum menjelangnya kematian. Bahkan timbul kekeliruan destinasi roh selepas nyawa berpisah dari badan.

Maka wujud pelbagai pandangan, antaranya menyatakan roh berlegar-legar di kediamannya selama 44 hari selepas si mati meninggal dunia.

Malah ada mengatakan roh pulang pada bulan Ramadan. Selain itu, berlakunya amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara tersebut dibimbangi menyebabkan akidah umat Islam terpesong kerana kepercayaan samiyat (alam ghaib) sepatutnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, bukannya mengikut pemikiran manusia.

Bagaimanapun persoalan roh tidak wajar diperbahaskan terlalu panjang kerana sebagai umat Islam kita perlu menitikberatkan persiapan bekalan amalan sebelum menuju alam abadi bahkan perkara alam samiyat merupakan urusan Allah.

Hujah demikian berpandukan ayat 85 surah al-Israk yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan roh itu adalah urusan tuhanku dan tiadalah diberi kepada kamu ilmu pengetahuan kecuali sedikit.

Pun begitu, bagi menjernihkan persoalan alam kematian agar umat Islam tidak terkeliru, para ulama telah mengarang tulisan berdasarkan nas sahih agar ilmu persiapan menuju destinasi kekal abadi berlandaskan akidah Islam.


Saat nazak

Perkara yang berkaitan dengan samiyat (alam ghaib) tergolong dalam satu cabang rukun iman iaitu percaya kepada hari kiamat.

Maksudnya, persoalan alam akhirat hendaklah berpandukan nas sahih dan tidak boleh sesekali mengikut kefahaman manusia sendiri.

Hal itu termasuklah saat-saat menjelangnya kematian atau juga dikenali sebagai nazak.

Menurut Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademi, Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir, keperitan dan kesakitan sakaratulmaut hanya diketahui oleh orang yang mengalaminya.

Jelas Mohammad Nidzam, kenyataan tersebut berdasarkan ayat 83 sehingga 85 surah al-Waqiah yang bermaksud: Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang daripada kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkong. Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya. Dan kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.

Mohammad Nidzam berkata, menerusi ayat tersebut, selain para ulama menafsirkan taubat manusia diterima selagi mana roh tidak sampai di bahagian halkum dan sanak-saudara berada di sekelilingnya hanya dapat menyaksikan kepayahan sakaratulmaut itu tetapi mereka tidak merasai kesakitan berkenaan.

Ketika menjelaskan dakwaan berlaku tanda-tanda menjelangnya kematian seperti dahi berdenyut, mata berkelip-kelip atau keluar peluh berwarna emas hasil pemerhatian sanak-saudara yang melihat seseorang sedang nazak, beliau berkata, itu merupakan perkara majhul (tidak diketahui hakikatnya). (rujuk Luqman: 34)

"Berdasarkan ayat berkenaan, jelas menunjukkan Allah sahaja mengetahui bila tarikh kematian. Kita tidak boleh meneka waktu kematian akan kunjung tiba kerana perkara berkenaan adalah urusan Allah, hatta Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah pun tidak mengetahui bila baginda akan wafat.

"Jangan cuba berteka-teki alamat kematian. Paling utama kita mesti melakukan persiapan daripada segi bekalan pahala pada bila-bila sahaja," kata Mohammad Nidzam.

Mengenai dakwaan bahawa orang sedang nazak mengetahui destinasi seterusnya sama ada diletakkan ke dalam syurga atau dicampakkan ke neraka, Mohammad Nidzam menjelaskan dengan menyebutkan sepotong hadis Rasulullah SAW yang berbunyi: "Sesiapa yang menyebut kalimah Lailallahillah sebelum akhir hayat akan masuk syurga."

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa amalan soleh bakal membantu selain memberi syafaat di alam seterusnya.

Ujar Mohammad Nidzam, seseorang sedang nazak menyedari dan yakin ganjaran seperti mana dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah kepada orang beriman. (rujuk al-Nahlu: 31-32)

Lain pula nasib menimpa orang yang ingkar, nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan dahsyat dengan dijelaskan oleh Allah dalam ayat 28 surah al-Nahlu yang bermaksud: Iaitu mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya). Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan. (Malaikat menjawab): Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan.

"Terdapat pula dakwaan yang mengatakan ibu bapa datang menjemput orang sedang nazak. Hal ini dijelaskan oleh Imam Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah dengan beliau menyatakan bahawa yang datang itu bukanlah ibu bapa tetapi syaitan menyamar sebagai manusia. Syaitan datang untuk menggoda keimanan manusia.

"Bagi menggelakkan perkara itu terjadi, kita digalakkan mentalkin orang sedang nazak dengan kalimah Lailallahillah agar ditetapkan keimanan dengan Allah," jelas beliau.

Mohammad Nidzam antara lain turut menyarankan adalah lebih baik mengajarkan kalimah di atas kepada mereka yang sedang nazak itu daripada sanak-saudara, ahli keluarga, ibu bapa, anak, isteri meraung kerana tindakan berkenaan merupakan amalan jahiliah.


Credit: Juani Munir Abu Bakar

No comments:

Post a Comment